Dunia persilatan Melayu sering mendapat perhatian masyarakat dunia kerana mempamerkan kesenian dan warisan budaya yang unik dan menarik. - Gambar hiasan


Filem "Mat Kilau - Kebangkitan Pahlawan” yang ditayangkan sejak 23 Jun 2022 lalu telah mencetuskan fenomena luar biasa dengan meraih kutipan tiket berjumlah lebih RM90 juta selepas 33 hari ditayangkan di seluruh negara, Singapura dan Brunei.

Penonton-penonton dan peminat-peminat filem drama aksi dan seni silat Melayu tidak melepaskan peluang untuk datang berbondong-bondong memenuhi ruang tempat duduk panggung wayang hanya kerana ingin menyokong dan melihat aksi ketangkasan seni silat Melayu itu sendiri.

Benarkah orang-orang Melayu tidak boleh dipisahkan dengan silat? Sejarah menunjukkan seni mempertahan diri itu telah berakar umbi seawal era kerajaan Langkasuka yang menguasai bahagian utara semenanjung dan bahagian selatan Thailand.

Terdapat kajian menyatakan sejarah persilatan Melayu sudah bermula sejak kurun 8 Masihi lagi di gugusan kepulauan Melayu dan Nusantara sehingga ke hari ini.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan seni silat


Pelbagai permainan rentak tarinya yang membezakan dari satu silat ke silat yang lain melibatkan langkah pergerakan dan buah jurusnya. - Gambar hiasan


Secara umumnya terdapat kurang lebih 368 jenis silat (bukan rasmi) pernah wujud (satu ketika) di Malaysia.

Sebahagian rekod pula, menyatakan hanya 150 jenis silat-silat  Melayu atau sebanyak 50 peratus masih bergerak aktif.

Pada masa ini, orang ramai lazim mengenali pertubuhan atau persatuan seperti silat Cekak Hanafi, Cekak Malaysia, Lincah, Gayong Malaysia, Harimau, Helang Merah, Jawa, Kuntau, Panglima Hitam, Pulut, Rajawali, Selendang Merah, Sendeng Malaysia dan lain-lain.

Senarai beberapa nama persatuan /pertubuhan silat yang terdapat di Malaysia.


 


Namun, banyak persatuan atau pertubuhan silat telah berkubur kerana pelbagai faktor seperti berikut:

Kurang sokongan dan sambutan daripada ibu bapa serta masyarakat:

-          Ibu bapa tidak menggalakkan anak-anak mereka terlibat dengan aktiviti-aktiviti lasak seperti silat atau seni bela diri lain kerana dikuatiri mengalami kecederaan fizikal yang teruk.

-          Sebilangan anggota masyarakat memandang serong sekirannya terdapat anak-anak di kejiranan mereka yang pernah menjadi ahli silat/seni bela diri terlibat dengan kes jenayah.

-          Terdapat pula pertubuhan/persatuan silat yang tidak mendapat kelulusan daripada pihak berwajib tetapi tetap terus menjalankan kegiatan mereka sehingga mendatangkan keraguan serta kecurigaan orang ramai.

Keahlian berkurangan atau berhenti menjadi ahli silat (sebab-sebab tertentu):

-          Ramai ahli-ahli berhenti daripada meneruskan pembelajaran silat di atas faktor seperti tiada kebenaran ahli keluarga, berpindah tempat tinggal, tindakan tata terbib, masalah disiplin dan belajar separuh jalan sehingga tidak lagi berminat untuk meneruskannya.

Kekangan kewangan akibat kekurangan dana (kutipan yuran ahli):

-          Ahli-ahli tidak membayar yuran ahli (bulanan).

-          Sebilangan kecil pula, ahli-ahli silat belajar secara percuma dengan bantuan sumbangan, derma atau bantuan khas oleh individu-individu tertentu.

Pemantauan dan kawal selia ketat pihak penguatkuasa perundangan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM):

-          Penyelewengan persatuan atau pertubuhan seni silat  dibimbangi menjadi kumpulan ‘kongsi gelap’ jika tiada pengawasan pihak berkuasa.

-          Kes perselisihan faham dan ‘tidak puas hati’ antara ahli-ahli silat atau seni bela diri lain boleh mencetuskan pergaduhan sehingga menimbulkan ‘rusuhan’.

-          Penyalahgunaan status ahli silat /seni bela diri untuk tujuan jenayah kekerasan, memeras ugut, balas dendam dan sebagainya.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengenakan syarat dan peraturan yang ketat:

-          Pertubuhan /Persatuan Silat yang menyeleweng daripada fungsi asal didapati menjalankan aktiviti-aktiviti haram seperti mengaut keuntungan (dana kewangan) bagi tujuan peribadi tertentu; secara tidak langsung dianggap menyalahi syarat-syarat dan peraturan ROS.

-          Tidak dan gagal menghantar laporan tahunan membabitkan kewangan, aktiviti-aktiviti, pengauditan dan lain-lain kepada ROS.



Sementara itu, Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin memberikan komennya hanya seni silat mampu menyatukan masyarakat Melayu di negara ini.

"Saya terlibat agak lama dalam silat. Di mana-mana pun saya bercakap, kalau nak tengok orang Melayu bersatu, tengok silat. Kalau dalam silat pun orang Melayu tak boleh bersatu eloklah berhenti.

“Jika kita lihat medium politik pula hari ini, orang Melayu semakin berpecah dan mementingkan diri sendiri.”, jelas beliau kepada media ketika hadir sesi menonton Filem "Mat Kilau” di pawagam baru-baru ini.


Filem 'Hang Tuah' terbitan tahun 1956 antara filem silat terawal mendapat tempat di hati para peminat filem tanah air.


Satu kajian bebas berkaitan ‘Filem Silat ‘ telah dibuat khusus kepada pemaparan seni silat yang bukan hanya memaparkan aksi tetapi turut menyelitkan unsur-unsur warisan seni dan budaya. 

Sejak dahulu lagi, industri filem kita pernah menghasilkan beberapa  filem silat seperti filem ‘Hang Tuah’ pada tahun 1956, Hang Jebat (1961), Pendekar (1977) dan Puteri Gunung Ledang (2004).

Legasi filem-filem silat terus disemarakkan apabila lahir beberapa lagi filem yang membawa naratif persilatan yang hampir sama.

Antara filem-filem Melayu drama silat yang turut mendapat sambutan hangat oleh orang ramai ialah:




1. Syahadan

Filem Syahadan menampilkan pesilat negara Al-Jufferi Jamari sebagai teraju utama ( watak Omar) bersama penglibatan pelakon veteran Anuar Rahman sebagai Pak Daud serta Bob Megat (bapa Omar).

Filem yang mengisahkan tentang seorang anak muda, Omar yang hidup tanpa arah tujuan serta dipengaruhi unsur hedonisme. Demi mendisiplinkan Omar, bapanya menghantar Omar ke sebuah kampung bagi memperbaiki akhlak dengan harapan menjadi insan berguna kepada masyarakat melalui kaedah persilatan.

2. Geran

Filem Geran (atau dikenali sebagai The Deed of Death) merupakan filem drama aksi silat Malaysia 2019. Filem ini mempamerkan pencak silat, dan mengisahkan satu keluarga pesilat yang perlu pertahankan nama dan tanah rumah mereka daripada tergadai setelah adik mereka lari dengan geran tanah.

3. Balun

Filem Balun sebuah lagi filem drama aksi Malaysia pada Ogos 2017 arahan Bob Singah yang berdurasi 90 minit terbitan Elements Pictures.

Filem ini mengisahkan tentang seorang pemuda, Hassan (Beto Kusyairy) yang pulang ke kampung asalnya di Kampung Putra, Kamunting, Perak kerana menguruskan perihal tanah arwah ayahnya, Mustafa yang dicagarkan kepada Orang Kaya Seman.

Adegan pertarungan dan pergaduhan yang membangkitkan 'adrenalin' para penonton menjadikan filem ini semakin digemari.

Selain Beto Kusyairy barisan para pelakon  turut dibintangi oleh pelakon terkenal Datuk Eizlan Yusof, Izara Aisyah dan Reen Rahim.

Justeru, tidak hairanlah mengapa filem-filem silat Melayu masih diminati dan digemari terutama golongan belia kerana di samping mempunyai plot cerita yang menarik, terselit pula keunikan adegan pencak silat itu sendiri. Lain silat lain pula gerak-geri tariannya atau buah jurusnya.

Malahan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) telah mengiktiraf ‘silat’ sebagai seni mempertahankan diri milik Malaysia, manakala ‘pencak silat’ pula kepunyaan Indonesia. - KitaReporters



Sumber:

https://www.sinarharian.com.my/article/212939/BERITA/Nasional/Kutipan-filem-Mat-Kilau-cecah-RM90-juta-selepas-33-hari-tayangan

https://www.sinarharian.com.my/article/208842/EDISI/Hanya-silat-boleh-satukan-Melayu-bukan-politik

https://www.malaysiakini.com/hiburan/494560

https://ohbulan.com/memartabatkan-seni-silat-melayu-filem-syahadan-ditayangkan-di-pawagam-bermula-17-februari

https://koleksiilmudulu2.blogspot.com/2017/08/senarai-nama-nama-silat-di-malaysia.html

https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/15093/

14
16
0
8
0

Copy Link: