Septik Tone berharap lagu 'Harimau Malaya' akan membangkitkan semangat pasukan bola sepak negara bagi menghadapi perlawanan menentang Vietnam dan Thailand pada kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. - Kredit foto: Septik Tone


KEKALAHAN 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, pada 3 Jun, 2021 lalu sudah tentu sedikit sebanyak merentap semangat pemain-pemain skuad bola sepak kebangsaan apatah lagi selepas menerima cemuhan daripada penyokong sendiri.

Menyedari Harimau Malaya perlu bingkas bangkit daripada kekecewaan itu menjelang perlawanan penting menentang Vietnam pada Jumaat, 11 Jun 2021 (12:45 pagi waktu Malaysia, Sabtu, 12 Jun 2021) dan Thailand pada 15 Jun, 2021 (16 Jun, 2021 waktu Malaysia) kumpulan muzik, Septik Tone mengambil inisiatif mencipta lagu khas untuk pasukan negara sebagai tonik pembakar semangat.

Menurut salah seorang anggota kumpulan itu, Sharni Rohaizal Mohd Shaari atau lebih dikenali dengan nama pentas, Dewa Bintang, lagu itu dilihat hadir bertepatan pada waktunya iaitu ketika Harimau Malaya memerlukan suntikan semangat bagi meneruskan perjuangan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Harimau Malaya

“Lagu yang berjudul ‘Harimau Malaya’ ini menitip pesanan kepada semua pemain supaya tidak menyerah kalah sebaliknya terus berjuang demi lencana di dada.” 



“Sebenarnya, lagu ini saya cipta pada 2019 berinspirasikan kejayaan kita mengalahkan Indonesia 2-0 semasa perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 19 November, 2019 lalu.

“Tapi, saya simpan dan menunggu masa yang sesuai untuk dirakam dan diperdengarkan kepada umum. Apabila Malaysia tewas kepada UAE, baru-baru ini, saya fikir inilah masa yang tepat untuk Septik Tone keluarkan lagu ini.

“Saya sedar pemain perlukan suntikan motivasi untuk bangkit daripada kekalahan itu. Dan sebagai pemuzik serta rakyat Malaysia, inilah cara untuk saya memberi sokongan kepada mereka.

“Lagu yang berjudul ‘Harimau Malaya’ ini menitip pesanan kepada semua pemain supaya tidak menyerah kalah sebaliknya terus berjuang demi lencana di dada,” kata Sharni kepada KitaReporters.




Menurut Sharni, sebagai pemain yang berjuang atas nama Malaysia, anak buah Tan Cheng Hoe perlu menunjukkan semangat patriotik yang tinggi tanpa mengira sama ada mereka pemain tempatan, kacukan mahu naturalisasi.

“Semangat inilah yang mahu kami serapkan ke dalam jiwa setiap pemain melalui lagu itu. Saya harap ia dapat meresap ke hati mereka untuk bermain bermatian-matian ketika menentang Vietnam dan Thailand nanti.  

“Malah, lagu ini juga kami tujukan kepada penyokong Harimau Malaya. Biarpun kecewa kerana kekalahan kepada UAE namun saya berharap mereka dapat terus bangkit serta berdiri di belakang pasukan kerana semua pemain memerlukan sokongan anda,” katanya. 


Septik Tone menyuntik semangat patriotik melalui lagu-lagu ciptaan mereka termasuk kempen melawan virus Covid-19 melalui lagu "Teguh Kita Menang Bersama." - Kredit foto: Septik Tone.


Muzik video lagu itu yang boleh diakses melalui Facebook Septik Tone menerima respons positif sejak disiarkan, sejak 8 Jun 2021.

“Menjadi impian saya, untuk merakamkan semula lagu ini dengan menjemput pemain-pemain skuad kebangsaan sebagai penyanyi latar supaya ia lebih meresap ke jiwa mereka. Malah, saya mengimpikan ia menjadi lagu rasmi pasukan Harimau Malaya,” ujar Sharni.

Selain Sharni sebagai pemain gitar dan vokalis, Septik Tone yang tidak asing dalam kalangan peminat muzik di sekitar Perak dianggotai oleh Eddi Dedak (bes) dan Arm Six Point (dram).

Walaupun kurang dikenali di pentas arus perdana, namun Septik Tone yang ditubuhkan sejak 14 tahun lalu kerap menerima undangan membuat persembahan termasuk di kaca telivisyen malah mendapat kepercayaan daripada Radio Telivisyen Malaysia (RTM) untuk mencipta serta menyanyikan lagu kempen menentang Covid-19 berjudul “Teguh Kita Menang Bersama.”  - KitaReporters. 


4
0
0
0
0

Copy Link: