Pengerusi Surau Taman Delima, Azmir Abdul Malik menyampaikan sumbangan kepada keluarga asnaf.


WALAUPUN tiada peruntukan khas, pihak pentadbiran Sekolah Agama Rakyat (SAR) Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Taman Delima, Kajang, Selangor tetap berusaha menyantuni murid dalam kalangan anak yatim dan keluarga asnaf sekolah itu.

Program yang dilaksanakan setiap Ramadan sejak 1o tahun lalu itu, bagaimanapun tidak dapat diteruskan tahun lalu apabila negara ditimpa musibah ancaman pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sekolah agama


Pengerusi Jamaah Pengurusan Sekolah (JPS) itu, Azman Rasman (gambar atas, tengah), berkata untuk tahun ini pihak pentadbiran sekolah membuat perancangan awal supaya program tradisi itu dapat diteruskan bagi menghulurkan sumbangan kepada 13 murid anak yatim dan 34 murid daripada keluarga asnaf.

Menurutnya, bagi memastikan program berjaya dilaksanakan pentadbiran sekolah berjaya mengumpul dana hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk bakul makanan untuk diagihkan kepada murid terbabit selepas diusahakan sejak awal tahun 2021.


Murid dalam kalangan anak yatim dan keluarga asnaf hadir dalam majlis penyerahan sumbangan dengan mematuhi SOP pandemik Covid-19.


Katanya, usaha itu bukanlah suatu yang mudah tanpa sikap dedikasi guru sekolah berkenaan yang berikhtiar mengumpul dana di samping mendapat kerjasama yang baik daripada penduduk sekitar taman berkenaan apabila turut bersemangat untuk menyantuni anak yatim dan asnaf terbabit.

"Saya bersama-sama ahli jawatankuasa JPS sekolah berusaha mendapatkan dana daripada pelbagai pihak seperti dari beberapa surau sekitar taman ini, ibu bapa, individu termasuk penyumbang dari Singapura. 

“Walaupun sumbangan ini tidak seberapa tetapi besar ertinya apabila dapat memberi sedikit kegembiraan kepada anak yatim dan keluarga murid asnaf menyambut Aidilfitri dalam situasi pandemik Covid-19 sekarang,” kata Azman yang turut memaklumkan sekolah itu kini memiliki 652 murid dan mula beroperasi sejak tahun 1997.


Azman Rasman (tengah berbaju Melayu) bersama-sama guru dan ahli jawatankuasa JPS SAR Taman Delima, Kajang, Selangor.


Majlis penyerahan sumbangan bantuan wang dan bakul makanan untuk anak yatim serta asnaf yang keluarga berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan hanya dihadiri murid terbabit bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pandemik Covid-19 di dewan sekolah itu pada hujung minggu lalu.

Azman berkata, program itu juga sebagai menzahirkan keprihatinan pihak pentadbiran sekolah kepada murid dalam kalangan anak yatim dan asnaf supaya turut berasa gembira menyambut Aidilfitri walaupun pada masa PKP sekarang.


Azman (kanan) bersama-sama penjaga anak yatim yang hadir untuk menerima sumbangan.


Menurutnya, selain itu menjadi keutamaan kepada pentadbiran sekolah untuk membantu murid bukan sahaja dalam kalangan anak yatim atau asnaf malah mereka yang ditimpa musibah untuk mengelak berasa tersisih.

“Pentadbiran sekolah sentiasa mengambil berat perkara ini selaras dalam usaha melahirkan murid yang berpengetahuan tinggi mengenai ajaran agama Islam serta melahirkan hafazan untuk masa depan. 

"Walaupun pendemik Covid-19 masih belum reda, kesedaran semua pihak mengenai besarnya pahala berinfak pada Ramadan membolehkan pihak sekolah menambah sumbangan wang kepada anak yatim dan asnaf mencecah RM279 seorang berbanding tahun sebelum ini antara RM50 dan RM100 sahaja," kata Azman. - KitaReporters


Seorang anak yatim menerima sumbangan yang disampaikan Azman (dua dari kiri).

23
4
0
0
0

Copy Link: