Hentikan! Buli fizikal dan mental! Ada mangsa cenderung membunuh diri! Usaha program I Embody Me!

Published by
KitaReporters


Semasa di sekolah dahulu pernah tak diejek oleh kawan-kawan sebab bertubuh besar, terlampau kurus atau cengkung, berkulit gelap atau perwatakan selekeh sebab keluarga tidak mampu membelikan pakaian dan kasut baharu.

Diejek atau dibuli telah wujud sejak sekian lama tetapi ada individu yang berupaya mengharunginya dengan baik sehinggalah dewasa. Namun ada sebahagiannya pula gagal mengatasinya menyebabkan mangsa menjadi pendendam, tidak yakin kepada diri sendiri malah selalu dibelenggu oleh perasaan marah dan tidak puas hati.

Semakin moden masyarakat , budaya buli juga mengalami perubahan dalam pelbagai aspek dan menggunakan kaedah yang berbeza namun kesannya tetap sama kepada mangsa. Mereka  akan mengalami sakit hati, kemurungan dan paling teruk cenderung untuk membunuh diri.


Lagi cerita-cerita penghinaan berkaitan body shaming


Budaya buli bukanlah masalah remeh-temeh sebaliknya wajar mendapat perhatian mendalam pelbagai pihak yang perlu bangkit menentang sebarang bentuk penindasan secara terang-terangan atau secara senyap dan terancang.

Masih ingat kes viral yang berlaku pada konsert AR Rahman dari India pada 5 Februari 2023 lalu? Ramai pengguna media sosial meluahkan rasa tidak puas hati dan mengecam dua pelaku terbabit yang menggunakan perkataan ‘keling’ dan ‘bau tubuh’ kepada pengunjung konsert.

Namun gelombang ambil berat netizen itu hanya berlegar seketika. Apakah tindakan seterusnya untuk mengatasi masalah kecaman fizikal ini?

Bertitik tolak daripada kesedaran tersebut, dua organisasi, Ministry of Marketing Asia (MOM) dan Creative Seven Legacy berkolaborasi mengadakan program I Embody Me pada 25 Februari 2023 yang memperjuang nasib mangsa buli atau bodyshaming supaya lebih positif untuk mendepani masyarakat dan kehidupan. I Embody Me turut mendapat sokongan strategik daripada  Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur  (WTCKL).

Menurut Pegawai Perhubungan Awamnya, Marini Mat Zain, program tersebut bertujuan menyedarkan masyarakat untuk menerima perbezaan bentuk fizikal atau warna kulit yang telah dianugerah Tuhan kepada semua. 

Bagaimana pun katanya, apabila inisiatif tersebut diperkenal pihaknya kesal kerana kebanyakan yang mendaftar menghadiri program adalah tetamu daripada luar negara.

“Apabila acara fizikal I Embody Me diadakan di WTCKL, di manakah orang kita yang bersuara ambil berat tempoh hari?”

“Berdasarkan kehadiran tetamu, kesedaran dalam kalangan masyarakat kita terhadap kes ini masih rendah sedangkan pihak penganjur berharap inisiatif program mampu disebarkan kepada orang ramai. 

"Sokongan padu diperlukan untuk mendidik masyarakat mengenai cemuhan fizikal yang masih serius berlaku. Mangsa cemuhan fizikal sering mengalami tekanan perasaan yang membawa kepada penyakit mental malah ada yang terdorong membunuh diri, “ katanya. 



Menurut Ketua Projek 2 yang juga merupakan Penerbit Acara dan Operasi penganjur, Anne Dalissa Ariff, inisiatif I Embody Me ini tercetus daripada pengalaman sahabatnya.

“Anak remaja sahabat saya menghidap Anorexia Nervosa selepas dibuli di sekolah. Dia diejek secara berterusan kerana mempunyai  bentuk tubuh yang besar. 

"Sejak dahulu kita berperang dengan standard kecantikan normal yang mana bertubuh ramping, berkulit cerah dan memiliki rupa paras menawan dianggap sempurna.

“Jika sebaliknya berlaku, maka tercetusnya gejala buli dan ejekan tanpa belas kasihan kepada mangasa.  Sebab itu perlunya kesedaran sivik dikalangan masyarakat terutama keyboard warrior untuk lebih saling hormat-menghormati dan menerima keberadaan fizikal individu seadanya,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Dato’ Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, pihaknya beranggapan kempen I Embody Me unik, bertujuan untuk menggalakkan penerimaan semua orang untuk menyemai keyakinan, harga diri, dan imej tubuh yang sihat dalam masyarakat, sekali gus menjelmakan diri mereka sendiri tanpa mengira bentuk dan saiz.

“Kempen ini akan menggunakan pelbagai medium, termasuk media sosial, dan kandungan video serta acara maya dan secara fizikal, untuk menyebarkan mesej penerimaan badan dan keterangkumannya. Ia adalah sesuatu yang benar-benar dipercayai oleh WTCKL dan kami gembira untuk menyokong inisiatif ini,” ujarnya.


Anne Dalissa Ariff  (kanan) dan Niney Chong ketika mengadakan bual bicara dalam program I Embody Me yang memperjuang mangsa buli atau bodyshaming  di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 25 Feb 2023 lalu.


Ketua Perhubungan Korporat Projek 1, Niney Chong pula memberitahu, I Embody Me terbentuk untuk tujuan membentuk masyarakat agar lebih berpandangan positif dan mampu membimbing anak-anak seawal usia muda untuk menerima kelebihan dan kekurangan diri mereka.

“Menerusi penganjuran begini, kami berharap dapat menyuntik keyakinan diri dikalangan mangsa buli. Kami mahu mereka jadi individu yakin diri dengan imej tubuh sendiri dan berharap masyarakat menerima setiap jenis bentuk tubuh tanpa prejudis,” katanya.

Setiap bulan bermula Januari 2023, I Embody Me akan menganjurkan dua program bersama tetamu jemputan sama ada secara dalam talian atau program fizikal di lokasi rasmi WTCKL. 

Panel undangan mempunyai latar belakang berbeza yang akan tampil membicarakan empat pecahan ruangan iaitu Hearty, Enriched, Alive dan Loved (H.E.A.L.). Setiap topik masih membahaskan mengenai ‘body image’ (bentuk badan) yang selaras dengan tema kempen tahun ini “Embody Kindness”. 

Antara panel jemputan yang pernah menyertai prpgram termasuk  Aditi Joshi, pengasas ADORE Transformation Lab; gestalt therapist, Carliff Isaac Carliff Rizal; seorang pelajar sekolah menengah berusia 14 tahun, Adelina Adna Adenan; pengasas Passion8 Creative Space dan body image advocate, Hana Halim; Wellnesspreneur & President of AMSPA, Liez Pucher; Financial Empowerment Mentor & Investor Aventurine Group, Hanna B; dan Zuhairie Sahrom, Editor Gaya Hidup & Stylist Glam. - KitaReporters


Niney Chong (kanan); Marini Mat Zain (dua dari kanan); Pengarah Jualan WTCKL, Norhidayu Abdul Hamid (dua dari kiri); dan Anne Dalissa Ariff (kiri) berganding bahu menjayakan program I Embody Me yang memperjuang mangsa buli atau bodyshaming  di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur  (WTCKL) pada 25 Februari 2023 lalu.

19
12
0
7
0

Copy Link: