Muhamad Faris Najwan Muhamad mendapat sokongan dan dorongan daripada ibu bapanya untuk berdikari.


KEKANGAN pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyukarkan ramai remaja di Kelantan mencari peluang kerja sambilan bagi mendapatkan wang saku selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Mac 2021 lalu.

Mengambil kesempatan dalam bulan Ramadan penuh keberkatan ini, seorang remaja dari Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Kelantan, Muhamad Faris Najwan Muhamad, memberanikan diri membuka gerai menjual tongmo bakar di depan rumahnya.

Melihat kesungguhan Muhamad Faris untuk berniaga sendiri kedua-dua ibu bapa beliau memberi sokongan serta dorongan apabila mengeluarkan modal RM1,000 untuk menempah tempat membakar tongmo dan membeli pelbagai peralatan berniaga.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan masakan dan makanan

Ibu Faris membuat sendiri sos cili dan cheese bagi memberi kelainan rasa dan keenakan tongmo bakar.


Muhamad Faris yang dihubungi berkata, daripada wang modal itu juga dia membeli tongmo mentah daripada pengedar di Kampung Penambang, Kota Bharu sebaik sahaja memulakan perniagaan itu kira-kira dua minggu lalu. 

Beliau menjelaskan tongmo merupakan sosej daging, sejenis makanan yang dibawa masuk oleh orang Kemboja

Daging dicincang dengan lemak lembu yang terpilih. Kemudian digaulkan dengan rempah dan disumbat dalam usus lembu yang dibersihkan

Tongmo dibakar di atas bara api dan selepas siap dibakar tongmo itu akan dipotong untuk dimakan bersama sos cili dan sebagainya.


Faris membuka gerai tongmo bakar selepas dua minggu membantu rakannya berniaga makanan itu di Kampung Kubang Batang, Wakaf Bharu, Kelantan.


Menurutnya, sebelum membuka gerai itu, dia mencari pengalaman dengan membantu rakannya menjual tongmo bakar di tepi jalan utama Kampung Kubang Batang, Wakaf Bharu menuju ke Pengkalan Kubur, Tumpat, lebih dua minggu. 

Katanya, selepas mengamati dan mempelajari selok belok memproses serta membakar makanan itu, rakannya mencadangkan supaya membuka gerai di depan rumah dia di kampung berkenaan memandangkan belum ada orang menjual tongmo bakar di situ.

“Dalam seminggu membuka gerai ini saya berasa bersyukur apabila mendapat sambutan daripada orang ramai dan penduduk kampung yang menjadikan tongmo bakar sebagai salah satu lauk untuk berbuka puasa.

“Sebagai daya tarikan kepada potongan tongmo bakar ini, ibu saya membuat sendiri sos cili dan sos cheese kemudian dihiasi bersama irisan salad dan timun segar sebagai pilihan serta bagi memikat hati pelanggan,” kata pelajar Sekolah Menengah Wakaf Bharu itu.


Faris tetap mematuhi SOP Covid-19 ketika membuka gerai itu terutama memakai pelitup muka ketika berurus niaga.


Muhamad Faris berkata, dia tidak melupakan untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak kerajaan bagi membanteras Covid-19 terutama dengan memakai pelitup muka dan tidak berniaga melebihi jam 10 malam. 

Menurutnya, dengan dibantu oleh kakaknya, Nur Fazlin Najwa, urusan jual beli dapat dilakukan dengan segera bagi mengelak orang ramai berkerumun di depan gerai selain mereka dikehendaki merekod pada MySejahtera, suhu badan dan menggunakan sanitizer.


Faris  akan meneruskan perniagaan ini sehinggalah keputusan SPM diumumkan dan mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran 


Katanya, dia membuka gerai itu jam 3.30 petang dengan terlebih dahulu membakar tongmo yang ditempah orang ramai menerusi telefon dan diambil oleh pelanggan berkenaan dalam perjalanan mereka pulang ke rumah dari tempat kerja.

“Saya akan menutup gerai jam 6.45 petang dan bergegas pulang ke rumah bagi membantu keluarga menyiapkan hidangan untuk berbuka puasa.

“Dalam tempoh beberapa jam berniaga itu saya memperoleh pendapatan antara RM50 hingga RM150 sehari bergantung kepada jumlah pelanggan yang datang. Saya akan meneruskan perniagaan ini sehinggalah keputusan SPM diumumkan dan mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran,” katanya. - KitaReporters 


Faris akan menutup gerai tongmo bakarnya jam 6.45 petang setiap hari bagi mengelak melanggar SOP Covid-19.

36
10
1
0
0

Copy Link: