Tangkap layar rakaman CCTV kes rompakan kedai emas di Taman Usahawan, Kepong, Kuala Lumpur yang turut menyebabkan seorang pekerja wanita pengsan. - Kredit foto: Video tular 


EMPAT dulang barang kemas dilarikan dalam masa seminit oleh empat perompak bersenjatakan kapak dan tukul dalam kes rompakan di sebuah kedai emas di Taman Usahawan, Kepong, Kuala Lumpur.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang pada 22 Ogos 2021 itu, seorang pekerja wanita terjatuh sehingga pengsan akibat ditolak suspek.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata terdahulu sebelum kejadian salah seorang suspek berlakon sebagai pelanggan dengan berpura-pura mahu mengimbas kod QR MySejahtera sebelum memasuki premis.

“Melihat ada pelanggan datang, pekerja wanita itu menghampirinya namun tiba-tiba tiga lelaki datang menolak mangsa.

“Suspek yang memakai topi keledar dan pelitup muka bertindak agresif  dengan cuba pecahkan cermin di kaunter namun gagal lalu beralih ke bahagian almari yang mengandungi rantai leher.

“Setelah percaya pecahkan cermin almari dan masuk ke ruangan kaunter, suspek kemudiannya mengambil tiga dulang berisi rantai tangan emas dan satu dulang rantai leher,” katanya dipetik daripad alaporan Harian Metro pada 23 Ogos 2021.

Tambah beliau, kejadian berlaku dalam masa seminit dan suspek melarikan diri dengan menunggang dua motosikal diletakkan di hadapan kedai.

Katanya lagi, nilai kerugian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis bagi mengesan suspek. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil bantu siasatan,” ujarnya. - KitaReporters


0
0
0
0
1

Copy Link: