UUM Pusat Pemberian Vaksin

Published by
MOpress

 

Sintok : Universiti Utara Malaysia (UUM) bersedia bersama 19 Universiti (UA) dan Hospital Pengajar Universiti (HPU) untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Pengajian (KPT) dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad baru-baru ini. 

Naib Canselornya Prof Dato’ Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, pihak universiti akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam menjayakan PICK yang diumumkan untuk menyediakan akses yang lebih baik kepada rakyat untuk divaksin.

“UUM telah mengerakkan pasukan untuk membantu menjayakan program yang dirancang ini dan berharap penduduk wilayah utara akan mengambil peluang bagi mendapatkan vaksin yang telah diusahakan oleh KPT melalui pembentangan cadangan mewujudkan PPV IPT dalam Sidang Khas Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) pada 31 Mei lalu ,’ ujarnya lagi.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dalam menyediakan akses yang lebih banyak kepada rakyat untuk divaksin ini dijalankan bersama pasukan khas KPT yang  diketuai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Datuk Dr Husaini Omar ini berkemampuan memberi 14,400 vaksin sehari atau 432,000 vaksin sebulan.

Antara UA dan HPU terlibat ialah Universiti Utara Malaysia (UUM); Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI); Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM); Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM); Universiti Malaysia Kelantan (UMK); Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Model PPV IPT ini mengguna pakai model PPV di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) yang akan melibatkan UA, HPU, Pusat Kesihatan Universiti (PKU) serta Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan sebagai tonggak kepada setiap PPV IPT.

UUM komited untuk menggerakkan semua tenaga kerja kesihatan  terdiri daripada Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian, Pegawai Farmasi, Penolong Pegawai Perubatan, Jururawat, Jabatan Keselamatan dan lain-lain untuk terlibat dalam PPV IPT.

1
0
0
0
0

Copy Link: