Video| Tinggal kenangan? Akan tiada syurga beli belah pokok di Jalan Sungai Buloh selepas Ogos 2026?

Published by
KitaReporters

Selepas Ogos tahun ini (2026), Jalan Sungai Buloh, Selangor yang selama ini tersohor sebagai pusat nurseri pokok akan kehilangan gelaran itu apabila semua pengusaha terbabit berpindah untuk memberi laluan kepada pelaksanaan projek pembangunan dan pembesaran jalan. 

Jika semua pengusaha terbabit mematuhi arahan berpindah, akan tiadalah lagikah syurga beli belah pokok di Jalan Sungai Buloh, Selangor selepas itu? 


Pokok besar dan renek serta anak pokok dalam polibeg, subur menghijau di nurseri.


Persoalan lagi adakah semua pengusaha terkesan dan sempatkah mereka menguruskan kerja pemindahan mengikut waktu? 

Melihat kepada keadaan nurseri, dengan bilangan pokok, yang baru semai dan yang sudah besar dalam polibeg, pasu tanah liat, serta pelbagai peralatan taman dan landskap seperti tanah, baja, pasu, kolam hiasan dan serba manikam peralatan yang demikian banyak, bukanlah mudah untuk dipindahkan. 

Bagi pihak pelanggan atau pengunjung nurseri pula, tiadanya pusat nurseri berkenaan akan terasa satu kehilangan. Selama ini, hati sentiasa teruja melihat kehijauan pokok yang melata di sepanjang Jalan Sungai Buloh. Setiap kali memandu di sekitar kawasan berkenaan, mata tidak dapat tidak pasti terkerling kepada kehijauan pokok dan bunga-bungaan yang subur. 

Dengan terlaksananya projek pembesaran jalan, pastinya tiada lagi suasana pemandangan seperti itu. 


Nurseri  Jalan Sungai Buloh, sinonim dengan gelaran syurga anak pokok. -  Semua gambar kredit: Rashidah Ibrahim



Jika benar projek pembangunan dan pembesaran jalan dimulakan September 2026 seperti diumumkan, maka tidak dapat tidak para pengusaha kena menyelesaikan urusan perpindahan seberapa segera ke tempat lain. 

Ini kerana tapak nurseri itu bukannya milik mereka. Kerajaan Negeri membenarkan mereka berniaga di situ untuk tempoh sementara. 

Kebanyakan pelanggan tidak kisah akan status tempat perniagaan itu, apa yang mereka tahu mudah untuk mendapat pelbagai jenis anak pokok dengan harga mampu beli di Jalan Sg Buloh. Atas tanah siapa mereka (pengusaha) berniaga di sepanjang jalan itu tidak penting bagi pelanggan. 

Rapat dengan jalan, mudah untuk orang ramai sampai dan membeli-belah.

Sudah lebih 30 tahún perniagaan komersial nurseri wujud di sepanjang Jalan Sungai Buloh. 

Menurut carian dalam talian, perniagaan nurseri pokok di sepanjang Jalan Sungai Buloh beroperasi besar-besaran sekitar tahun 1999 menerusi projek "Selangor Greenland" di bawah seliaan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Walau bagaimanapun, akar umbi aktiviti berkebun di kawasan itu bermula seawal tahun 1960-an, pada asalnya dengan kegiatan pesakit tahanan kusta yang diperkenal oleh seorang doktor.


Sambil memandu tidak dapat tidak anak mata pasti terkerling kepada kehijauan pokok dan aneka bungaan di sepanjang Jalan Sungai Buloh, setiap kali lalu di kawasan itu.


Berikut kronologinya.

  • 1960-an: Aktiviti berkebun diperkenal kepada pesakit di Pusat Kusta Sungai Buloh (Valley of Hope) oleh Dr. K.M. Reddy sebagai kegiatan terapi sebelum ia berkembang menjadi sumber pendapatan, menurut laporan Malay Mail.
  • 1980-an: Beberapa nurseri landskap bumiputera dilaporkan mula beroperasi di kawasan itu.
  • 1999-2008: Pengusaha mendapat Lesen Menduduki Sementara (TOL) dan diselia oleh PKPS, menjadikan kawasan itu hub hortikultur yang terkenal di Malaysia.
  • 2019: Pengusaha di sepanjang Jalan Sungai Buloh diarah mengosongkan tapak nurseri masing-masing secara berperingkat-peringkat untuk memberi laluan kepada projek pembangunan dan pelebaran jalan. Namun tidak ramai pengusaha berpindah, pusat nurseri kelihatan wujud seperti biasa dan meriah sehinggalah ke hari ini.
  • Terkini, April 2026, arahan berpindah dikeluarkan lagi, pengusaha merayu supaya diberikan lanjutan masa untuk menyelesaikan urusan perpindahan, tempoh dilanjutkan sehingga Ogos tahun ini (2026). 


Kepelbagaian anak pokok dijual pada harga berpatutan, menjadi tarikan orang ramai dan pengusaha landskap terutamanya untuk berkunjung membeli.


Memetik laporan berita Media Selangor (visual) pada April 27, 2026, Kerajaan Negeri tetap dengan pendirian hanya memberi tempoh lanjutan sehingga akhir Ogos kepada pengusaha nurseri di Jalan Sungai Buloh untuk mengosongkan tapak sebelum projek pelebaran jalan bertingkat-tingkat di KWASA Damansara bermula September 2026 ini. Sudah ada yang menurut arahan namun ada juga yang berusaha untuk mempertahankan kedudukan.

Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan bahawa tiada halangan untuk mana-mana pihak meneruskan kes di mahkamah, namun proses pembangunan dan pelaksanaan projek perlu berjalan demi manfaat jutaan rakyat khususnya di Selangor.

Difahamkan terdapat 66 plot kesemua membabitkan 38 pengusaha terlibat dalam pengosongan tersebut dengan sebahagian mereka mempunyai lebih daripada satu lot. 

Yang sudah berpindah belum ramai, pun begitu pihak berkuasa telah menegaskan, bermula September projek pembesaran jalan akan dimulakan. 


Pokok kaktus persis tanduk rusa ini (kiri) antara yang menarik di salah satu nuerseri di Sg Buloh.


Pihak pengusaha seharusnya menerima arahan itu dengan hati terbuka memandangkan kerajaan negeri telah terlalu baik membenarkan mereka berniaga sementara di situ sekian lama, dengan tempoh melebihi 30 tahun. 

Kita berharap tidak semua terkena projek berkenaan agar masih ada tempat untuk orang ramai membeli pokok dan anak pokok di nurseri Sungai Buloh. Kerana selama ini Sungai Buloh sudah sinonim sebagai syurga beli belah pokok dan pelbagai keperluan peralatan landskap. 

Memang teruja melihat pelbagai jenis pokok dan bunga, meliputi yang baru disemai dan pokok besar, sama ada yang telah berbunga mahupun berbuah, termasuk pelbagai spesies mangga, jambu dan limau serta sayuran.


Rimbunan bunga jenis halus, tumbuh berjambak, antara bunga yang menarik.


Tidak pasti kawasan mana lagi terbabit dengan pelebaran jalan di Sungai Buloh. 

Selain jalan menghala ke hospital dan penjara Sg Buloh, terdapat juga kelompok nurseri di kawasan lain seperti di Kampung Melayu Sungai Buloh. Tidak pasti sama ada pusat tanaman anak pokok (nurseri) yang diusahakan oleh penduduk di situ turut terkena projek pembesaran jalan.

Bertanya dalam talian, jawapannya sangat mengejutkan: "Ya, pusat-pusat nurseri pokok di sepanjang Jalan Sungai Buloh, termasuk kawasan berhampiran Kampung Melayu Sungai Buloh, turut terkesan dengan projek pelebaran jalan bertingkat-tingkat KWASA Damansara."

Sekali lagi, harapan penulis, tidak semua terkena. Semoga ada lagi tempat yang kita boleh berkunjung untuk membeli anak pokok dan peralatan landskap di Sg Buloh. - KitaReporters


Kiri pokok terung dan kanan, lada antara turut dijual. - Semua gambar kredit: Rashidah Ibrahim

10
9
0
3
0

Copy Link: