Tan Cheng Hoe ketika sidang media mengumumkan barisan pelatih skuad kebangsaan bagi menghadapi Piala AFF 2020 pada Disember 2021 ini. - Kredit foto: FAM


LEGENDA bola sepak negara, Datuk Shukor Salleh menganggap isu keletihan yang dinyatakan oleh jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe sebagai alasan mengetepikan empat tonggak kelab Johor Darul Ta’zim daripada senarai pelatih skuad kebangsaan sangat janggal dan tidak masuk akal.

Malah, katanya, alasan itu tidak boleh diterima pakai dalam bola sepak kerana sebagai pemain, terutama pemain profesional, mereka perlu sentiasa bersedia untuk sebarang tugasan, sama ada untuk kelab, apatah lagi negara.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Piala AFF


 

Shukor Salleh pertikai alasan diberikan oleh Tan Cheng Hoe. - Kredit foto: Berita Harian.


“Apa alasan ni? Pelik sungguh. Saya tak faham. Sebagai pemain, tak ada istilah letih. Mereka pemain profesional, kerja mereka main bola, perlu bersedia untuk bermain bila diperlukan apatah lagi untuk pasukan kebangsaan.

“Lagi pun liga kita ada ‘break’, jadi itulah cuti mereka untuk berehat. Alasan macam ni memang tak boleh pakai, tak masuk akal.

“Zaman kami dahulu, tak timbul isu pemain letih dan tak boleh main untuk pasukan negara malah kami sentiasa bersedia untuk dipanggil pada bila-bila masa. Bayangkan, kami dahulu, pagi bekerja, petang berlatih dan terbabit dengan pertandingan sepanjang tahun. Selain wakil negeri dalam Piala Malaysia, kami wakil kelab untuk Piala FAM dan juga main untuk Piala Emas Raja-raja.

 “Kami juga mewakili negara untuk pelbagai pertandingan seperti Pestabola Merdeka, Piala Jakartaraya, Piala Presiden Korea dan pelbagai pertandingan. Malah, saya masih ingat, kami pernah menyertai pertandingan di Korea dalam bulan puasa.

“Kami tidak pernah merungut letih, jauh sekali menarik diri bila dipanggil kerana bagi kami mewakili negara adalah satu kebangaan,” ujar Shukor.


Corbin Ong antara pemain utama yang diketepikan daripada skuad kebangsaan atas alasan keletihan. - Kredit foto: FAM


Barisan pelatih skuad Harimau Malaya bagi menghadapi Piala AFF 2020, Disember 2021, mencetuskan tanda tanya kepada peminat bola sepak apabila beberapa tonggak kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) tercicir daripada senarai.

Antara yang menjadi pertikaian penyokong adalah keputusan Cheng Hoe menyisihkan empat pemain utama JDT iaitu penjaga gol, Farizal Marlias; dua pertahanan, Corbin Ong dan Matthiew Davies; serta penyerang muda, Arif Aiman Hanapi.

Keempat-empat pemain ini turut diketepikan daripada tugasan skuad kebangsaan pada dua aksi persahabatan kelas A menentang Jordan dan Uzbekistan di Amman, Jordan, Oktober 2021 lalu yang mana kita tewas dalam kedua-dua perlawanan itu.

Malah Arif turut tidak disenaraikan dalam skuad Bawah 22 Tahun (B22) negara yang bertanding pada kelayakan Piala Asia B23 di Mongolia

Farizal, Corbin dan Davies sebelum ini merupakan tulang belakang Harimau Malaya sementara Arif menunjukkan potensi besar sebagai prospek masa depan bola sepak Malaysia semasa disenaraikan dalam skuad kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Jun 2021 lalu. 

Malah, mereka menunjukkan permainan yang konsisten dan bertenaga bersama JDT sepanjang kempen bola sepak musim ini yang menyebabkan tercetus tanda tanya mengenai ketiadaan mereka dalam skuad Harimau Malaya kali ini.


Farizal turut tidak dipilih dalam senarai pelatih skuad kebangsaan ke pertandingan Piala AFF. - Kredit foto: FAM


Cheng Hoe, ketika mempertahankan keputusannya itu, memberi alasan mengetepikan keempat-empat pemain berkenaan kerana keletihan selepas mengharungi pelbagai pertandingan musim ini.

"Saya rasa barisan jurulatih meneliti pelbagai aspek daripada pemain berkenaan, mereka dah jadi tonggak utama skuad kebangsaan yang agak lama juga, dan kita pun tahu kualiti mereka.

"Disebabkan mereka menghadapi musim yang agak panjang terutama selepas kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 (di Emiriah Arab Bersatu pada Jun 2021 lalu), mereka tidak ada rehat langsung.

"Mereka juga bermain dalam perlawanan ACL (Liga Juara-Juara Asia, Liga Super dan juga Piala Malaysia… sudah tentu kita tahu kualiti mereka dan kita beri peluang kepada pemain-pemain lain untuk kita dapatkan kelompok pemain pada Kelayakan Piala Asia nanti, itu sebab pemain-pemain ini tidak disenaraikan," kata Cheng Hoe.


Arif Aiman, pemain muda yang diberi kepercayaan menyarung jersi Harimau Malaya pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023 di UAE pada Jun lalu. 


Malah menurut Cheg Hoe, beliau tidak mahu terlalu menekan Arif Aiman dengan memilih merehatkan tonggak berusia 19 tahun itu.

"Kalau kita lihat Ariff Aiman adalah satu-satunya pemain yang punya potensi, kalau kita lihat dari segi permainan dia sedang meningkat dan sudah tentu pemain-pemain muda ini, kita tidak boleh terlalu banyak menggunakannya yang mungkin akan keletihan dan tak boleh nak perform

"Kita perlukan dia untuk rehat yang secukupnya dan kalau kita lihat pemain ini sentiasa bermain dalam perlawanan yang kompetitif, dan untuk kempen Kelayakan Piala Asia nanti saya percaya dia akan bersedia," katanya.

Alasan diberikan oleh Cheng Hoe ternyata tidak dapat diterima oleh peminat kerana jurulatih lazimnya akan memilih pemain yang sedang berada pada prestasi tahap tinggi.

Malah, mereka mempertikaikan pemilihan beberapa pemain yang kurang minit permainan seperti Akhyar Rashid, Shahrul Saad yang baru pulih daripada kecederaan, juga keputusan mengekalkan pemain naturalisasi, Guilherme de Paula yang dianggap gagal.




Sementara itu, jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berharap penyokong tidak mempertikaikan pemilihan pemain untuk skuad kebangsaan sebaliknya perlu menghormati pendirian jurulatih, Cheng Hoe kerana pada akhirnya beliau yang akan bertanggungjawab di atas segala keputusan yang dibuatnya.

Azraai berkata apa pun keputusan yang dibuat oleh Cheng Hoe pasti sudah dipertimbangkan baik buruknya terhadap pasukan negara serta kedudukannya sebagai jurulatih Harimau Malaya.

“Sebagai jurulatih, Cheng Hoe yang lebih tahu apa yang beliau mahukan untuk pasukan kebangsaan dan pasti segala keputusannya dalam pemilihan pemain sudah dipertimbangkan masak-masak.

 “Apa pun alasan yang beliau beri, kita perlu terima kerana beliau lebih tahu malah akhirnya beliau yang perlu bertanggungjawab. Kalau gagal, kepala dia yang nak kena ‘pancung’,” ujar Azraai. 

Piala AFF 2020 yang sepatutnya berlangsung tahun lalu ditunda ke 5 Disember 2021 hingga 1 Januari, 2022 akibat pandemik Covid-19. Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Vietnam, Kemboja dan Laos. - KitaReporters 


18
13
0
11
0

Copy Link: