PENYANYI dan komposer, Faizal Tahir antara artis Malaysia yang proaktif dan kreatif dalam memperkembangkan karier seninya agar tidak terkubur waima terkesan pandemik COVID-19 sekali pun.

Terbaharu, pemilik bernama penuh Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 43, maju setapak lagi apabila syarikat Faithful Publishing berjaya menembusi ‘tembok’ China apabila berkolaborasi bersama  penyanyi terkenal dari republik di Asia Timur itu, G.E.M.

G.E.M atau nama sebenar Gloria Tang Tsz-kei (gambar bawah), merupakan  penyanyi Mandopop wanita pertama paling laris di China dan Hong Kong,  mencapai 100 juta tontonan dalam YouTube dengan tiga video muziknya.

Arti itu juga satu-satunya bintang pop China dalam senarai ‘BBC 100 Women’ dan ‘Forbes 30 under 30.


Lagi kisah menarik berkaitan negara China


Melalui kolaborasi yang dilihat sebagai pembuka jalan untuk Faithful Publishing meningkatkan eksport lagu ke luar negara, karya ciptaan Faizal Tahir, Ja’a, Mage, Mike Chan dan Tuju serta Yonnyboii, ’X Missing You’, menjadi pilihan G.E.M. untuk diadaptasikan dalam versi Mandarin dengan judul ‘I’ll Be Missing You’.

“Proses rundingan ini mengambil masa lima bulan. Apabila ia berhasil, perkara ini dilihat mampu meningkatkan nilai eksport lagu tempatan ke peringkat antarabangsa, seterusnya memperkenalkan lagi kekuatan dan penciptaan lagu anak seni tanah air,“  ujar Pengarah Penerbitan Faithful Publishing, Karim Karam (gambar bawah).

Menurutnya, dalam dunia digital hari ini, pencipta lagu dan syarikat penerbitan harus mempunyai pandangan yang lebih luas dan karya ciptaan mereka mampu untuk bersaing pada peringkat global.



Sementara itu, Faizal Tahir mengakui tidak pernah menjangkakan sama sekali lagu ciptaannya akan diadaptasi dan dinyanyikan oleh bintang antarabangsa.

“Alhamdulillah, sebagai seorang komposer dan penerbit sudah semestinya kita mahu pendengar menerima lagu kita dengan baik. Tapi untuk dinyanyikan oleh penyanyi dari luar negara bukan sesuatu yang saya jangkakan, jadi sudah semestinya saya menerima dengan baik dan teruja dengan tawaran ini dari mulanya ia diberitahu kepada saya,” ujar Faizal.




Tambahnya, beliau berbangga dapat berkongsi idea dan bekerjasama dengan artis luar sekali gus mampu membuka pintu dan ruang untuk pengkarya tempatan lain melakukan sedemikian. 

Berkongsi mengenai keunikan lagu ‘X Missing U’ sehingga berjaya dibawa ke pasaran antarabangsa, Faizal berkata, ia terletak pada gabungan empat vokal dan karakter yang berbeza dalam lagu tersebut.

“Melalui nyanyian Dayang Nurfaizah, Yonnyboi, Tuju dan saya sendiri, dan ini adalah kekuatan dan keunikan lagu ini. Setiap penyanyi membawa karakter tersendiri yang sangat unik dengan penyampaian yang sangat baik. 

"Saya berpendapat itulah yang  menjadi penarik perhatian kepada lagu ini sehingga ada artis luar yang berminat untuk menyanyikannya,” kata Faizal.



Untuk rekod, lagu ‘I'll Be Missing You’ nyanyian G.E.M. yang baharu saja dilancarkan sudah berada di kedudukan #3 lagu baharu di China, tersenarai dalam playlist Music 163 China yang mempunyai 2.4 billion strim dan berada di kedudukan #3 carta trending YouTube di Taiwan dan #18 di Hong Kong.

Wah! Tahniah Faizal Tahir kerana berjaya memecah istilah 'tuntutlah ilmu sampai ke negeri China' kerana China kini pula sudah mampu menerima dan menuntut hak karya kita. - KitaReporters


11
15
0
11
0

Copy Link: