Terjemahan emosi Rosli Nordin! Kembara 40 negara beri inspirasi! Meluah rasa menerusi kanvas lukisan!

Published by
KitaReporters


Mungkin agak klise ayat berbunyi jauh perjalanan, luas pemandangan. Namun itulah realiti yang dilalui Rosli Mohd Nordin, 46, sepanjang hidupnya. Pengalaman menjelajah pelbagai negara memberinya peluang untuk merasa, menghirup serta menekuni apa yang diserap oleh pancainderanya dan seterusnya diluahkan melalui seni lukis.

Rosli bertuah kerana kerjayanya sebagai penerbit di Radio Televisyen Malaysia (RTM) memberi peluang dia ‘terbang tinggi’ menjelajah seluruh pelosok dunia. 

Kesempatan yang ada, tidak disia-siakan. Jejaka berasal dari Kampung Gajah, Perak dan kini menetap di Petaling Jaya, Selangor ini, tahu benar mengadaptasi pengalaman mahal itu.

Bakatnya dalam bidang lukisan disedari ketika masih kecil lagi. Tatkala anak kecil sebayanya baru pandai melukis ‘orang lidi’, dia sudah pandai melukis figura manusia.


Bakat melukis dapat dikesan sejak dia berumur sembilan tahun.


“Saya merupakan seorang penerbit dokumentari, model iklan, penulis bebas dan pensyarah sambilan. Saya menyedari mempunyai kebolehan melukis sejak berusia sembilan tahun lagi. 

"Ketika itu saya mampu melukis figura manusia dan pelbagai haiwan seperti kucing kesayangan saya. Namun kerana kurang pendedahan dan peralatan melukis, ia hanya menjadi hobi yang tidak diambil serius oleh saya.

"Setelah menamatkan persekolahan tingkatan lima (Sijil Pelajaran Malaysia, SPM), saya cuba memohon kursus Seni dan Rekaan di Universiti Teknologi MARA (UiTM), namun saya hanya melepasi tahap pertama sahaja (calon disenarai pendek dikehendaki hadir ke UiTM dan perlu melukis secara langsung untuk dinilai oleh panel),” ceritanya.

Tidak mudah mengalah, Rosli menyambung pelajaran di tingkatan enam dan mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Perjuangan diteruskan dengan menyambung pengajian di Jabatan Pengajian Media (Fakulti Sastera dan Sains Sosial), Universiti Malaya (UM).

Di situlah dia mula bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti kesenian seperti teater, boria, tarian asli dan kreatif serta pelbagai aktiviti pelajar. Tidak sia-sia, dia berjaya menjadi Pengarah Projek Delegasi Kesenian bagi menyertai Festival Tarian Rakyat Sedunia di Ismailia, Mesir pada 2000.


Di UM, Rosli aktif dalam pelbagai aktiviti sehingga melupakan sejenak dunia lukisan.


Dunia lukisannya mula menjauh tatkala bidang kewartawanan dan penerbitan buku-buku dokumentari mengambil alih.  

“Setelah menamatkan pengajian di UM, saya bekerja di Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai wartawan penyiaran (BJ). 

"Selama hampir lapan tahun sebagai BJ, saya berpindah ke Unit Majalah dan Dokumentari bagi menerbitkan program seperti Panorama dan Syahadah. Sepanjang bekerja di RTM lebih 23 tahun, saya telah menjelajah hampir 40 buah negara.

"Bekerja sambil mengembara membolehkan saya menelusuri pelbagai budaya masyarakat global dalam perspektif seni lukis. Momen tersebut terakam kemas dalam memori saya. 

"Jadi apabila saya melukis saya terjemahkannya di atas kanvas menggunakan medium arkilik,” jelasnya.


Tuntutan kerja membolehkan Rosli pergi mengembara ke pelusuk dunia.


Kembali aktif melukis

Ibarat sireh pulang ke gagang, dunia seni lukisnya mula datang mendekat, memeluk saat dia ingin meluahkan rasa dan menterjemahkan emosi. 

Segala-galanya bermula ketika dunia sunyi dilanda wabak COVID-19. Masa terluang di rumah, digunakan sepenuhnya untuk melukis.

“Saya kembali aktif melukis khususnya lukisan abstrak sejak tahun 2019 kerana penularan virus COVID-19. Banyak masa terluang di rumah, saya gunakan untuk aktif melukis. Sehingga kini saya telah menghasilkan lebih 40 buah lukisan di atas kanvas pelbagai saiz. 

"Lukisan yang dihasilkan lebih kepada cara saya untuk melepaskan emosi seperti marah, gembira dan kecewa kerana melukis merupakan sebahagian daripada terapi diri yang paling efektif. 

"Melihat hasil lukisan yang dihasilkan, saya merasa puas kerana emosi dan memori dapat diterjemahkan melalui lukisan yang juga mampu menjana pendapatan dan memberi nilai sentimental jika ia digantung di ruang di rumah atau pejabat,” ceritanya. 


Rosli gemar melukis sebagai terjemahan emosi dan memorinya.


Menurut Rosli, pada mulanya dia hanya melukis untuk diri sendiri. Namun hasil karyanya mula dipandang oleh rakan-rakan dan bermula sejak itu, ia menjadi sumber pendapatan sampingan.

“Sebenarnya saya melukis, bukanlah bertujuan untuk komersialisasi. Tetapi apabila rakan-rakan mengetahui saya boleh melukis, mereka membuat tempahan untuk dijadikan perhiasan ruang rumah dan pejabat mereka.

"Ada juga yang menjadikan lukisan saya sebagai hadiah untuk majlis keraian dan hadiah bagi pelbagai tujuan peribadi. Saya menyedari, saya bukanlah pelukis profesional, namun saya mempunyai sense of art yang tersendiri. Jadi, saya tidaklah meletakkan harga yang begitu tinggi. Harga lukisan yang pernah terjual ialah RM1,500. 

"Kebanyakan karya, saya pamerkan di pelbagai ruang di rumah saya yang dipanggil sebagai “Galeri Rimbun Gasing”. Saya berangan-angan satu hari nanti saya benar-benar mempunyai studio sendiri yang menggabungkan sebuah kafe seni yang menjual pelbagai makanan tempatan dan moden.

"Kafe seni tersebut pastinya akan dihias dengan pelbagai karya lukisan saya dan mempunyai ruang pengunjung untuk berkarya dan mengadakan pelbagai aktiviti seni,” katanya yang menjadikan Vincent Van Gogh idolanya.


Rakan-rakan sering membeli karyanya untuk dijadikan hiasan ruang rumah dan pejabat.


Rosli juga mengambil kesempatan memberi nasihat kepada generasi baharu yang berminat dalam seni lukis agar tidak mensia-siakan bakat tersebut.

“Kepada adik-adik yang mempunyai bakat melukis (seni) jangan sia-siakan bakat anda. Seunit lukisan atau hasil seni seperti arca mampu membolehkan anda memiliki sebuah rumah impian.

"Namun pastikan anda benar-benar merupakan pelukis yang hebat. Lanjutlah pengajian dalam bidang ini yang kini sangat terbentang luas untuk diterokai. 

"Pelbagai institut pengajian menawarkan kursus seni yang menjadi titik tolak anda pergi lebih jauh dalam bidang ini. 

"Lukisan mempunyai pelbagai genre dan aliran. Oleh sebab itu melanjutkan pengajian di kolej atau universiti amat penting supaya pelbagai elemen seni seperti sejarah lukisan era manusia purba-moden, komposisi, mesej dan pelbagai elemen dapat dipelajari secara sistematik dan konsisten.

"Namun kepada mereka yang tidak mempunyai latar akademik yang formal dalam bidang seni lukis, jangan bazirkan bakat melukis anda. Anda boleh sahaja menjadi pelukis yang hebat jika mempunyai semangat, minat dan bakat yang semula jadi. Jika kurang berbakat, asahlah dari awal kerana jika berbakat tanpa sikap rajin belajar anda tidak akan ke mana-mana,” tegasnya. - KitaReporters


Kembali aktif melukis ketika virus COVID-19 melanda dunia.


13
12
0
8
0

Copy Link: