LIMA tahun bekas ahli kumpulan nasyid UNIC, Mohammad Hafiz Hamidun, 36, berulang alik ke Turki, Mesir dan Indonesia sejak 2015 dan sebelum dunia dilanda COVID-19. Sudah tentu peminatnya tertanya-tanya apakah beliau pergi bercuti atau tenangkan fikiran  dan membawa hati nan lara akibat bercerai selepas hanya 5 bulan bernikah dengan usahawan kosmetik, Joy Revfa? : KitaReporters


Foto kredit: Instagram @hafizhamidun.

Jangan salah sangka ya… perceraian tu dah berlaku lama pada Oktober 2017 dan sebenarnya Hafiz Hamidun jelajah ke tiga negara berkenaan kerana ingin menyempurnakan produksi album terbaharunya,  ‘Marhaba’ yang kini sudah pun dilancarkan di  pasaran tempatan.

Wow! Tahniah Hafiz yang merupakan artis nasyid pertama membuka tirai 2021 ini dengan sebuah album studio keenamnya susulan daripada siri album Zikir Terapi sebelum ini.

Kemunculannya semula dengan membawa salawat Islam moden yang baharu kepada peminat, Hafiz Hamidun mengumumkan 3,000 set kotak yang mengandungi salinan album fizikalnya habis dijual untuk prapesanan sejak dibuka pada 12 Disember 2020.

Dan cuba teka siapakah artis terawal sekali yang dapat CD Box Set album ‘Marhaba’?

Tentulah idolanya, Dato Seri Siti Nurhaliza  yang mana Hafiz pernah menciptakan lagu ‘Mikraj Cinta’ buat Tok Ti sebagai lagu bonus dalam abum ‘Siti Nurhaliza Unplugged’ lima tahun lalu.



Album 'Marhaba' mengandungi 13 trek seperti “Ya Imam Ar-Rusli,” “Ahmad Ya Habibi”, “Khairal Bariyyah”, dan banyak lagi.

Menariknya, 12 video muzik akan menyusul selepas ini dengan pengeluaran satu setiap bulan mulai Januari 2021.

Wow! Hebat Hafiz.

Tidak hairanlah beliau sendiri menganggap album terbaharunya ini sebagai yang paling terbaik sejak tampil dengan album solo sulungnya pada 2007 yang menggunakan namanya sebagai tajuk album berkonsepkan Pop Nasyid.

“Saya bangga untuk mengakui projek ini sebagai projek muzik terbesar yang pernah saya ada, dan saya harap ia akan dikenali sebagai karya terbaik daripada saya," kata Hafiz.

Menurutnya, semasa menghasilkan album itu, beliau selalu mengingatkan dirinya  seperti "ini adalah album terakhir daripada saya". 

Dengan berbuat demikian, tambah Hafiz beliau mencabar dirinya untuk menjadikan sesebuah album itu sebaik mungkin. 

“Saya tahu album ini mungkin tidak sempurna, tetapi satu perkara yang pasti ia adalah hasil daripada titik peluh, darah dan air mata saya dalam pembikinan album ini,” luah Hafiz.



Perjalanan yang ditempohi melewati Turki, Mesir dan Indonesia  untuk menghasilkan ‘Marhaba’ disifatkannya satu peluamg bekerja dengan beberapa pemuzik dan jurutera terbaik di dunia.

Hafiz merakam sebahagian besar album Marhaba di Istanbul, Turki serta di studionya di Petaling Jaya, Selangor bersama pemuzik dan jurutera yang sangat berbakat dari Turki, Mesir, Amerika Syarikat, Indonesia, dan Australia.

Evolusi Hafiz Hamidun tidak kurang hebatnya. 

Setelah menjadi ahli kumpulan nasyid UNIC, dia menjadi artis solo dengan rentetan pelancaran ikonik, produser dan komposer pemenang anugerah, dan pengusaha muzik dengan jejak antarabangsa.

Sumbangan inovatifnya terhadap muzik nasyid telah menyebabkan dia dinobatkan sebagai salah seorang daripada 500 orang Muslim paling berpengaruh di dunia oleh penerbitan buku, 'The Muslim 500' edisi 2009.

Sebagai langkah awal mempromosikan album ‘Marhaba’ Hafiz bakal mengadakan showcase ‘Marhaba’ pada 8 Januari 2021 depan dalam platform shopee_my seperti yang diumumkan melalui laman Instagramnya.

Nak tahu lanjut mengenai Hafiz Hamidun  boleh lawati laman web https://hafizhamidun.com. - KitaReporters


0
0
1
0
0

Copy Link: