Dengan perkembangan terbaharu yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin membabitkan lanjutan tarikh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April 2020, nampak gayanya pelajar sekolah menikmati ‘rehat’ yang lebih panjang di rumah. : KitaReporters


Bagi kanak-kanak Sekolah Rendah khususnya sudah tentu banyak menghabiskan masa menonton pelbagai siaran dalam saluran khas untuk mereka khususnya seperti kartun mahu pun siri animasi popular seperti Didi & Friends.

Siri 'edutainment' ini yang merupakan hasil produksi bersama Astro dan Digital Durian mempunyai 3.52 juta pengikut dan lebih 2.5 bilion jumlah tontonan di saluran YouTube mereka.

Di kaca televisyen siri animasi kanak-kanak popular ini bersiaran secara eksklusif di Astro Ceria dan Ceria HD. 

Menurut rekod sejarah penubuhannya,  Didi & Friends merupakan sebuah francais media 'belajar sambil berhibur' bagi kanak-kanak prasekolah yang dicipta oleh syarikat Digital Durian.

Kisahnya berkisar mengenai sekawan tiga ekor ayam serama yang bernama Didi 9 (ayam serama Jantan berbulu kuning), Jojo (ayam serama jantan berbulu putih) dan Nana (ayam serama betina berbulu kuning air) serta kawan-kawan haiwan antropomorfik yang menyanyikan lagu kanak-kanak antara lainnya. 

Francais siri ini bermula dalam bentuk sebuah saluran YouTube, menyiarkan video animasi lagu kanak-kanak sejak 15 Mei 2014.


Atas popularitinya, ia berkembang menjadi siri animasi televisyen, siri filem, siri buku dan pelbagai barang dagangan yang sasaran fokusnya tentulah kepada kanak-kanak. 

Video-video Didi & Friends juga dibawa ke Astro Cera mulai 8 Disember 2015, manakala dua tahun kemudian, francais animasi ini mengorak langkah baharu melalui kerjasama dengan pihak Astro mengeluarkan siri episod yang lebih panjang iaitu Cerita-Cerita Didi & Friends, bermula dengan pratayangan di pawagam TGV Cinemas diikuti dengan siaran perdana di Astro Ceria mulai 14 Ogos.

Pada 2018, sejarah dicipta apabila filem pawagam pertama francais iaitu filem muzikal 'Konsert Hora Horey Didi & Friends' dikeluarkan pada 10 Mac sempena cuti sekolah di pawagam-pawagam seluruh Malaysia dengan penampilan istimewa Datuk Seri Siti Nurhaliza.


Terbaharu, demi menyahut saranan kerajaan yang menyeru rakyat untuk sentiasa menjaga kesihatan, Didi & Friends, tampil dengan lagu dan muzik video ‘Jom Lawan Coronavirus’ yang mengajar orang ramai langkah-langkah mudah bagi mencegah jangkitan virus COVID-19!

Lagu berdurasi 2 minit itu menyaksikan Didi, Nana dan Jojo serta rakan-rakan lain menari sambil menyanyi tentang pentingnya menjaga kebersihan dalam memerangi virus dan bakteria berbahaya. 

Lirik lagu yang catchy itu menyatakan tiga langkah mudah mengelak pandemik COVID-19: 

  1. cuci tangan, 
  2. memakai topeng muka ketika sakit, dan 
  3. tidak menyentuh muka. 

Lagu istimewa berkenaan ditulis dan diterbitkan oleh Digital Durian bersama komposer terkenal, Omar K malah jika ada yang terlepas dan mahu menonton muzik videonya boleh disaksikan di bawah ini :


Lebih istimewanya, bagi memperluaskan ajaran menjaga kebersihan untuk semua golongan tidak kira bangsa, lagu yang sama boleh dinikmati dalam versi Bahasa Inggeris bertajuk ‘Fight Coronavirus’ . Sila layan lagu berkenaan ini di bawah ini ya....

Tetapi dalam pada berhibur dengan siaran tv jangan pula lupa ulang kaji pelajaran ya. Itu pun penting! Dan jangan lupa #DudukRumah ya! - KitaReporters 

8
5
1
0
1

Copy Link: