Berita Terkini| Kebun sawit jadi markas seleweng gas LPG di Pulau Pinang! Pekerja lari diserbu

Published by
KitaReporters

Pegawai penguat kuasa KPDNHEP Pulau Pinang memeriksa tong gas LPG yang dirampas dalam serbuan di sebuah kebun kelapa sawit, di Bukit Minyak, Seberang Perai, Pulau Pinang. - Kredit foto: Sinar Harian.


SEBANYAK 138 tong gas petroleum cecair (LPG) dirampas dalam serbuan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang di sebuah kebun kelapa sawit pada Jumaat, 16 April 2021.

Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, pihaknya dalam serbuan berkenaan telah merampas peralatan yang digunakan untuk memindahkan gas tersebut.

“Hasil risikan dan aduan orang awam, 11 pegawai penguat kuasa KPDNHEP Pulau Pinang menyerbu sebuah lot tanpa nombor dalam kawasan kebun kelapa sawit di kawasan Bukit Minyak, Seberang Perai.

"Ketika serbuan, beberapa pekerja yang disyaki sedang menjalankan penyelewengan berjaya melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak penguat kuasa,” katanya di Pulau Pinang dalam satu kenyataan media, pada Jumaat 16 April 2021.

Mohd Ridzuan menambah, siasatan di lot tersebut mendapati kumpulan tersebut melakukan aktiviti penyelewengan gas LPG di dalam kawasan tertutup di kebun kelapa sawit tersebut.

“Siasatan juga mendapati modus operandi yang digunakan kumpulan tersebut adalah dengan memindahkan gas LPG bersubsidi 14 kilogram (kg) ke dalam tong gas industri 50kg.

"Kita berjaya merampas 30 tong LPG 50kg, 108 tong LPG 14kg dan peralatan yang digunakan untuk memindahkan gas tersebut. Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM22,500,” katanya.

Pihaknya memandang serius pelanggaran kelulusan lesen dan permit barangan kawalan yang dikeluarkan oleh KPDNHEP oleh pemilik perniagaan yang akan merugikan kerajaan dan rakyat.

Katanya kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu katanya syarikat pula ia memperuntukkan denda tidak melebihi RM2 juta, jika sabit kesalahan.

“Setiap peniaga yang menjual atau menggunakan barang kawalan berjadual perlu memastikan mempunyai lesen atau permit kebenaran yang dikeluarkan oleh KPDNHEP selain  perlu mematuhi segala peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas daripada pihak kementerian," katanya. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

 

0
0
0
0
0

Copy Link: