KETIKA isterinya Fazura hamil, Fattah Amin menzahirkan kesyukurannya melalui single kerohanian “Kiriman Agung’. Kini setelah dikurniakan kiriman agung dengan kelahiran cahaya mata sulung, Nur Fatima Aisya, Fattah menterjemahkan pula perasaan terindahnya itu melalui single terbaharunya, ‘Sinar Selawat’. : KitaReporters



Lagi kisah-kisah berkaitan Fattah Amin:

https://kitareporters.com/search?search=fattah


Karya yang menyimpan makna tersendiri itu direalisasikan menerusi kerjasama kedua dengan komposer terkenal, Hafiz Hamidun serta penulis lirik prolifik, Ahmad Fedtri Yahya.

Sesungguhnya, tiada yang lebih indah atas kurniaan paling berharga yang dinanti-nantikan oleh setiap pasangan yang bergelar suami isteri ya tak?



"Sinar Selawat menterjemahkan suara hati dan perasaan bersyukur saya apabila dikurniakan Allah SWT dengan anugerah terindah dalam hidup iaitu zuriat. 

"Seperti pasangan lain, saya dan isteri juga mendambakan kehadiran cahaya mata sebagai pelengkap kehidupan rumah tangga kami berdua. Alhamdulillah, penantian dan doa kami selama ini terjawab dengan kehadiran Nur Fatima Aisya pada 2 Oktober lalu,“ Fattah memanjatkan kesyukuran. 

Menurut pelakon dan penyanyi  itu lagi, momen yang dirasakan  terlalu bermakna dan ia menjadi kenangan paling manis buat dirinya.

“Kemanisan itu lebih dirasai apabila kehadiran permata hati saya itu turut diraikan dengan iringan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW," tambahnya.



Mengakui, projek istimewa kedua sempena kelahiran anak sulungnya itu begitu dekat dengan hatinya, Fattah memberitahu, sepanjang proses  rakaman berlangsung, hatinya begitu tersentuh dengan bait indah lirik yang digarap kemas Ahmad Fedtri. 

"Sebagai penulis lirik berpengalaman, Ahmad Fedtri begitu memahami, malah berjaya menyelami segala yang terpendam dan terbuku di sudut hati saya ketika menempuh perjalanan untuk menjadi seorang bapa.

"Dia juga berjaya menterjemahkan perasaan bertuah dan terharu saya apabila diberikan Allah SWT peluang berharga untuk menikmati setiap momen istimewa yang mengubah seluruh kehidupan saya sejak kelahiran Nur Fatima Aisya, “ luah Fattah terharu.

Bagi pelakon ‘Hero Seorang Cinderella’ yang menemui cintanya di lokasi dengan pasangan heroinnya  Nur Fazura ketika itu, menambah kata, setiap bait menyimpan makna yang tersendiri dan ia menjadi lebih indah apabila diselitkan dengan puji-pujian terhadap Allah SWT serta selawat sebagai simbolik kesyukurannya meraikan kehadiran zuriat pertama dalam hidup. 

Abdul Fattah Mohd Amin, 30, bernikah dengan Nur Fazura Sharifuddin, 37, dalam majlis secara tertutup pada 27 November 2017, di sebuah hotel di Kuala Lumpur dan dikurniakan Nur Fatima Aisya, 2 bulan,  yang sehingga kini belum didedahkan sepenuhnya wajah bayi perempuan itu melainkan sipi-sipi sahaja. 



Sementara itu, sebagai komposer, Hafiz Hamidun  menyifatkan peluang kerjasama dengan Fattah ketika rakaman lagu 'Kiriman Agung' dahulu memudahkan dia memahami apa yang dimahukan penyanyi itu dalam menghasilkan ‘Sinar Selawat’.

"Ketika menghasilkan 'Kiriman Agung', saya cuba memahami perasaan Fattah dan isterinya yang begitu mendambakan kehadiran zuriat dalam rumah tangga mereka. 

"Saya jadikan zikir-zikir amalan memohon zuriat sebagai asas utama untuk dijadikan melodi dan hasilnya begitu menyentuh perasaan. Dan menerusi 'Sinar Selawat' pula, saya cuba menterjemahkan perasaan syukur dan terharu pasangan itu apabila doa mereka untuk menimang cahaya mata dimakbulkan Allah SWT," ceritanya. 

Menyifatkan Fattah sebagai anak seni yang serius dan profesional dalam menjalankan peranannya, Hafiz berkata, dia tidak berdepan sebarang masalah ketika proses rakaman berlangsung.

"Bekerja dengan Fattah sangat mudah. Sesi rakaman berjalan dengan lancar kerana dia serius bekerja dan memahami tanggungjawabnya di studio rakaman.

"Fattah juga memberikan sepenuh kepercayaan kepada saya untuk menerbitkan lagu tersebut.  Saya tidak mengambil masa yang lama untuk proses memasukkan vokal kerana Fattah membuat persediaan rapi sebelum melangkah ke studio," katanya lagi. 

Tambah Hafiz, disiplin tinggi yang ditunjukkan Fattah membuatkan proses rakaman berjalan dengan mudah. 


 


Meskipun seni penulisan lirik bukan lagi sesuatu yang asing buat dirinya, Ahmad Fedtri mengakui, dia berdepan cabaran tersendiri ketika diberi kepercayaan untuk menghasilkan lirik lagu ‘Kiriman Agung’ dan ‘Sinar Selawat’. 

"Kedua-dua lagu itu perlu menterjemahkan perjalanan emosi yang dilalui pasangan popular berkenaan. Menerusi 'Kiriman Agung', saya menterjemahkan suara dan pengharapan mereka dalam menantikan kehadiran zuriat sebagai pelengkap hidup.

"Untuk 'Sinar Selawat' pula, saya cuba menggambarkan perasaan terharu dan syukur mereka apabila impian menimang cahaya mata menjadi kenyataan,” jelas Ahmad Fedtri.

Sambungnya, kehadiran permata berharga dalam hidup mereka itu diterjemahkan sebagai 'Sinar', manakala 'Selawat' pula dialunkan untuk mengiringi permulaan perjalanan hidup insan yang begitu mereka nanti-nantikan itu. 

Seperti Hafiz, Ahmad Fedtri turut mengakui, mudah bekerjasama dengan Fattah yang sentiasa memberikan komitmen jitu dalam memastikan mutu nyanyiannya memperlihatkan kematangan. 

"Mendengar sentuhan akhir lagu ini, saya memuji Fattah yang berjaya melunaskan tanggungjawabnya dengan begitu baik. Lagu ini cukup serba-serbi, malah Fattah memberikan mutu persembahan yang melangkaui jangkaan saya. 

"Saya sudah terbiasa mendengar demo lagu ini yang dirakamkan Hafiz, namun Fattah berjaya menyuntik kelainan dalam mencorakkan 'Sinar Selawat' supaya menjadi versinya sendiri malah dapat dirasakan perasaannya selepas bergelar bapa,” tambah Fedtri. 

Diterbitkan Universal Music Malaysia, 'Sinar Selawat' sudah boleh didengar di semua platform digital  malah boleh menontonnya melalui video muziknya sekali. - KitaReporters



0
0
0
0
0

Copy Link: