SYED Wafa bersama sebahagian lukisan sempena Pameran Wadah dan Madah Syed Wafa di Studio Merdeka, Finas, Hulu Klang, pada 24 Oktober 2022, lalu.


KEHEBATAN Syed Yusof Wafa Syed Nordin memberi sentuhan dalam setiap inci lukisan yang dihasilkan khususnya potret barisan artis dari dalam dan luar negara serta golongan VVIP tidak perlu dipertikai.

Bagilah apa sahaja kepadanya pasti hasilnya sangat mengagumkan.

Malah hasil kreativiti yang dihasilkan juga kelihatan ‘hidup’ kerana dilakukan sepenuh jiwa yang lahir dari minat yang mendalam.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan hasil lukisan

Pelakon Rozita Che Wan yang hadir memberi sokongan sempena pameran yang berlangsung selama dua hari mulai 24 hingga 25 Oktober 2022, lalu.


Eksklusif dan uniknya lukisan illustrasi yang dihasilkan oleh bekas kolumnis popular Majalah URTV terbitan Utusan Melayu (M) Bhd itu bukan sahaja mempamerkan daya kreativiti dan sentuhan seni.

Tetapi lebih istimewa turut mengabadikan tulisan tangan yang asli artis berkenaan.

Artis yang menjadi pilihan Syed Wafa bukan terhad dari dalam negara sahaja tetapi melibatkan penyanyi luar negara termasuklah Michael Jackson, Justin Bieber, Celine Dion, Mariah Carey, Roger Federar, Mahir Zain, Avril Lavigne, Shah Rukh, Engelbert Humperdinck dan ramai lagi. 


Penyanyi antarabangsa, Celine Dion menerima lakaran wajah hasil air tangan Syed Wafa.


Sebagai pelukis eksklusif pertama di Malaysia, Syed Wafa diberi penghormatan melukis illustrasi wajah aktres terkenal luar negara dan kemudian diserahkan sendiri kepada artis berkenaan. 

Sehingga kini, lebih 1,000 lukisan telah dihasilkan dan pernah mengadakan lima pameran solo terbesar antaranya di Kompleks Kraftangan, Jalan Conlay dan di Dewan Bukit Damansara.



Keunikan sentuhan magis dalam menghasilkan setiap lukisan selama ini telah menarik perhatian Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Profesor Dr. Md. Nasir Ibrahim apabila sudi mengundangkan pelukis hebat itu menyertai Ekspresi @ Finas menerusi pameran lukisan ilustrasi ‘Wajah dan Madah Syed Wafa’ yang berlangsung di Kompleks Studio Merdeka, Finas, Hulu Klang, pada 24 Oktober 2022 lalu.

Kongsinya, penyertaan ‘Wajah dan Madah Syed Wafa’ ini adalah kesinambungan daripada dua perbincangan dengan Prof Md Nasir dan bahagian penerbitan Buku Finas, sebelum ini.

Malah, pihak Finas bersetuju untuk menghimpunkan lukisan ilustrasi tersebut untuk dijadikan buku coffee table yang dinamakan 'Wajah dan Madah Syed Wafa'.

Buku berkenaan akan diterbitkan sendiri Finas dan dijangka berada dalam pasaran mulai tahun depan (2023).



Bercerita mengenai penghasilan buku berkenaan, Syed Wafa berkata, dia tidak menyangka hasil kerja diperhatikan pihak tersebut selama ini sehingga sudi menawarkan untuk menghasil buku istimewa berkenaan.

“Saya sendiri tak sangka Finas menghargai bakat dan perjuangan saya dalam industri seni lukisan selama ini, dan memerhati karya saya sehingga sudi menerbitkan buku coffee table,” kongsinya yang teruja menunggu kelahiran buku berkenaan.

Malah, beliau menyifatkan peluang yang diberikan oleh Finas sebagai penghormatan paling hebat kepada dirinya selepas sekian lama mengabdikan diri dalam dunia seni lukis. 

"Saya rasa ini adalah penghormatan paling tinggi yang diterima kerana ada pihak lain sedar dengan bakat dan kebolehan saya.

"Kalau untuk penuhi impian, saya boleh buat sendiri  tapi saya tak terfikir untuk menghasilkan buku. Itu yang saya rasa ini adalah penghormatan berharga untuk diri," ujarnya lagi.

Lebih membanggakan Syed Wafa juga turut diberi kepercayaan untuk melukis potret seniman legenda tanah air iaitu Hussein Abu Hassan bagi pihak Finas untuk diserahkan kepada  keluarga seniman hebat berkenaan.


Lukisan seniman Hussein Abu Hassan yang dihasilkan oleh Syed Wafa diserahkan kepada keluarga dalam program yang berlangsung di Finas, 24 Oktober 2022, lalu.


Ditanya mengenai keistimewaan buku keluaran Finas tersebut katanya, setiap lukisan yang dihasilkan akan diserahkan sendiri kepada pemiliknya.

“Banyak dalam dunia ini lukisan artis tapi yang unik tentang coffee table Wajah Dan Madah Syed Wafa ini saya lukis gambar-gambar selebriti dalam dan luar negara dan bagi kepada mereka untuk tandatangan,” ujarnya penuh bangga.

Pastinya peminat artis kesukaan mereka tidak akan melepaskan peluang untuk memiliki buku tersebut apabila berada di pasaran nanti.

Semoga hasil tangan Syed Wafa ini mampu memberi inspirasi khususnya anak muda yang meminati dunia lukisan. Tahniah daripada kami team KitaReporters! - KitaReporters


Syed Wafa menyerahkan lukisan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada wakil Finas.

13
12
0
11
0

Copy Link: