DALAM KENANGAN.. Dari kiri, atas: Accapan, Abam Bocey, Zami Ismail, Hamid Gurkha, Mr. Os dan Jamali Shadat.


Tanpa kita sedari, seorang demi seorang pelawak tanah air telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.

Bekerja sebagai seorang pelawak bukan mudah tetapi pelawak harus bijak, menjaga adab (lisan) dan tatasusila (tingkah laku). Sebelum melontarkan dialog, pelawak kena fikir terlebih dahulu terutama jika membabitkan program siaran langsung.

Jika terlepas perkataan-perkataan yang ‘pedas’ seperti menyindir atau memperli individu-individu atau pihak tertentu sama ada secara langsung atau tidak langsung sudah pastinya mengundang padah di sebaliknya. 

Kadangkala, jenaka yang cuba disampaikan oleh para pelawak ini boleh diterima oleh masyarakat, malah tidak kurang ada juga yang tidak menyenangi lawak yang dibuat oleh mereka.

Berikut adalah  senarai pelawak-pelawak negara yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya:


1. Din Beramboi (2 April 2010) 

Din Beramboi atau nama sebenarnya Meor Ahmad Fuad Meor Badri telah disahkan meninggal dunia pada 2 April 2010 akibat demam denggi berdarah sehingga menyebabkan hati dan buah pinggangnya gagal berfungsi.

Allahyarham yang juga merupakan seorang pelawak, pelakon, penyanyi, kartunis, pengacara dan penyampai radio telah meninggalkan seorang balu Suhaini Che Man dan tiga orang anak.


2. Zami Ismail (19 Jun 2011) 

Sesiapa yang menonton sitkom popular suatu ketika dahulu iaitu Pi Mai Pi Mai Tang Tu pastinya mengenali watak Pak Uda yang dilakonkan oleh Zami Ismail.

Allahyarham Zami telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 19 Jun 2011 pada usia 67 tahun selepas seminggu dimasukkan ke IJN ekoran masalah jantung.

Allahyarham juga pernah memenangi anugerah Pelakon Komedi Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-9 (FFM9) pada tahun 1991 menerusi Mat Som.

Mesra dipanggil Pak Uda telah meninggalkan seorang isteri, Hanizan Ibrahim serta sembilan orang anak termasuk Opie dan Yeop Hitler.


3. Ali Mamak (27 Mac 2014) 

Pelawak dan penyanyi veteran Datuk Ali Mamak yang popular melalui sitkom ‘Santan Berlada’ pada era 1980-an meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras Kuala Lumpur akibat penyakit leukemia.

Ali Mamak atau nama sebenarnya Jantan Osman, 63, merupakan anak kelahiran Masjid Tanah, Melaka telah berkecimpung  dalam dunia seni hiburan tempatan selama 25 tahun.

Allahyarham telah dianugerahkan Darjah Seri Melaka (DSM) oleh kerajaan Melaka pada tahun 2008 yang membawa gelaran Datuk.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Rohani Wahab dan tiga orang anak serta enam cucu.


 4.  Harun Salim Bachik (8 Mac 2015)

Pelakon serta pelawak veteran yang juga Presiden Seniman, Harun Salim Bachik telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 8 Mac 2015 selepas secara tiba-tiba rebah di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol di Bukit Merah, Perak.

Filem Polis Evo merupakan naskhah terakhir beliau dengan memegang watak sebagai ASP Mokhtar yang bertugas di Terengganu sebelum dia pergi buat selamanya.

Allahyarham meninggalkan isteri, Hanizan Ibrahim serta sembilan orang anak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron.


5. Yus Jambu (30 November 2015)

Yus atau nama sebenarnya Yussry Edoo meninggal dunia di Hospital Selayang pada usia 39 tahun akibat sesak nafas dan dipercayai berpunca serangan jantung.

Allahyarham yang lebih dikenali dengan gelaran Pak Yus merupakan anak seni kelahiran Kangar, Perlis.

Arwah memulakan kerjaya seninya ketika menyertai pertandingan Sinaran Pasport Kegemilangan pada tahun 2001 anjuran sebuah stesen televisyen Astro.

Beliau juga mula dikenali ramai dalam bidang komedi apabila diumumkan juara progam Raja Lawak musim pertama pada tahun 2007.


6.  Mr Os (8 April 2016) 

Pelawak terkenal era 80-an dan 90-an, Mohd Yusof Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Mr Os disahkan meninggal dunia di Hospital Selayang pada 8 April 2016 ketika usia 55 tahun akibat kanser paru-paru.

Mr. Os merupakan juara Maharaja Lawak Mega musim pertama menerusi penyertaannya bersama Abon sebagai gandingan Osbon.

Allahyarham memulakan kerjaya sebagai pelakon filem pada tahun 1986 menerusi filem Balik Kampung.

Pada tahun 1990, Allahyarham pernah dicalonkan untuk kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (FFM) di Festival Filem Malaysia ke-9 melalui lakonannya sebagai pemuda autisme dalam filem Adik.


7. Pak Piee (11 Ogos 2016) 

Pak Piee atau nama sebenarnya Shafiee Jaafar telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 11 Ogos 2016 kerana sakit tua di kediaman anaknya di Teluk Bahang, Pulau Pinang.

Semasa hayatnya, Allahyarham menjadi semakin terkenal kerana banyak berlakon dalam filem-filem komedi seperti filem Mami Jarum, Nana Tanjung, Anak Mami Kembali, Cinta Rosevilla dan Bas Konduktor.

Allahyarham juga sinonim bergandingan dengan teman baiknya dari Pulau Pinang iaitu Maidin.

Pie pernah menerima Anugerah Tokoh Seni Budaya Pulau Pinang pada tahun 2015.


8. Accapan (14 September 2018)

Pelawak, Accapan meninggal dunia pada 14 September 2018 di rumahnya kerana kegagalan buah pinggang sewaktu usia 63 tahun.

Accapan atau nama sebenarnya Samynathan Rethinam adalah pelawak berbangsa India yang  dikenali dalam industri hiburan tanah air sejak zaman 1970-an.

Namanya semakin sinonim sebagai pelawak selepas membintangi Sitkom Santan Berlada pada era 1980-an bersama Khairul Azhar dan Allahyarham Ali Mamak.

Mendiang turut berlakon dalam beberapa buah filem; dan antaranya ialah Mira Edora, Sejati, Adik, Rimba Malam, Sahabat, Simfoni Kasih, Suratan Kasih, Ghazal Untuk Rabiah, Gila Bola dan lain-lain.

Pelawak kelahiran Parit Buntar ini, telah meninggalkan seorang isteri, Yogeswari Subramaniam dan tiga orang anak iaitu Vikneshwaran Samynathan, 31; Dineshwaran Samynathan, 28; dan Yhuveneshwary Samynathan.


9. Pak Tam (31 Mac 2019)

Pak Tam hasil daripada program Raja Lawak meninggal dunia akibat kekurangan oksigen dalam badan dan paru-paru berair pada usia 61 tahun.

Allahyarham Pak Tam atau nama sebenarnya Muhammad Nooruulah Ismail menghembuskan nafas terakhir di kediamannya yang terletak di Kampung Permatang Badak, Kuantan, Pahang tanpa sempat dibawa ke hospital oleh keluarganya.

Allahyarham telah meninggalkan seorang balu, empat orang anak berserta lapan cucu.


10. Kamal Chilok (12 Oktober 2019)

Anggota kumpulan Chilok, Kamal menghembuskan nafas terakhir di Hospital Putrajaya selepas dua hari koma akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Kamal atau nama sebenarnya Mohd Kamal Shah Saharuddin meninggal dunia pada usia 30 tahun kerana mengalami pelbagai komplikasi akibat kemalangan tersebut. 


11. Abam Bocey (10 Februari 2020)

Pelawak muda yang semakin popular di tanah air meninggal dunia di kediamannya Gombak, Selangor pada usia 32 tahun.

Allahyarham Abam didapati tidak sedarkan diri oleh isterinya Nor Hidayah ketika mahu dikejutkan untuk menunaikan solat subuh.

Allahyarham Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan merupakan seorang pelawak, pelakon dan ahli kumpulan Bocey bersama Fad dan Acey.

Kumpulan Bocey merupakan kumpulan pertama yang memenangi Maharaja Lawak Mega sebanyak dua kali pada 2016 dan 2017.

Abam meninggalkan seorang balu dan juga anak lelaki Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang berusia 5 bulan.


12. Datuk Jamali Shadat (3 Februari 2021) 

Pelawak veteran, Datuk Jamali Shadat, 78, menghembuskan nafas terakhir di kediaman anaknya di Pulau Indah, Klang, kira-kira jam 8.30 pagi.

Pelawak kelahiran Bukit Kapar, Klang itu mula uzur sejak pemergian isteri, Allahyarham Lela Yacob akibat serangan angin ahmar, dua tahun lalu.

Pada zaman kegemilangannya pada 1980-an, pelawak legenda ini cukup dikenali dengan kebolehan melakonkan watak kanak-kanak bernama 'Atan' bersama Atuknya serta rakan berbilang kaum.

Jamali meninggalkan lapan anak dan 39 cucu.


Sebahagian ahli keluarga, rakan-rakan dan penduduk setempat memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Hamdan sebelum solat jenazah di Masjid Abu Ubaidah, Taman Perpaduan, Tambun, Ipoh, Perak. - Kredit foto: Kosmo Digital.


13.  Hamdan Ramli (5 Januari 2024)

Hamdan Ramli atau nama sebenarnya Ahmad Hamdan Mohamed Ramli, 54,  daripada kumpulan Senario disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor kira-kira jam 12.50 tengah hari pada 5 Januari 2024.

Allahyarham meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah dan komplikasi jantung serta buah pinggang.

Allahyarham Hamdan meninggalkan seorang balu, Norhamalini Ahmed, 53, dan empat cahaya mata.


Salam takziah juga buat keluarga para pelawak negara. Semoga Allah merahmati roh mereka, memuliakan kematian mereka, mengampuni segala kesalahan mereka, menjadikan syurga sebagai ganti tempat tinggal mereka dan menempatkan para arwah dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah. - KitaReporters


Sumber: 

https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2024/01/1196427/hamdan-senario-meninggal-dunia

11
18
0
14
0

Copy Link: