KESEBELASAN utama B22 Malaysia yang sebahagian besarnya mungkin dikekalkan apabila menentang Mongolia biarpun mengalami empat pertukaran ketika berdepan Laos. - Kredit foto: FAM


SKUAD Bawah 22 Tahun (B22) Malaysia perlu menggerakkan bola dengan lebih pantas dan cuba mengelak pertembungan fizikal yang kerap dengan Mongolia.

Itulah antara pelan permainan Bradley Maloney buat anak-anak buahnya apabila mengharungi perlawanan kedua mereka di Stadium MFF, Ulaanbaatar, Mongolia, pada esok Khamis, 28 Oktober 2021.

Terus bersemangat selepas menumpaskan Laos 1-0 di gelanggang sama, pada Isnin, 25 Oktober 2021 lalu, tuan rumah pula menjadi rintangan mereka berikutnya dalam Kumpulan J bola sepak Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun AFC 2021.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bola sepak 


MUHAMMAD Nur Azfar Fikri Azhar (13) meraikan gol terhadap Laos bersama-sama Luqman Hakim Shamsudin (kiri) dan Muhammad Hairiey Hakim Mamat. - Kredit foto: FAM


“Kami sudah tengok perlawanan mereka dengan Thailand. Mongolia sebuah pasukan yang tersusun, gagah secara fizikalnya dan mendapat bimbingan jurulatih Jepun. Tuan rumah juga pasti mahu bangkit selepas perlawanan pertamanya.

“Jika mampu percepatkan pergerakan bola dan kurangkan pertembungan fizikal dengan tuan rumah, kami berpeluang cerah untuk dapat keputusan positif.

“Padang di Stadium MFF ini sintetik yang banyak menyumbangkan kelajuan bola dan pertembungan fizikal,” kata ketua jurulatih B22 Malaysia itu dalam rakaman video kepada wakil media Malaysia.


QUENTIN Cheng Jiun-Ho (2) berpengalaman bermain di Australia dan melakukan umpanan gol tunggal B22 Malaysia untuk menewaskan Laos 1-0. Kiri ialah Mukhairi Ajmal Mahadi. - Kredit foto: FAM 


Tuan rumah mencipta kejutan dengan mengikat Thailand 1-1 menerusi jaringan penyamaan Baljinnyam Batbold pada minit ke-76 juga di stadium itu, Isnin, 25 Oktober 2021, sekali gus berkongsi satu mata dan menghuni tempat ketiga kumpulan.

Namun suhu yang jauh lebih rendah berbanding 9 darjah Celsius pada Isnin lalu, bakal turut merintangi B22 negara kerana barisan pemain tuan rumah pasti mempunyai kelebihan kerana sudah terbiasa dengan cuaca sebegitu.

Ketika meraih tiga mata terhadap Laos menerusi jaringan Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar pada minit ke-68, pasukan Maloney bermain pada pukul 3 petang.

Suhunya pasti lebih dingin dan mampu memberikan sedikit rasa tidak selesa dan menggugat fokus pasukan apabila perlawanan dengan Mongolia dilangsungkan pada pukul 11 pagi yang dijangka pada 3.5 darjah Celsius.



NIK Akif Syahiran Nik Mat (8) sempat menggugat gawang Laos dengan sepakan bebasnya pada minit ke-50 biarpun masih sedih kehilangan ayah tersayang pada 19 Oktober 2021. - Kredit foto: FAM 


Maloney, warga Australia, tidak menyangkal kemungkinan penyerang utama B22 negara, Luqman Hakim Shamsudin bakal dikawal ketat benteng Mongolia pula seperti mana Laos melakukannya.

“Luqman seorang pemain yang berkualiti. Penyerang yang bagus sudah tentu akan menarik banyak perhatian lawan, begitu juga dia,” katanya, merujuk pemain berusia 19 tahun yang berpangkalan di kelab Belgium, KV Kortrijk itu.

Maloney turut menarik nafas lega kerana mampu menggunakan khidmat kesemua 23 pemain termasuk kesebelasan utama yang menewaskan Laos, apabila berdepan Mongolia nanti.

“Tiada siapa yang tercedera. Semua boleh diturunkan,” katanya yang membuat empat pertukaran pemain Isnin lalu termasuk Quentin Cheng Jiun-Ho yang mengumpan dari sebelah kanan selepas mendapat hantaran Luqman untuk jaringan Azfar.


BRADLEY Maloney (dua dari kiri) memberikan taklimat kepada barisan B22 Malaysia pada sesi latihan pemulihan menjelang menentang Mongolia. - Kredit foto: FAM


Luqman, Quentin dan kapten, Mukhairi Ajmal Mahadi serta Mohamad Hakimi Abdullah merupakan empat tonggak senior Harimau Malaya yang masih segar daripada siri perlawanan persahabatan tahap 1 antarabangsa menentang Jordan dan Uzbekistan di Amman pada 6 dan 9 Oktober 2021.  

Agak mengejutkan ialah Annil Vigneswaran, 18, hanya memanaskan bangku simpanan ketika menentang Laos namun mungkin khidmat bek tengah kelab Jerman, SGV Freiberg itu lebih diperlukan dalam menghadapi Mongolia sebagai sebahagian pelan Maloney. - KitaReporters


ANNIL Vigneswaran (kiri) mungkin lebih diperlukan apabila menentang Mongolia yang didapati gagah fizikalnya. - Kredit foto: FAM

19
12
0
8
0

Copy Link: