Kalau dah rezeki tak ke mana. Itulah yang dialami Jaclyn Victor, 45 tahun. Dua tahun menyertai Gegar Vaganza pada tahun 2022 dan 2023, Jaclyn berjaya menjuarai Gegar Vaganza 9 (GV9) dan All Star Gegar Vaganza (ASGV) atau GV10.

Hasil dua kemenangan itu, Jaclyn berjaya mengumpul RM300 ribu iaitu RM100 ribu daripada GV9 dan RM200 ribu daripada ASGV.

Namun Jaclyn tidak menggunakan hasil kemenangan itu untuk berjoli atau membeli barangan mewah. Sebaliknya Jaclyn menggunakan wang kemenangan itu untuk kepentingan pendidikan  dua cahaya matanya iaitu Jonah Joshiah Rivera, 8, dan Molly Marguerite Rivera, 6 tahun.

Jaclyn sudah memasukkan wang kemenangan dalam GV9 dalam akaun kedua-dua anaknya. Dan perkara yang sama akan dilakukan setelah menerima cek kemenangan ASGV nanti.


Jaclyn bersama bekas suami dan anak-anak

Menurut Jaclyn dia menyedari kehidupan sebagai penghibur akan ada nokhtahnya. Dan sebagai ibu tunggal dia menyedari pentingnya memberikan pendidikan anak hingga ke peringkat tertinggi.

Untuk itu penyanyi yang nama asalnya Jaclyn Joshua Thanaraj Victor menyedari mempunyai sumber kewangan yang selesa amat perlu.

Selain duit kemenangan dalam GV, Jaclyn turut memperuntuk sejumlah wang setiap bulan hasil kegiatan seninya selama ini.

Jaclyn pernah berkahwin dengan Shawn Rivera iaitu anggota kumpulan AzYet pada 19 Julai 2014 di Philadelphia, Amerika Syarikat tetapi berpisah pada awal Januari 2020 setelah mempunyai dua cahaya mata yang kini di bawah penjagaan Jaclyn.



Menyentuh mengenai kemenangannya yang tidak dapat diterima oleh pihak-pihak tertentu, Jaclyn menganggap ia sebagai perkara biasa dalam mana-mana pertandingan kerana pasti ada yang mempertikai sesuatu kemenangan. 

Terdapat perbalahan dalam laman sosial antara kelompok penyokong Jaclyn dan penyokong Liza Hanim. 

Penyokong Jaclyn mempertahan kemenangan penyanyi pujaan. Sementara penyokong Liza Hanim mendakwa penyanyi itu lebih layak menang.

Bercakap dalam sidang media selepas pertandingan, menurut Jaclyn, pemilihan sebagai pemenang diputuskan secara kolektif oleh barisan juri professional iaitu Datuk Ramli MS (ketua juri), Hetty Koes Endang, Datuk Syafinaz Selamat dan Ella (juri jemputan). Maka ia tidak perlu dipertikai.



Jaclyn diberi 80.10 markah meninggalkan Hadi Mirza ditempat kedua dengan 75.73 markah, Nikki Palikat ketiga (73.18 markah)  dan Liza Hanim (72.34 markah). 

Menurut Jaclyn, dia menyertai ASGV sekadar menyahut kehendak pihak Astro untuk mempertanding semula para pemenang GV. 

Tambahnya, dia tidak terlalu mengharapkan kemenangan kerana tahu saingannya adalah bintang-bintang hebat.

Menurut Jaclyn kemenangan dalam ASGV memberi dorongan terhadapnya untuk mempertingkat kredibiliti dalam bidang nyanyian yang sudah menjadi sumber pendapatan utamanya. - KitaReporters


14
8
0
21
0

Copy Link: