Nasyrul Quran akan mengadakan satu festival yang dinamakan Restu Global Quranic Arts Festival bertempat di Kompleks Nasyrul Quran, Presint 14, Putrajaya dari 23 Februari sehingga 3 Mac 2024. 

Festival ini akan dirasmikan pada 24 Februari 2024 (Sabtu) bersamaan 14 Sya’ban 1445H oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia di Dewan Al-Bukhari, Kompleks Nasyrul Quran.  

Festival ini bertemakan “Gaya Hidup Islami” bertujuan mempromosikan Islam sebagai sebahagian daripada gaya hidup di samping menggalakkan pemahaman dan penghayatan yang lebih mendalam  terhadap ajaran al-Quran melalui medium seni.  

Timbalan Pengerusi merangkap Pemegang Amanah Yayasan Restu, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan bahawa pada kali ini, kata Restu dijadikan sebagai jenama yang kembali kepada nama Yayasan Restu yang merupakan pelopor terulung pemakmuran al-Quran dan kesenian Islam di Malaysia serta penganjur utama festival ini.  



Menurut Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa, “Antara objektif festival  berdasarkan tema ini ialah memperkenal medium seni melalui hiasan dalaman sebagai satu usaha  pemeliharaan dan pemakmuran al-Quran yang menjadi pembuktian keimanan kepada Allah SWT dan  Rasulullah SAW serta pengagungan syiar-syiar Islam serta memanfaatkan teknologi moden dan ICT  sebagai medium dakwah yang sangat efektif dan kreatif dengan tujuan mengembalikan masyarakat  Islam kepada identiti mereka yang sebenar. 

“Di samping itu terdapat pelbagai aktiviti menarik menanti para pengunjung sepanjang festival berlangsung termasuk pameran jubah melambangkan saiz Nabi Adam AS. 

"Selain itu terdapat banyak  pengisian program seperti pameran hiasan dalaman rumah Islam, Artifak Rasulullah SAW, koleksi replika pedang para Sahabat RA serta peninggalan yang lain. 

"Paling menarik, pengunjung berpeluang untuk turun ke lantai kilang dan melihat proses percetakan secara lebih dekat” tambah beliau. - KitaReporters/Kenyataan Media


12
12
0
13
0

Copy Link: