DALAM usia 36 tahun, pelakon Zara Zya akui masih dibelenggu dengan sifat kebudak-budakan apabila suka menyimpan barang permainan dan meminati rona 'pink' sehingga menjadikan watak yang dilakonkan dalam ‘Mr. Bibik’ mudah dijiwainya.

“Boleh dikatakan 40% karakter yang ada pada watak Aulia adalah macam diri saya sebenarnya jadi seronok bila dapat suntik sifat diri sendiri ke dalam lakonan,” ujar Zara Zya ketika ditemui pada sidang media drama ‘Mr. Bibik’ secara virtual pada 3 November 2021.

Turut hadir bersama secara maya, pengarahnya, Pali Yahya serta pelakon gandingannya, Saharul Ridzwan.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan drama bersiri



Pemilik nama sebenar, Zainurul Razia Mohd Zainuddin ini memberitahu, watak Aulia seorang anak yang manja dan taat tetapi  malas mengemas dan suka rona merah jambu serta memiliki banyak barang permainan seperti patung ‘unicorn’ dan sebagainya. 

Berdasarkan daripada novel karya Aein Dhiyauddin, ‘Mr Bibik’ yang mengisi slot Akasia di TV3 bermula  29 Oktober 2021 lalu, setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 7 malam, menyaksikan Zara Zya berlakon di samping Saharul Ridzwan, 32,  buat kali ketiga.




“Kami dah kenal sejak 2013, jadi bila nak berlakon dalam drama genre komedi ini kami sering ketawa bila pandang muka masing-masing,” cerita Zara antara cabaran yang dilalui sepanjang 35 hari penggambaran bagi drama 20 episod berkenaan.

Bersetuju dengan komen Zara, Saharul yang berlakon sebagai ‘Mr Bibik’ turut mengakui berhadapan cabaran sama.

“Memang betul, kita ada cabaran asyik nak gelak sehingga hilang fokus,” tambah Saharul.



Pun begitu, kata Zara, walaupun diinspirasikan daripada novel, beliau tidak pernah membaca mana-mana novel yang dilakonkannya kerana takut terikut-ikut dengan watak dibayangkan oleh novelis.

“Dan bahayanya, saya takut jika pembaca novel mahukan watak berkenaan dilakonkan sebiji seperti dalam novel,” tambahnya.

Kerana itu, jelas  Zara, beliau lebih selesa membawakan watak gayanya tersendiri dan mengikut kehendak pengarah.

Di samping Saharul Ridzwan, turut berlakon dalam drama terbitan Saphire Screen Sdn Bhd dengan nukilan skrip oleh Farhana Fauzi menampilkan pelakon handalan lain seperti  antaranya Raja Afiq, Liza Abdullah, Syazuwan Hassan, Dayang Areeda dan Balkisyh Semundur Khan.



Dengan menampilkan Saharul Ridzwan sebagai Firas yang menjadi seorang bibik lelaki, drama ini mempunyai pelbagai mesej tersirat.

“Antaranya apa pun pekerjaan kita kena respek rezeki halal, jadi jangan memilih pekerjaan. Malah dengan kemampuan lelaki membantu di rumah, kerja-kerja rumah akan menjadi lebih baik dan tidaklah bergantung kepada isteri atau perempuan semata-mata,” Saharul Ridzwan berpendapat.

“Drama ini sangat kelakar ditonton dengan keluarga kerana pengajaran di sebaliknya tetap ada untuk diteladani,” akhiri Saharul sambil mensyukuri pengarahnya Pali memberikannya dan Zara kelonggaran untuk menghidupkan watak masing-masing apabila timbul idea-idea spontan.


Beberapa babak penting dalam 'Mr Bibik' yang digandingkan dengan Saharul Ridzwan.


Dalam perkembangan lain, menyentuh soal perkahwinan, Zara Zya tidak menolak jodoh jika sudah ditakdirkan bertemu kelak.

“Siapa tidak mahu kahwin. Zara bukan cerewet dan memilih, Cukup dia seorang lelaki yang bekerja, bertanggungjawab dan boleh pimpin Zara dunia akhirat,” jelas Zara yang sebelum ini permah putus tunang pada tahun lalu (2020) selepas sebulan bertunang dengan pelakon Hafreez Adam yang 5 tahun lebih muda darinya.

Terbaharu, timbul gosip mengaitkan hubungan Zara bersama usahawan kosmetik terkenalDato Alha Alfa apabila aktres itu berkongsi gambar mereka berdua dalam laman Instagram sehingga mendapat pelbagai komen netizen.

"Kami memang kawan baik sejak lapan tahun dah tetapi tiada apa apa hubungan istimewa," jawab Zara dalam ketawa sambil berterima kasih kepada peminat yang prihatin sehingga menganggap wajahnya pun mirip Alha yang  dikira serasi untuk menjadi pasangan hidup. -  KitaReporters


Zara bersama teman baiknya, Alha Alfa. - Kredit foto: @zarazya

7
14
0
6
1

Copy Link: