Bantuan COVID-19! Yayasan Terengganu bantu pelajar di Mesir

Published by
KitaReporters

Selepas menyalurkan pelbagai jenis bantuan berbentuk barangan keperluan makanan dannkewangan kepada rakyat yang tinggal di Terengganu bagi membantu meringankan beban yang terpaksa dihadapi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020, kini warga negeri terutama pelajar yang tinggal di luar negara juga tidak terkecuali daripada mendapat manfaat sama. : KitaReporters 

Pelajar Terengganu yang belajar di Mesir menerima bantuan bekalan makanan - Kredit Foto: FB Keluarga Penuntut Terengganu (KPT)


Kerajaan negeri sememangnya amat prihatin terhadap nasib pelajar negeri ini yang berada di luar negara terutama di negara yang turut mengalami wabak COVID-19 dan perlu diberi bantuan sama seperti rakyat yang tinggal dalam negeri.

Yayasan Terengganu (YT) turut mengambil pendekatan dengan menyumbangkan RM65,000 sebagai bantuan kecemasan kepada pelajar Terengganu yang menuntut  di Mesir kerana mereka juga turut  terjejas dalam menyediakan persiapan Ramadan susulan pandemik Covid-19.

Jumlah itu sebahagian bantuan kerajaan negeri yang turut disumbangkan melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM), badan bukan kerajaan (NGO) dan individu kepada kira-kira 500 pelajar yang berdepan perintah berkurung di negara berkenaan.

Lori yang membawa bekalan makanan untuk diagihkan kepada pelajar Terengganu yang belajar di Mesir. - Kredit Foto: FB Keluarga Penuntut Terengganu (KPT)


Memetik kenyataan dalam laman Facebook Keluarga Penuntut Terengganu Mesir (KPT), persatuan itu merakamkan rasa terima kasih kepada kerajaan Terengganu kerana membantu anak-anak negeri dengan  menyampaikan sumbangan kebajikan berupa barangan keperluan dan makanan.

Persatuan berkenaan memaklumkan segala sumbangan telah disampaikan dengan kerjasama Pegawai Atase Pendidikan Terengganu Mesir, Shahrudin Zainal.

Pelajar Terengganu di Mesir membuat hantaran terima kasih kepada Menteri Besar Terengganu menerusi Facebook milik mereka.


"Bantuan ini diharap dapat meringankan beban anak-anak Terengganu bagi menjalani ibadah puasa serta situasi penularan wabak yang melanda ketika ini," kata catatan Facebook berkenaan.

 

Mesej ucapan terima kasih dari pelajar Terengganu menerusi Facebok milik mereka.

"Semoga ibadah puasa pada bulan Ramadan pada tahun ini menguatkan ketabahan hati dan mendapat ganjaran disisi Allah SWT," mengikut hantaran Facebook itu.

Berdasarkan maklumat YT, seramai 103 pelajar di bawah tajaan yayasan itu yang belajar di luar negara juga telah menerima semua Elaun Sara Hidup (ESH) sehingga Mei 2020 pada Februari lalu.

Bantuan makanan sampai di kediaman pelajar Terengganu yang berada di Mesir. - Kredit Foto FB Keluarga Penuntut Terengganu (KPT).

Dianggarkan, terdapat sekitar 1,000 ke 1,200 orang pelajar Terengganu di luar negara.

Manakala, daripada 43,000 pelajar Terengganu di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara, terdapat kira-kira 1,150 pelajar masih terkandas di kampus masing-masing.

Bagaimanapun, dilaporkan semua berada dalam keadaan baik di asrama atau kediaman sewaan masing-masing dengan pemantauan serta bantuan makanan dan minuman dari pihak IPT. - KitaReporters

5
1
0
0
0

Copy Link: