Selepas puas ‘membedil’ Ukraine, gerombolan ‘tentera bawang’ Malaysia akhirnya melakukan ‘gencatan senjata’ ke atas negara itu sehingga pemenang pingat emas negara itu terpaksa menutup akaun media sosialnya dan memohon maaf.

Kini 'tentera bawang' menghalakan pula ‘peluru berpandu’ kepada pegawai-pegawai kontinjen negara ke Sukan Paralimpik 2020, ekoran isu yang melanda pelontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli pada temasya sukan para dunia itu.

Kebanyakan peminat yang sebelum ini menuding jari kepada Ukraine sebagai ‘perompak’ pingat emas dan rekod dunia yang dicipta oleh Ziyad, tetapi kini meletakkan kesalahan serta tanggungjawab ke atas pegawai pasukan negara yang dianggap cuai sehingga membawa kepada pembatalan atlet itu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Paralimpik


Mereka mempersoalkan bagaimanakah pegawai yang mengiringi atlet boleh lalai sehingga Ziyad lewat melaporkan diri di pusat panggilan (call room) pada waktu ditetapkan.

Seorang peminat, Nordin Hassan, menganggap pihak pegawai kontinjen negara sengaja mejadikan Ukraine sebagai ‘kambing hitam’ untuk menutup kesilapan sendiri.

Sementara itu, Bidin Saad mempertikaikan apa yang dilakukan oleh pegawai kita sehingga perkara sedemikan boleh berlaku.

“Salah siapa, apa pegawai-pegawai buat sampai jadi macam tu? Tapi jangan bimbang, kat Malaysia ni tak kan ada pegawai kena hukum akibat kecuaian,” tulisnya dengan sinis.

“Pegawai-pegawai yang mengiringi atlet tu dia orang buat apa, makan tidur saja ke? Jangan cari alasan. Hantar mereka balik segera,” kata Rosly Saidin.



Ziyad bukanlah mangsa protes kotor daripada Ukraine, tetapi kesilapan besar pegawai kontinjen Malaysia yang bertanggungjawab menguruskan kepatuhan protokol athlet."


“Biasalah, dah salah mana nak mengaku, pastu suruh kerajaan bagi sikit ganjaran, patut yang bersalah tu kena bagi ganjaran,” tulis Dher Ridzuan pula.

Nazri Abu Bakar juga bersetuju bahawa Ziyad tidak sepatutnya dipersalahkan sebaliknya pegawai perlu dipertanggungjawabkan.

“Atlet tak bersalah tapi pengiring kena bertanggungjawab. Kesian, usaha, penat, peluh jerih atlet terbuang sia-sia,” tulis Nazri.

Muhammad Zuladli Md Noh pula menulis: “Macam zaman sekolah, setiap peserta ada guru pengiring yang bertanggungjawab buat pendaftaran, urus makan minum, juga ingatkan peserta jadual pertandingan.”

Yen Mohd Asril mahu pegawai yang bertanggungjawab supaya dipecat atas kelalaian yang berlaku.

“Pecat pegawai yang mengiringi Ziyad, dah sendiri salah, boleh pula fitnah negara tu (Ukraine) buat protes, memalukan. Menepati masa amat penting,” ujar Yen.

Malah, Yen turut berkongsi tulisan wartawan, Arnaz M. Khairul yang dipetik dari Facebook penulis itu.



Antara lain, Arnaz menulis: “Jelas sekarang, Ziyad Zolkefli bukanlah mangsa protes kotor daripada Ukraine, tetapi kesilapan besar pegawai kontinjen Malaysia yang bertanggungjawab menguruskan kepatuhan protokol athlet istimewa itu pada Paralimpik Tokyo.

“Bukan saja mereka melakukan kesilapan dengan tidak memastikan Ziyad sampai ke call room dan mendaftarkan diri untuk pertandingan mengikut masa yang ditetapkan, tapi Malaysia juga dihidangkan dengan cerita putar alam kononnya kita kehilangan emas akibat protes daripada Ukraine.

“Maka kita tidak perlu berdalih, mengkambinghitamkan negara lain yang tidak bersalah. Ukraine cuma mendapat manfaat daripada disiplin dan amalan budaya profesionalisme yang lebih tinggi daripada kita.

“Kita yang harus sedar bahawa kita telah mendapat satu pengajaran yang amat perit akibat pembudayaan amalan yang salah dalam kehidupan kita sendiri,” ulas Arnaz.



Kontroversi tercetus apabila kemenangan serta rekod dunia yang dicipta oleh Ziyad pada Paraolimpik Tokyo, Selasa. 31 Ogos, 2021 lalu dibatalkan ekoran kegagalan atlet itu melaporkan diri ke bilik panggilan pada waktu ditetapkan.

Difahamkan Ziyad dan dua lagi peserta, Todd Hodgetts (Australia)  dan Jordi Patricio (Ecuador) terlewat dua minit untuk melaporkan diri menyebabkan penyertaan mereka dianggap sebagai DNS (Did Not Start) berdasarkan Peraturan 5.5 Olahraga Para Dunia - 'Gagal melaporkan diri ke ‘call room' (bilik panggilan)’

Peraturan itu jelas menyebut bahawa sekiranya atlet tidak hadir ke 'call room' pada waktu yang sesuai seperti yang ditetapkan dalam jadual ‘call room’, keputusan yang akan ditunjukkan adalah DNS (did not start atau tidak bermula).


Maksym Koval menerima kecaman daripada tentera siber Malaysia selepas dinobatkan sebagai pemenang pingat emas ekoran kemenangan Ziyad dibatalkan. - Kredit foto: Instagram maksyom.koval_official.


Saya minta maaf, peraturan tetap peraturan. Keputusan telah dibuat. Ia bukan kesilapan daripada Ukraine, atlet Malaysia telah lewat.- Craig Spence."


Kecuaian itu menyebabkan Ziyad bukan sahaja terlepas pingat emas malah rekod dunia walaupun hakikatnya dia sudah melakukannya dengan lontaran sejauh 17.94 meter mengatasi rekod lamanya, 17.29m yang dicipta pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di London pada 2017.

Susulan pembatalan penyertaan Ziyad, peserta Ukraine, Maksym Koval dinobatkan sebagai pemenang pingat emas serta pemecah rekod dunia dengan catatan 17.34m sambil rakan senegaranya, Oleksandr Yarovyi memenangi perak dan peserta Greece, Efstratios Nikolaidis meraih gangsa.

Ekoran keputusan itu, warganet Malaysia yang digelar ‘bawang rangers’  atau ‘tentera bawang’ telah melancarkan serangan bukan sahaja kepada penganjur malah ke atas Ukraine dan atletnya sehingga Kedutaan Besar negara itu di sini terpaksa menutup sementara Facebooknya.

Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) menyifatkan serangan rakyat Malaysia melalui media sosial berhubung insiden itu sebagai sangat kesat.

“Kami dapati mereka memberikan komen dalam media sosial biarpun tiada kena mengena dengan acara Ziyad.

“Saya minta maaf, peraturan tetap peraturan. Keputusan telah dibuat. Ia bukan kesilapan daripada Ukraine, atlet Malaysia telah lewat,” kata jurucakap IPC, Craig Spence.


Koval memuat naik permohonan maaf kepada rakyat Malaysia melalui akaun Instagramnya.


Atlet paralimpik Ukraine, Koval yang dinobat sebagai pemenang turut menerima kecaman sehingga terpaksa membuka akaun Instagram baharu selepas akaun pertamanya digodam.

“Akaun pertama saya telah digodam rakyat Malaysia selepas mereka menyerang saya dengan menghantar banyak komen spam pada hantaran-hantaran saya,” ujarnya melalui Instagram Story.

Namun, laman Instagram baharu tersebut turut tidak terlepas menerima serangan bertubi-tubi daripada netizen Malaysia yang berbentuk kecaman serta penghinaan.

Koval kemudiannya memuat naik permohonan maaf berserta emoji dua telapak tangan dirapatkan dipercayai sebagai tanda merayu agar kecaman ke atasnya dihentikan.


Duta besar Ukraine di Malaysia, Olexander Nechytaylo, melalui status melalui Facebook peribadinya, menganggap Ziyad sebagai juara sejati.


Duta besar Ukraine di Malaysia, Olexander Nechytaylo kemudian dilihat cuba menenangkan keadaan dengan mengucapkan tahniah kepada Ziyad.

Menerusi hantaran melalui Facebook peribadinya, beliau menzahirkan rasa kagum atas prestasi luar biasa Ziyad pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

"Ziyad akan kekal sebagai juara sejati di hati setiap orang, bahkan bukan hanya pada rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu Bernama melaporkan hampir mustahil untuk Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) mengubah keputusan yang sudah dibuat membabitkan isu Ziyad.

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Zolkples Embong berpendapat sukar bagi IPC untuk merombak keputusan tersebut, selain jawatankuasa itu perlu menghormati peraturan Olahraga Para Dunia (WPA).

“Peraturan adalah peraturan. Peraturan dan undang-undang dibuat untuk dipatuhi bukan untuk dilanggar,” katanya.

“Takkan mereka (IPC dan WPA) nak longgarkan peraturan hanya untuk menyelesaikan kes Malaysia, pada awalnya kenapa kita tidak mengikut peraturan ditetapkan,” tambah Zolkples.

Beliau berkata rakyat Malaysia tidak seharusnya menyalahkan pasukan Ukraine, sedangkan mereka mempunyai hak untuk melakukan bantahan. 


Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Zolkples Embong.


“Keseluruhan kontinjen, dari CDM (chef-de-mission) ke urus setia, pengurus pasukan dan jurulatih, mereka semua kena bertanggungjawab. Ini satu kecuaian bagi saya dan kecuaian yang tidak boleh diterima. Sepatutnya mereka menjaga atlet, Ziyad tidak sepatutnya dipersalahkan.

“Tidak kira Paralimpik atau Olimpik, jadikan ini sebagai pengajaran supaya tidak ambil mudah perkara macam ini. Bukannya susah pun menjalankan tugas, pergi mengikut pasukan bukannya nak bersuka ria.

“Ini bukan pertandingan peringkat sekolah atau Sukma (Sukan Malaysia). Ini Paralimpik temasya yang tertinggi, sepatutnya tidak boleh jadi (insiden) macam ini,” katanya.

Semalam (Khamis, 2 September 2021), WPA menolak rayuan dikemukakan oleh Malaysia berhubung keputusan itu, namun pihak jawatankuasa penganjur memaklumkan segala protes dan rayuan susulan boleh dibuat secara bertulis kepada IPC dan WPA sejurus temasya berakhir. - KitaReporters


Kredit foto: MSN.com

12
15
0
8
0

Copy Link: