VIDEO muzik (MV) lagu ‘Ku Ikhlaskan’ benar-benar trending. Mula dilaporkan dilancar pada jam 3 pagi Isnin, 21 Mac 2022, dan ia mencapai tontonan ke 2 juta pada jam 7 malam, Khamis 24 Mac 2022 iaitu hanya 64 jam selepas dilancar.

Sehingga jam 12 tengah malam 25 Mac, jumlah tontonannya bakal melepasi 2.3 juta.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan DSV


DSV atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman ,51, bangga dengan pencapaian yang melampaui jangkaannya dan yakin mampu mencapai angka tontonan 10 juta dalam sedikit masa lagi.

Pencapaian MV ‘Ku Ikhlaskan’  begitu cepat mengatasi pencapai MV pertamanya. ‘I Am Me’ ciptaan Edy KRU kira-kira 4 tahun lalu. Lagu ‘I Am Me’ menerima 50,000 tontonan selepas dua hari dilancar dan sehingga jam 12 tengah malam, 25 Mac 2022, ia telah ditonton lebih 271,000 kali sahaja.



Ahli perniagaan yang sudah jadi penyanyi ini tetap dengan niatnya untuk menyerahkan hasil pendapatan daripada MV itu bagi menyiapkan Pusat Tahfiz & Syahadah Al Zikri Wa Zuhdie di Meru, Ipoh, Perak walaupun menerima kritikan daripada sebahagian masyarakat.

Dia berharap orang ramai tidak menghentam secara melulu kepadanya ekoran kata-katanya akan memberi hasil pendapatan MV ‘Ku Ikhlaskan’  untuk menyiapkan pusat tahfiznya.

Menurut DSV dia sudah banyak memberi sumbangan amal, jadi tidak salah dia menjadikan MV lagu itu sebagai salah satu bentuk sumbangan amalnya. Tambahnya dia mengajak orang ramai membantu pembinaan pusat tahfiz itu kerana ia adalah medium berkesan untuk menderma.

Dia berharap individu yang memberi teguran pedas agar meneliti niat baiknya. Lagu dan MV ‘Ku Ikhlaskan’ mempunyai kekuatan tersendiri menyebabkan ia terus menjadi tontonan dalam laman YouTube.



Di samping menerima pujian, tidak kurang juga sejumlah masyarakat yang tidak bersetuju cara DSV menggunakan hasil pendapatan MV itu untuk menyiapkan pusat tahfiz seperti yang dinyatakan oleh DSV.

Antara teguran pedas diberi oleh pendakwah bebas PU Syed atau nama sebenarnya Syed Mohd Bakri Syed Ishak, 40.

"Tak boleh jadi sifat Robin Hood dan sebagainya. Kerana mahu melakukan kebaikan kepada Allah, namun dalam masa sama melakukan kemaksiatan kepada Allah. Tak boleh lakukan perkara maksiat, namun di hujungnya kita katakan demi mendapatkan reda Allah," ujar PU Syed.


 


Turut meluahkan rasa kurang senang ialah pengarah drama dan pemilik Radius One Production, Shahrulezad Mohameddin, lebih dikenali sebagai Budak Ijat.

Bagi pengarah itu, setelah mengeluarkan wang sebanyak RM400 ribu bagi menyiapkan MV itu, tokoh kosmetik itu boleh menyediakan peruntukan lain untuk menyiapkan pusat tahfiz yang dalam pembinaan. 

"Saya tak ada masalah dengan MV dia. Tapi apabila dia gunakan sentimen agama untuk tujuan peribadi, saya kena tegur sebab jelas sangat macam menunggang agama.

"Nak jual kisah hidup... nak habiskan RM400,000 untuk MV, itu hak dia tapi jangan menggunakan sentimen agama... tak baik," kata  Shahrulezad ketika dihubungi sebuah media.



Dalam pada itu, DSV menjangkakan lagu ‘Ku Ikhlaskan’ mampu menjadi lagu mala segar. DSV memperlihatkan kebolehannya mencipta melodi lagu bersama dengan Amy Ukays dan lirik.

Dan bagi mereka yang sudah mendengar nyanyian ‘Ku Ikhlaskan’ terkejut dengan kemampuan DSV menyampaikan lagu berentak balada dengan baik.

Sementara itu lagu ‘Ku Ikhlaskan’ nampaknya sudah dijadikan parodi bagi menambahkan populariti lagu tersebut. - KitaReporters




12
15
0
14
0

Copy Link: