IBARAT ‘ikan di laut, asam di darat’, kedua-dua penyanyi ini tidak pernah bertemu namun penyanyi Ezad Lazim dari Malaysia dan Nana Karia dari Singapura disatukan dalam ‘belanga’ melalui lagu ‘Meski’.

Persamaannya mereka sama-sama berusia 42 tahun malah pengalaman yang dilalui juga tidak kurang meninggalkan kesan ‘pahit’ pada diri masing-masing’

“Nadi saya pernah terhenti 10 saat dalam satu prosedur proses persenyawaan in vitro atau ‘IVF’ kali kedua untuk mendapatkan zuriat,” ujar Nana Karia sambil menitiskan air mata mengenang pengalaman ibarat mati hidup semula yang dialami.

Manakala Ezad Lazim tidak ketinggalan berdepan masalah kesihatan akibat sering diserang gastrik kronik atau gerd.


Lagi cerita menarik berkaitan Ezad Lazim



Kedua-dua mereka ditemui pada majlis pelancaran lagu ‘Meski’ yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka pada Rabu, 3 Ogos 2022. Turut hadir penerbit dan pencipta lagu ‘Meski’,  Jaybon Osman dan Amiruddin Karim selaku penerbit bersama.

“Lirik lagu ini ibarat satu wasiat yang saya tinggalkan untuk suami andai kata saya pergi dahulu teruskanlah kehidupan untuk mencari kebahagiaan sempurna meski pun terpisah,” sambung Nana mengulas mesej yang ingin disampaikan melalui ‘Meski’.

Beliau percaya Ezad juga mengalami perasaan yang sama dan kerana itulah lagu ini dapat dijiwai mereka berdua sepenuhnya.

“Memang benar, ketika menyanyikan lagu ini saya pun rasa apa yang dilalui Nana kerana saya sendiri berhadapan masalah kesihatan selama ini malah pernah terfikir jika saya tiada bagaimana kehidupan anak isteri,” tambah Ezad Lazim sambil bersyukur mempunyai seorang  isteri yang  tabah mengharungi suka duka bersamanya.


Dari kiri: Jaybon, Nana, Ezad dan Amiruddin. - Kredit foto; FAS.


Bagaimanakah kolaborasi antara dua negara jiran ini boleh berlaku?

“Idea untuk menghasilkan kolaborasi ini telah dirancang lama sejak satu dunia berdepan dengan suasana pandemik COVID-19 dan disebabkan oleh sekatan pergerakan sempadan, rakaman lagu ‘Meski’ terpaksa dirakamkan berasingan,” ujar Jaybon sambil memberitahu rakaman lagu dilaksanakan dengan kerjasama Ada Exists Studio, bertempat di Bandar Sri Damansara dan juga Studio 47 dari Woodlands, Singapura. 

Menurut Jaybon, Ezad dan Nana hanya ditemukan dalam satu wawancara podcast buat lagu ‘Meski’ selepas saat kawalan sempadan dilonggarkan sehinggalah pada majlis pelancarannya pada 3 Ogos 2022.



Mengakui ‘Meski’ membawa erti yang sama buat Ezad dan Nana walaupun melalui pengalaman masalah kesihatan berbeza ia dititip sebagai satu doa buat orang-orang tersayang.

“Semoga ia dapat menjadi pembakar semangat cinta dengan keredaan, dan semoga ia membuka ruang komunikasi yang baik dan mendalam tentang kematian,” jelas Jaybon.

Berkongsi lanjut, dalam nada sebak Nana memberitahu jika diikutkan usianya dan suami yang jarak 9 tahun lebih muda daripadanya, beliau reda andai ditakdirkan menghadap Illahi terlebih dahulu.

“Sudah dua kali saya cuba melakukan IVF untuk mendapatkan zuriat setelah berkahwin pada tahun 2015 tetapi belum ada rezeki sehinggalah saya ‘mati’ seketika dalam 10 saat. Sejak itu, suami pun sependapat tidak mahu lagi melakukannya jika berbahaya,” ulang Nana



Sehubungan itu juga katanya, lagu ‘Meski’ ditulis sebagai ‘wasiat’ untuk suami dan kebetulan juga Ezad melalui pengalaman sama, jadi ada keserasian mereka menghadam lagu tersebut.  

Kelainannya, hasil perkongsian Ezad atau nama sebenarnya, Mohd Rohaizad Mohamad Lazim bersama isteri yang dikahwini pada Mac 2013, Nor Azeana Haji Ramli  dikurniakan sepasang cahaya mata bernama Puteri Rania Kiesha dan Putera Muhammad Darwish.

Manakala Nana Karia yang dikenali sebagai ‘Rock Chick’ di Singapura bernikah dengan Muhammad Shahrin Sanudin pada Disember 2015 namun belum ada rezeki menimang cahaya mata. - KitaReporters


Kredit foto:IG Ezad Lazim

10
8
0
17
0

Copy Link: