PENANTIAN puluhan tahun oleh penduduk di Mukim Jenagur, Hulu Terengganu untuk memiliki tanah milik sendiri bakal menjadi kenyataan apabila 175 individu generasi kedua  ‘dihadiahkan’ Borang  5A pada 5 Januari 2022 lalu.

Kesemua mereka merupakan penerima bagi Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) lot rumah generasi kedua Felcra Bukit Kapah, RTB padang ragut Kampung Tapah dan RTB Pertanian Bukit Nyiur di daerah Hulu Terengganu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Hulu Terengganu

Muhyiddin Abdul Rashid menyampaikan Borang 5A kepada salah seorang penerima.


Majlis Penyerahan Borang 5A bagi lot-lot tanah di kawasan berkenaan diadakan di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu yang disempurnakan perasmiannya oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil, Maliaman Kasim; Pegawai Penyelaras Dun Telemong, Mohd Safari Abu; serta Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Ahmad Azizi Zulkifli.

Menurut Muhyiddin, pemilikan tanah bukanlah sesuatu yang mudah atau cepat untuk diperoleh sebaliknya mengambil masa lama sehinggakan menjangkau tempoh puluhan tahun.


Kepimpinan setempat dan penerima Borang 5A mendengar ucapan. - Kredit foto: FB Telemong Sejahtera


“Penyerahan Borang 5A ini menandakan penerima akan menerima geran kekal. Semua peserta perlu membuat bayaran premium tanah dalam tempoh ditetapkan bagi dapatkan geran berkenaan.

“Semua penerima diharapkan dapat memanfaatkan sebaik mungkin pemberian ini. Tanah-tanah diagihkan ini telah dipohon sejak sekian lama,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan sebanyak 11,371 permohonan tanah telah diterima bagi Hulu Terengganu hanya dalam tempoh kerajaan negeri ada kini mentadbir Terengganu sehingga 20 Disember 2021.

Ujarnya, ia secara tidak langsung menunjukkan keperluan tanah bagi rakyat terutama bagi membina kediaman.


Nor Ilahi Mamat menunjukkan Borang 5A diperolehnya.


Sementara itu, seorang penerima dari Kampung Tapah, Nor Ilahi Mamat, 37, berkata penyerahan Borang 5A itu bagaikan mimpi jadi nyata baginya yang kurang berkemampuan untuk membeli tanah sendiri.

“Sejak mendirikan rumah tangga 11 tahun lalu, saya tinggal di rumah mertua di Kuala Ibai, Kuala Terengganu sebelum pulang ke kampung kira-kira tiga tahun lalu setelah ibu diserang angin ahmar.

“Saya dan suami, Mohd Kamalrulzaimi Che Rahim, 38, belum mampu membeli tanah bagi membina rumah kediaman untuk tinggal bersama empat anak berusia 10 hingga 3 tahun.

“Agihan Borang 5A diterima ini seperti satu mimpi, kalau diharapkan duit sendiri bagi beli tanah saya sendiri belum pasti ia jadi kenyataan atau sebaliknya,” ujarnya. - KitaReporters


Kredit foto: FB Telemong Sejahtera

13
17
0
13
0

Copy Link: