Sebahagian remaja yang menyertai program menangkap ikan darat bergelumang dengan selut


KETIKA warga kota sibuk dengan permainan gajet, penduduk desa pula teruja bermain lumpur dengan aktiviti menangkap ikan di sawah, parit dan sungai yang menjadi amalan aktiviti tradisional yang tidak luput ditelan zaman.

Keheningan pagi di Kampung Lak Lok, dekat Jertih, Terengganu bertukar riuh dengan suara penduduk kampung yang mengambil bahagian dalam pertandingan Igak Ike Darat (menangkap ikan darat) di sawah kampung tersebut pada Sabtu, 20 Mac 2021.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan menangkap ikan:

https://kitareporters.com/search?search=menangkap+ikan


Peserta sanggup bermandi lumpur ketika menyertai pertandingan menangkap ikan darat.


Pertandingan bermula seawal jam 8 pagi itu terbuka kepada semua daripada pelbagai peringkat umur dan golongan termasuk kanak-kanak, remaja dan orang dewasa.

Pertandingan anjuran Pemuda UMNO Kampung Lak Lok Dalam, Tok Motong, Lak Lok Luar dan Persatuan Penduduk kampung terbabit menguji ketabahan peserta dengan bermandi lumpur untuk mendapatkan hasil tangkapan ikan darat.

Pengerusi penganjur, Roskalmizi Arifin berkata, Program Timba Ikan Darat itu berjaya menarik minat peserta setempat terutama kalangan remaja dari kampung-kampung berhampiran

Katanya, disebabkan keadaan lokasi program agak sempit pihaknya mengehadkan hanya 50 peserta sahaja untuk menyertai pertandingan menangkap ikan darat dalam sawah padi

Beliau berkata, jika tidak kerana pandemik COVID-19 pihak penganjur akan membuka peluang lebih ramai peserta mengambil bahagian tetapi jumlah peserta terpaksa dikurangkan.


Pelbagai spesis ikan darat yang ditangkap peserta di sawah padi Kampung Lak Lok, Jertih


“Menariknya program ini peserta terutama golongan remaja begitu teruja apabila terpaksa bermandikan selut untuk menangkap dan mengejar ikan dalam sawah,” katanya.

Beliau berkata, kebetulan kemarau sedang melanda negeri ini dengan kebanyakan sawah hampir kering dan terdapat banyak ikan terperangkap dalam takungan air di sawah.


Aksi peserta ketika menyertai pertandingan menangkap ikan darat


Katanya, program itu bertujuan mengajak golongan remaja masa kini mendekati aktiviti menangkap ikan di sawah yang sebelum ini menjadi amalan orang dulu-dulu pada setiap tahun apabila sawah kering dilanda kemarau.

Aktiviti itu bertambah meriah dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Jertih, Datuk Muhamad Pehimi Yusof yang sempat hadir menyaksikan gelagat peserta menangkap ikan sebelum beliau menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan.

“Penganjur mendapat maklum balas yang amat mengalakkan dari peserta dan orang ramai yang mahu supaya aktiviti itu diadakan lebih kerap sebagai aktiviti komuniti,” katanya. - KitaReporters


Muhamad Pehimi menyampaikan hadiah kepada seorang peserta

 

 

16
4
1
1
0

Copy Link: