Sebuah lagu hasil ciptaan bersama Imran Aqil, bekas peserta Hero Remaja 2020 dengan komposer dan penyanyi, Aiman Sidek yang diberi judul Bunga Dahlia telah dilancarkan pada 24 September 2023 selepas majlis pernikahan pasangan yang telah menarik perhatian netizen, Imran Aqil dan Dahlia Rizal. 

Diterbitkan oleh 4U Entertainment, lagu Bunga Dahlia merupakan kolaborasi susulan selepas Imran membintangi muzik video lagu Cinta Sejati, ciptaan dan nyanyian Aiman Sidek yang telah mendapat jumlah tontonan lebih 15 juta dalam saluran YouTube 4U Entertainment. 

Imran juga membuat penampilan dalam lagu Bunga Dahlia tersebut melalui sebuah puisi khas buat isterinya yang tercinta, Dahlia Rizal. 

“Lagu Bunga Dahlia adalah curahan hati saya kepada bakal isteri, Dahlia Rizal, ketika ia ditulis. Kini, kami telah menjadi pasangan yang sah membuatkan setiap bait dalam lagu ini menjadi semakin bermakna kepada saya untuk Dahlia. 

"Diharapkan agar semua dapat mendoakan kebahagiaan kami sampai ke hujung nyawa, seperti yang dititipkan dalam bait-bait lagu ini,” jelas Imran Aqil. 



Aiman Sidek, penyanyi dan penulis bersama lagu ini berkata, “Bunga Dahlia merupakan sebuah karya yang ditulis dan dipersembah bersama dengan bekas peserta Hero Remaja ini yang berkisar tentang keinginan seorang pencinta yang mencurahkan segala rasa dan perasaannya kepada kekasih hatinya, Dahlia yang dimetaforakan sebagai sekuntum bunga yang sentiasa mekar dalam jiwa yang mencintainya, iaitu Imran.”

Pelakon, pengacara dan bekas penyampai radio lelaki terkemuka di Malaysia tersebut telah selamat diijabkabulkan dengan pilihan hati beliau, Dahlia Rizal, seorang pempengaruh media sosial yang juga terkenal sebagai seorang model untuk koleksi hijab, pada 9 September 2023 yang lalu selepas hampir lebih setahun pertunangan mereka. 

“Lagu Bunga Dahlia merupakan hasil karya bersama seorang personaliti muda yang sangat rendah diri dan menghormati orang sekelilingnya. 

"Seusai pertunangan Imran pada tahun lepas (2022), kami telah mengadakan perbincangan dengan Imran untuk menjayakan kejutan bermakna sempena perkahwinan mereka. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar,” menurut Meor Alfaizal dan Raja Azraff yang merupakan Penerbit Eksekutif bagi pihak 4U Entertainment. - KitaReporters/Kenyataan Media



10
11
0
14
0

Copy Link: