SETIAP pasangan suami isteri pastinya inginkan bahtera perkahwinan mereka berkekalan selamanya dengan meniti hari-hari tua bersama dengan ditemani anak, cucu serta cicit tersayang.

Sebagai menzahirkan rasa cinta dan sayang antara satu sama lain ada pasangan suami isteri memberikan hadiah kejutan serta pelbagai bentuk penghargaan termasuk meraikan ulang tahun perkahwinan.

Ulang tahun perkahwinan ke-73 tahun, pasangan warga emas dikongsikan videonya menerusi aplikasi TikTok, @annawann030611 ternyata mendapat perhatian warganet yang turut tumpang gembira serta kagum dengan usia rumah tangga ‘tokki’ dan ‘tok’ itu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan perkahwinan




Perkongsian video oleh cucu pasangan ‘sweet’ tersebut dengan menulis keterangan "Alhamdulillah Allah masih lagi panjangkan umur tok dan tokki. Selamat ulang tahun perkahwinan tok dan tokki yang ke-73, semoga sihat selalu".

Lengkap berbusana berwarna ‘maroon’ serta ditatarias, pasangan merpati dua sejoli berusia 96 dan 89 tahun ini dirai bak pengantin baharu dengan diiringi menuju ke pelamin untuk acara bersanding.



Seorang demi seorang ahli keluarga datang bersalaman dan mencium pipi tok serta tokki dan bukan sekadar itu sahaja, warga emas ini begitu romantis dengan menyuapkan kek antara satu sama lain.

Meskipun usia perkahwinan sudah menginjak 73 tahun, namun jelas kelihatan kasih sayang antara kedua-duanya masih utuh sehingga membuatkan mereka kelihatan seperti pengantin baharu. 



Sementara itu, meninjau ke ruangan komen rata-rata netizen tidak hanya mengucapkan  selamat ulang tahun perkahwinan tetapi turut mendoakan semoga tok dan tokki sihat selalui serta kekal bahagia sampai ke syurga.

Malah, angka usia perkahwinan berkenaan turut membuatkan warganet kagum kerana masih kekal bertahan serta mampu bersama melayari bahtera rumah tangga yang sememangnya penuh berliku serta banyak rintangan. - KitaReporters


 

16
15
0
19
1

Copy Link: