BURUNDI MARAH!! DITUDUH TIADA KIT COVID-19?

Published by
KitaReporters

“JANGAN main-main sebarkan berita palsu!” Marah benar kerajaan Burundi, sebuah negara di timur benua Afrika apabila negara itu didakwa tidak mempunyai kit saringan dan pemeriksaan untuk mengesan jangkitan penyakit Koronavirus-2019 atau COVID-19. : KitaReporters

NEGARA kecil Burundi yang bersempadan dengan Congo, Uganda, Kenya, Tanzania dan Rwanda. - Kredit foto: World Map


Dalam keadaan seluruh dunia bertungkus lumus mendepani wabak COVID-19 yang telah mencatat ribuan kematian dan ratusan ribu dijangkiti di seluruh dunia, ada juga cerita lucu yang dikaitkan dengan wabak tersebut. 

Sementara banyak negara, termasuk di benua Afrika, berusaha keras menangani wabak COVID-19 dan mengekang penularannya, Burundi dikatakan tidak menghadapi masalah wabak ini.

Ini tentulah sesuatu yang mengagumkan kerana negara-negara jiran Burundi seperti Republik Rakyat Congo dan Tanzania sudah pun merekodkan kes COVID-19.

Namun apa yang lucu ialah khabar yang mengatakan sifar kes di Burundi bukan kerana memang tidak ada kes COVID-19 di negara itu

Sebaliknya ia kerana negara itu dikatakan tidak mempunyai kit pemeriksaaan, kepakaran serta kemudahan  untuk menyaring serta mengesahkan jika seseorang telah dijangkiti wabak berkenaan.

Kerana tiadanya kit pemeriksaan tersebut, Burundi tidak dapat mengesan jika ada rakyatnya dijangkiti COVID-19. Kerana itulah negara tersebut dikatakan bebas wabak berkenaan. 

Sehingga Khamis, 26 Mac 2020, Burundi mendakwa belum ada kes COVID-19 dilaporkan.

Namun lucu atau tidak, cerita yang mendakwa Burundi tidak mempunyai kelengkapan kit pemeriksaan telah  menimbulkan kemarahan kerajaan negara itu. 

Memetik laporan The East Africanjurucakap kerajaan, Prosper Ntahorwamiye tegas menafikan khabar tersebut. 

Dakwanya, Burundi mempunyai kit pemeriksaaan mencukupi untuk menjalankan ujian. 

Rakyat negara itu diingatkan agar hanya menurut dan mendengar apa yang diarah atau dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan.

Prosper memberi contoh mengenai ujian yang dijalankan ke atas seorang guru di Sekolah Perancis di negara itu yang mempunyai tanda-tanda COVID-19. 

Namun apabila ujian dijalankan, guru itu disahkan negatif.

HOSPITAL Prince Regent Charles, Burundi, di mana sepasang suami isteri yang dirawat setelah menunjukkan tanda-tanda jangkitan COVID-19. - Kredit foto: Itara Burundi.


Ketika Burundi mendakwa belum ada kes COVID-19 di negara itu, kerajaan Tanzania pula mendakwa salah satu kes wabak tersebut yang dicatatkan di Tanzania berpunca daripada seorang pemandu trak dari wilayah Kagera, Burundi.

Tanzania mendakwa, pemandu trak ini memasuki Tanzania melalui sempadan Kabanga, antara Burundi dan Tanzania. 

Dia dikatakan sering memandu antara Congo, Burundi dan Tanzania.

Pihak berkuasa Burundi dalam reaksinya menyatakan kerajaan akan menjalankan siasatan sama ada pemandu tersebut benar-benar berasal dari Burundi dan sama ada dia telah bersentuh atau berhubung dengan orang lain.

Sehingga ini, Burundi telah pun menggantung penerbangan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Melchior Ndadaye di Bujumbura, bandar komersial Burundi.

Bagaimanapun majlis perkahwinan, mesyuarat dan perjumpaan, hiburan serta perhimpunan ramai masih dibenarkan.

Pada perkembangan lain, agensi berita Itara Burundi mendakwa sebenarnya sudah ada tiga kes kematian dilaporkan di Burundi sehingga awal Sabtu, 28 Mac 2020, walaupun kerajaan menafikan.

Menurut agensi itu, ketiga-tiga orang yang mati itu didakwa menunjukkan tanda-tanda dijangkiti COVID-19 tetapi telah tidak disaring dan diuji dengan sewajarnya.

Kementerian Kesihatan Burundi mengaku sepasang suami isteri dirawat di Hospital Prince Regent Charles selepas  kedua-duanya menunjukkan tanda COVID-19.

Bagaimanapun kerajaan menegaskan mereka tidak dijangkiti wabak itu, bertentangan dengan laporan Itara Burundi.

Sementara itu tidak ada maklumat mengenai seorang lagi pesakit yang juga didakwa meninggal kerana COVID-19.

Walaupun Burundi masih bertegas belum ada kes kematian akibat COVID-19,  negara itu kini dilanda kebimbangan mengenai penularan wabak tersebut.

.

SUASANA sunyi di pasar Sioni di Burundi. Rakyat negara itu sudah mengambil langkah berjaga-jaga mengelak dijangkiti COVID-19. - Kredit foto: Moses Havyarimana/NMG


Presiden Burundi, Pierre Nkurunziza dan anggota Kabinet kini terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan wabak COVID-19 itu tidak menyerang negara tersebut besar-besaran.

Untuk rekod, Republik Burundi ialah negara Afrika hanya ada sempadan darat tanpa sempadan lautan (landlocked). 

Ia bersempadan dengan Congo, Tanzania, Kenya, Rwanda dan Uganda. 

Jumlah penduduknya hanya 11 juta dan merupakan antara negara termiskin di dunia. 

Ibu negaranya ialah Gitega. - KitaReporters

PRESIDEN Burundi, Pierre Nkuruzinza. - Kredit foto: Itara Burundi

2
0
0
0
0

Copy Link: