Pusat penjagaan warga emas, bukan hanya untuk warga tua dan mereka yang telah lanjut usia tapi pusat penjagaan ini juga menjaga warga OKU yang dibuang atau didera oleh ahli keluarga mereka. 

Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia terletak di Kampung Sungai Sekamat, Kajang, Selangor dan mempunyai seramai 70 orang penghuni - 50 lelaki dan 20 perempuan. 

Tempat ini juga telah menjadi pusat perlindungan dan rumah keka  bagi dua penghuni OKU cacat fizikal. Mereka adalah Wan Zulhelmi Wan Chik, berusia 32 tahun berasal dari Kepala Batas Pulau Pinang dan Ain Syafiq Paimi, 28 tahun dari Tanah Merah, Kelantan.


Ain Syafiq Paimi, pemuda OKU yang pernah didera oleh ayah tirinya dengan teruk. 


Kisah Ain Syafiq atau lebih mesra dipanggil Syafiq, seorang OKU cacat fizikal yang juga tidak boleh bercakap dan pergerakkannya juga terhad. Melihat fizikalnya sahaja memang sangat menyedihkan dan menyayat hati. Beliau yang dilahirkan cacat adalah mangsa penderaan ibu dan bapa tirinya. 

Dia dihantar ke Al-Fikrah pada tahun 2016. Syafiq dihantar oleh JKM Tanah Merah ke Pusat penjagaan di Kajang ini. 

Dia diselamatkan oleh gurunya dan gurunya itulah yang memohon pihak JKM supaya membantu menyelamatkan Syafiq yang teruk didera oleh bapa tirinya. 

Keadaan Syafiq ketika dihantar ke pusat penjagaan berkenaan sangat menyedihkan. Badannya penuh dengan kesan-kesan parut parut yang agak dalam hasil cucuhan rokok dan parut-parut lama akibat dipukul dengan penyangkut baju, rotan dan kayu. 

Di Pusat Jagaan Al-Fikrah ini, Syafiq dijaga dengan penuh kasih sayang dan mendapat perlindungan yang terbaik. Sungguh terharu melihat keadaan fizikal Syafiq yang cacat, namun semangat anak muda ini sangat kuat. 

Satu sifat Syafiq yang dipuji oleh kakitangan dan pembantu di rumah Al-Fikrah ini ialah Syafiq sangat berdikari, dia juga tidak pernah tinggal solat. Dia uruskan dirinya walaupun dalam kepayahan. Dia tidak mahu menyusahkan pembantu di situ. 

Syafiq juga anak muda yang sangat peramah dan menghormati orang lain walau keadaan fizikalnya sangat menyedihkan. Dia menggunakan isyarat tangan untuk berkomunikasi dan cuba untuk membuat banyak aktiviti dan bergaul dengan semua orang. Sifatnya sangat ceria dan suka membantu walau dirinya tak sempurna.


Wan Zulhelmi Wan Chik telah tinggal di Pusat Jagaan Al-Fikrah lebih 10 tahun lalu.


Bagi Wan Zulhelmi pula, beliau telah tinggal di pusat penjagaan ini sejak lebih 10 tahun lalu. Anak yatim piatu ini cacat fizikal di mana tidak boleh berjalan dan kedua-dua tangannya juga agak keras dan tidak dapat digunakan. 

Wan Zulhelmi hanya duduk di kerusi roda dan diuruskan oleh pembantu pusat penjagaan itu sepenuhnya. Dia makan bersuap dan perlu dimandikan serta dibantu oleh kakitangan di pusat penjagaan berkenaan. 

Namun, Wan Zulhelmi seorang yang ceria dan sangat suka apabila pusat itu dikunjungi ramai pelawat. Kedua-dua penghuni cacat ini menumpang kasih dan perlindungan di Rumah Jagaan Al-Fikrah. 


Wan Zulhelmi disuap oleh Pengurus Rumah Al-Fikrah 


Apapun kegigihan, kesabaran, ketabahan dan kasih sayang kakitangan serta pembantu di pusat penjagaan ini sangat menarik perhatian saya. Mereka adalah golongan orang-orang yang dipilih menjaga insan-insan istimewa ini. 

Hubungan baik kakitangan dan pembantu rumah Jagaan ini dengan penghuni menolak persepsi buruk masyarakat yang mengatakan pusat penjagaan warga emas bukanlah tempat yang baik untuk orang tua dan mereka yang cacat atau OKU, kerana tempat sebegitu ibarat tempat buangan.

Bagi penulis yang telah banyak kali berkunjung pusat penjagaan ini dan membuat kerja kerja amal bersama pelajar Komunikasi dan Media UiTM di Shah Alam, tempat ini adalah syurga bagi mereka yang terbiar, dibuang oleh keluarga dan mangsa penderaan untuk tinggal dengan tenang dan mendapat penjagaan yang sempurna. 

Belum tentu anak-anak, saudara mara dan ahli keluarga boleh menjaga mereka yang tua dan uzur serta cacat sebaik pusat perlindungan ini. Namun begitu banyak kekangan yang dihadapi pusat pusat penjagaan seperti ini. 

Ikuti siri seterusnya bersama pengurus dan pengerusi pusat pusat penjagaan yang berhadapan dengan pelbagai masalah dan cabaran dalam membantu mereka yang malang ini. - KitaReporters


Waktu makan....


Penghuni Pusat Jagaan Al-Fikrah

9
14
0
10
0

Copy Link: