Adryani Iwani Ibeni Yanin (kiri) bersama 'kembarnya', Adryana Iwani (tengah) dan kembar sebenarnya, Noratirah Husin (kanan). - Kredit foto: Bernama


HOSPITAL Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bersikap terbuka dan bersedia untuk berjumpa keluarga bayi tertukar kira-kira 20 tahun lalu bagi sahkan kelahiran mereka.

Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata meskipun tidak mengetahui lokasi sebenar hospital kelahiran tiga bayi termasuk sepasang kembar itu tetapi pihaknya akan turut mencari dokumen kelahiran mereka.

"Kita hendak tahu kelahiran tiga bayi yang kini berusia 20 tahun di hospital mana kerana setakat info diketahui mereka lahir di sebuah hospital di Kota Bharu sahaja.

"Di  Kota Bharu pula ada beberapa hospital lain. Sewaktu kelahiran mereka, HRPZ II dikenali sebagai Hospital Besar Kota Bharu pada waktu itu.

"Jadi, jika keluarga mereka mahu berjumpa, pihak HRPZ II bersedia dan tiada masalah untuk itu," katanya dipetik laporan Harian Metro pada 28 Jun 2021.

Tambah beliau, dokumen diperlukan bagi membantu kes tersebut dan semua itu memerlukan masa untuk mencari dokumen apatah lagi 20 tahun satu jangka masa yang panjang.

"Dokumen diperlukan untuk mengetahui siapa pegawai terbabit ketika kelahiran mereka. Sebelum ini kita tidak pernah dengar serta tidak pernah timbul kes seperti itu.

"Banjir teruk di Kelantan pada 2014 juga menyebabkan sebanyak 300,000 dokumen hospital ditenggelami banjir dan dilupuskan," ujarnya.

Terdahulu media melaporkan dua keluarga terpaksa lalui kisah tragis apabila tiga bayi dilahirkan 20 tahun lalu rupa-rupanya tertukar dipercayai akibat kecuaian petugas kesihatan sebuah hospital di Kota Bharu, Kelantan.

Lebih memeritkan, kejadian itu hanya disedari apabila Adryani Iwani Ibeni Yanin, 20, 'kembarnya' Adryana Iwani, 20, dan kembar sebenarnya Noratirah Husin, 20, pada September 2020 selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan. - KitaReporters 


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter


0
0
1
0
0

Copy Link: