Cuba dan terus mencuba! Lelaki 50 tahun dah 192 kali gagal ujian memandu dalam tempoh 17 tahun

Published by
KitaReporters

Seorang lelaki berumur separuh abad telah mencatatkan sejarah Poland kerana gagal sebanyak 192 kali dalam ujian memandu. - Gambar hiasan 


SECARA umumnya, setiap individu yang telah memiliki lesen memandu pasti akan berasa bangga dan gembira, lebih-lebih lagi memandu kereta yang berjenama mewah seperti BMW, Ferrari, Lamborghini dan lain-lain.

Tetapi bagi mereka yang tidak mempunyai lesen memandu pula akan sentiasa berdepan dengan pelbagai masalah melibatkan kesalahan undang-undang jalan raya. 

Walaupun begitu, dalam konteks Malaysia banyak juga individu-individu yang berani dan degil tetap mahu memandu kenderaan tanpa memiliki lesen waima  berdepan dengan pegawai-pegawai penguat kuasa undang-undang jalan raya seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan pemandu:

https://kitareporters.com/search?search=pemandu


Bagaimana agaknya tangapan atau fahaman seorang lelaki yang gagal ujian kelas memandu sebanyak 192 kali melihat papan tanda 'no entry' ini? - Gambar hiasan.


Pada awal Mac 2021 di Poland, seorang lelaki berumur 50 tahun dikatakan paling teruk kerana gagal sebanyak 192 kali dalam ujian memandu sama ada ujian teori undang-undang jalan raya mahu pun ujian praktikal di jalan raya.

Gagal ujian memandu bukanlah sesuatu perkara yang pelik tetapi norma biasa bagi seseorang individu yang baharu belajar memandu. 

Kebanyakan pelajar kelas memandu akan lulus ujian mereka selepas melakukan ujian kali kedua atau ketiga.

Namun begitu, lelaki separuh abad yang namanya dirahsiakan bersemangat kental dan tidak mudah berputus asa tetap gigih mencuba dan mencuba menduduki ujian tersebut.



Kegagalan lelaki ini telah mencatat sejarah Poland iaitu individu paling lama menduduki ujian memandu iaitu 17 tahun dan tidak pernah lulus ujian tersebut.

Lelaki dari Piotrkow Trybunalski, Poland itu berkata bahawa dia sudah menghabiskan wangnya sebanyak 6,000 zloty atau RM6,357.46 sen dalam tempoh hampir dua dekad.

Untuk pengetahuan, kerajaan Poland menetapkan sebanyak 50 hingga 60 peratus kelulusan ujian teori dan 40 peratus bagi ujian praktikal sebelum layak mendapatkan lesen memandu yang sah.

Rata-rata rakyat Poland akan lulus ujian teori antara dua dan tiga kali sahaja.

Pada tahun 2020, terdapat beberapa pusat ujian sekolah memandu meletakkan kadar peratusan kelulusan (ujian teori) yang berbeza-beza seperti di Lublin (58.9%) dan di Bolesławiec (45.2%).

Manakala ujian praktikal di Jelenia Góra(53%) dan di Łódź hanya 24.9 peratus.


Sekolah memandu di Poland menetapkan latihan praktikal sekurang-kurangnya 30 jam sebelum menduduki ujian memandu yang sebenar. - Kredit foto agensi.


Memetik laporan sebuah stesen penyiaran Poland (TVP), terdapat seorang lagi calon ujian memandu telah gagal sebanyak 113 kali di bandar Opole.

Lelaki kedua paling teruk dari Piotrkow Trybunalski juga gagal ujian sebanyak 40 kali dan telah mendapat perhatian sebahagian daripada rakyat Poland.

Seorang jurulatih sekolah memandu, Stanisław Kobusiewicz berkata, “mana-mana individu yang telah gagal sebanyak 20 atau 30 kali tidak perlu lagi menduduki ujian berkenaan.

“Sepatutnya pihak kerajaan membuat satu ketetapan yang standard bagi mereka yang layak memperolehi lesen memandu tanpa melanjutkan tempoh yang panjang,” jelas beliau. - KitaReporters


Sumber:

https://notesfrompoland.com/2021/03/12/polands-worst-driver-fails-theory-test-a-record-192nd-time/

1
0
1
0
0

Copy Link: