Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM) dan UKM Fairway Philanthropists (UFP) mengumumkan kejayaan acara Golf Amal 2023, yang mendapat sokongan padu daripada masyarakat serta berjaya mengutip dana sekitar RM100,000. Acara amal itu telah berlangsung pada Ahad, 20 Ogos 2023, di Bukit Jalil Golf and Country Resort dan dianjurkan bersama oleh PSDM dan UFP.

Dana ini akan digunakan untuk menubuhkan Pusat Intervensi Awal baharu PSDM di Universiti Malaya dan juga menampung pelbagai perbelanjaan seperti naik taraf kemudahan dan sumber pendidikan. 

Hanizan Hussin, Presiden PSDM berkata, “Acara Golf Amal 2023 telah mempamerkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat kita dan membawa kita selangkah lebih dekat ke arah merealisasikan visi kita untuk masyarakat yang lebih inklusif.

"Melalui acara ini, kami bukan sahaja berjaya mengumpul dana yang besar tetapi juga berjaya mewujudkan kesedaran dan pemahaman tentang Sindrom Down, yang menyumbang kepada pembangunan holistik individu-individu istimewa ini.”



Dr. Gary Tok, Pengarah Projek UFP, pula berkata, “Kami berbangga dengan sambutan yang diterima. Acara ini membuktikan potensi kerjasama dan inisiatif yang dipacu oleh komuniti. 

"Bagi pihak pasukan pelajar MBA di UKM Graduate School of Business yang bertanggungjawab menganjurkan kejohanan amal ini, kami mengucapkan terima kasih atas peluang untuk menyumbang kepada perjuangan penting ini.”

Acara Golf Amal 2023 tersebut telah menghimpunkan 95 pemain golf. Ia menerima tajaan daripada Harlow’s & MGI Sdn Bhd (Penaja Emas); Tan Sri Vincent Tan dari Berjaya Group; Datuk Abdul Malek Abdullah, Pengerusi dan Penasihat D’Tandoor kepada PSDM; dan Les Copaque. Sementara itu, PSDM merupakan penaja bersama barangan bagi acara tersebut.

Pemain golf yang menyertai kejohanan itu terdiri daripada individu dan kakitangan daripada pelbagai entiti termasuk Allo Technology Sdn. Bhd. dan Kelab Golf Rekreasi Tenaga Nasional (TNRGC).



PSDM dan UFP memperuntuk sebahagian daripada jumlah dana yang dikumpul pada Acara Golf Amal 2023 kepada empat NGO iaitu Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), Perikatan Cerebral Palsy (Gabungan Anak-anak Palsi Serebrum-GAPS) dan Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia (ADFM), masing-masing menerima RM1,000.

Lam Kong Foo muncul juara kategori Medal A acara Golf Amal 2023 dengan skor 40 mata. Ahmad Zaini Zainal, Yee Yen Mew dan Chan Tim Yeow masing-masing mengumpul 34 mata dan diumum pemenang-pemenang kategori Medal B. 

Manakala cabaran “putting” telah menarik penyertaan daripada 41 orang pemain, dan Mohd Zin Bin Su yang berjaya meraih kemenangan dengan hadiah sebanyak RM410, yang mana beliau bermurah hati menyumbangnya kembali kepada PSDM. - KitaReporters/Kenyataan Media


6
17
0
7
0

Copy Link: