IBARAT yang  berat sama dipikul ringan sama dijinjing  yang berlaku kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) apabila berjaya mengumpul lebih RM300,000 hasil kutipan di seluruh masjid dan surau yang mendirikan solat Jumaat di negeri itu.

Kutipan yang dimulakan pada 24 Disember 2021 lalu melibatkan 622 masjid dan 63 surau diri Jumaat semasa umat Islam mendirikan solat Jumaat. Semuanya dilakukan bagi meringankan mangsa-mangsa banjir yang terjejas di negeri itu.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan JAIPk



Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, sehingga tarikh serahan pada Isnin, 27 Disember 2021, jumlah kutipan mencecah RM306,000. 

“Jumlah ini belum merangkumi semua kerana masih ada pihak masjid dan surau yang belum selesai membuat serahan," katanya.

Sumbangan awal itu akan diberikan kepada mangsa-mangsa banjir yang terjejas di Perak iaitu di Changkat Jong dan Padang Rengas.

"Insya-Allah akan ada lagi serahan oleh pihak-pihak masjid dan surau diri Jumaat selepas ini (yang belum membuat serahan)," ujarnya.

Dalam satu notis dikeluarkan pada 22 Disember 2021 lalu, JAIPk meminta agar setiap masjid dan surau diri Jumaat di Perak menyediakan tabung khas kepada mangsa banjir. Hasil kutipan itu perlu disalurkan kepada Tabung Bantuan Bencana dan Kemanusiaan. 



Sebelum ini, sebanyak 2,947 mangsa melibatkan 697 keluarga ditempatkan di pusat perpindahan sementara (PPS) banjir di Kuala Kangsar.

Bagi kawasan Chandan melibatkan 322  keluarga iaitu sebanyak 1,482 mangsa, manakala di Manong pula sebanyak 129 keluarga dipindahkan iaitu sebanyak 463 mangsa.

Sementara itu, di pusat perpindahan banjir Padang Rengas, iaitu Chenderoh melibatkan 37 keluarga sebanyak 160 mangsa dan Lubuk Merbau tiada jumlah mangsa yang dicatatkan.

Bagi Sungai Siput pula, Lintang mencatatkan perpindahan mangsa sebanyak 209 keluarga iaitu sebanyak 842 mangsa manakala bagi kawasan Jalong  tidak mencatatkan sebarang jumlah mangsa

Beruntungnya rakyat Malaysia! ada sahaja bantuan pada kala ada pihak terbeban dengan musibah. Semoga ukhwah Keluarga Malaysia diteruskan sampai bila-bila! - KitaReporters


 

15
4
0
9
0

Copy Link: