HARI ini negara bersedih di atas pemergian pendakwah bebas dan  tersohor, Ustaz Datuk Ismail Kamus yang diumumkan meninggal dunia kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi, Jumaat, 8 Mei 2020 menerusi Facebook rasmi Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia, yang diasaskan oleh Allahyarham.  Ustaz Datuk Ismail Kamus diberitakan menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Ampang, Selangor ketika berusia 72 tahun. : KitaReporters

Kredit foto: FB Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia



Exco Penerangan Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia, Abdul Hadi Jusoh dalam laman itu menulis, veteran Pas itu dimasukkan ke wad sejak 26 April 2020 disebabkan keadaaan kesihatan yang agak lemah.

Allahyarham dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung dan strok ringan, serta jangkitan kuman pada paru-paru.

Terdahulu pada 9 Mei 2019, Allahyarham menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).

Datuk Ismail Kamus, seorang pendakwah yang juga Pengasas dan Penasihat Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia

Laman Facebook itu kelihatan dibanjiri ucapan takziah daripada orang ramai yang berkongsi rasa sedih dengan pemergian Allahyarham.

Sebagai pendakwah, pengamal perubatan Islam dan juga bekas ahli politik, nama Allahyarham tersohor sejak lama dulu dan tidak hairanlah arwah mempunyai ramai pengikut.

Allahyarham adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia selama sepenggal pada 1999 hingga 2004 dan pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Perginya Allahyarham ke negara abadi diiringi doa oleh warga pusat berkenaan, bekas pesakit, anak murid, pengikut dan orang ramai yang mengenalinya – semoga Allah SWT menempatkan Allahyarham di tempat yang mulia di sisi Allah SWT.

Berikut ringkasan biodata Allahyarham :
  • Dilahirkan pada 2 Disember 1948 di Kampung Batang Rening,Ulu Selangor.
  • Pendidikan awal di Sekolah Arab Batang Kali sebelum meneruskan pengajian ke Ma’ahad Hisyamuddin, Klang di mana beliau berguru dengan seorang ulama tersohor, Asy-Syeikh Mahmood al-Arif al-Bukhori.
  • Kolej Islam Klang dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan mendapat ijazah Sarjana Muda Syariah dengan kepujian pada 1976.
  • Pernah menuntut di Beaver College Pennsylvania, Amerika Syarikat.
  • Pernah bertugas sebagai guru, Pegawai Penyelidik, Pegawai Dakwah selain bertugas selama 15 tahun di pelbagai jabatan seperti di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Pusat Islam.
  • Jawatan terakhir Allahyarham ialah sebagai Pakar Rujuk di Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Pusat Islam sebelum bersara secara pilihan.

Allahyarham juga adalah seorang perunding motivasi dan pendakwah bebas dengan memberi ceramah agama di seluruh dunia seperti Brunei Darussalam, Indonesia, Thailand, Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada dan negara Asia Barat.

Politik :

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan N17 Gombak Setia atas tiket PAS Beliau bertanding dalam Pilihanraya Umum Malaysia dan menang.

Pada Pilihan raya umum Malaysia 2004, sekali lagi bertanding di DUN yang sama, namus tewas. Di dalam parti, beliau pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Perubatan Islam :

Selepas bersara daripada perkhidmatan kerajaan dan menubuhkan syarikat perkhidmatan umrah dan haji, Datuk Ismail Kamus menumpukan sepenuh masa kepada rawatan Islam, selepas berguru dengan pengamal perubatan Islam Prof Datuk Dr Haron Din, iaitu Pengasas Pusat Rawatan Darusyiffa’

Allahyarham mempelajari perubatan Islam daripada Prof. Datuk Dr Haron Din sekitar tahun 1979 dan mula mengubat pada tahun 1986.

Kemudian muncul sebagai pakar pengamal perubatan Islam dan mengasaskan pusat rawatan sendiri, Pusat Rawatan Islam Darussyiffa’ serta menjadi Penasihat Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 2003. 

KEGIATAN :

Pada masa sama, sering kali keluar di stesen TV di rancangan Forum Perdana Hal Ehwal Islam. Selain tampil di rancangan-rancangan TV terpilih seperti di TV3 dan Astro Oasis.

Mengeluarkan rakaman siri ceramah beliau menerusi CD, VCD , MP3 dan laman Youtube, disamping menulis buku

  • Indahnya Hidup Bersyariat (dan Edisi Kemaskini)
  • Indahnya Amalan Doa
  • JIN – Hakikat dan Pengubatan
  • Wahai Tuhan Engkaulah Penyembuh
  • Al-Quran – Penyembuh Penyakit dan Penangkal Musibah

Semua kegiatan Allahyarham semasa hidup dikemaskini di laman sosial Facebook dan Blog kelolaan peminatnya.

PENGIKTIRAFAN :

Pada 22 November 2011, terpilih Tokoh Maal Hijrah 2011 Peringkat Negeri Selangor hasil sumbangan besar dalam menyebarkan syiar Islam.

“Semoga Allah mencucuri rahmat kepada Allahyarham, diterima amal soleh, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan di kalangan para solihin.

Jenazah telah disolatkan di Masjid As-Sobirin, Lembah Keramat, Kuala Lumpur dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Lembah Keramat pagi tadi, 8 Mei 2020. - KitaReporters


1
0
2
0
1

Copy Link: