Syabas Sihat! Tukar kolam ikan jadi sawah padi! Mahu buktikan mampu tampung keperluan beras sendiri!

Published by
KitaReporters

Sihat Paiman memeriksa tanaman padinya sekiranya terdapat serangga serangga perosak seperti pianggang yang boleh merosakkan tamannya yang sudah mula mengeluarkan buah.


Perhatian terhadap perkembangan pertumbuhan serta kesan daripada sebarang serangan perlu sentiasa dilakukan.


Hampir dua tahun lamanya seorang pekebun di Labis, Johor menangguhkan hasrat untuk mencuba menanam padi secara kecil-kecilan berikutan kesukaran mendapatkan benih padi seperti yang dikehendaki selain tercari-cari lokasi yang sesuai untuk dijadikan 'sawah' bagi tujuan  tersebut.

Namun kenaikan mendadak harga beras dan kesukaran mendapatkan beras tempatan yang dikawal harga pada kadar RM2.60 sekilogram sejak Oktober tahun lalu (2023), Sihat Paiman, 53, nekad mengeringkan salah sebuah kolam ikan miliknya untuk dijadikan sawah padi.
"Saya mula menyemai benih padi yang dibeli secara dalam talian kira-kira dua bulan lalu selepas mengeringkan salah satu kolam ikan saya untuk dijadikan tapak  tanaman dan semaian.
"Proses menjadikan kolam ikan kepada petak tanaman padi tidak begitu sukar memandangkan keadaan dasar kolam sudah sedia kala berlumpur dan sesuai untuk tanaman padi serta tapak semaian benih," katanya ketika ditemui di Labis, Johor.

Sihat menunjukkan tanah lumpur yang sesuai untuk dijadikan tapak tanaman padi.


Petak tanaman yang sudah disediakan oleh Sihat untuk tanaman baharu.  


Menurut Sihat, dia bercadang menanam padi dalam skala kecil sebelum ini bukan bertujuan mendapatkan beras, sebaliknya untuk mewujudkan petak tanaman padi bagi tujuan pembelajaran kepada pelajar dan golongan muda yang tidak pernah melihat bagaimana makanan ruji negara ini dihasilkan.

Namun niat itu bertukar untuk membuktikan kepada masyarakat setempat bahawa padi boleh ditanam bukan sahaja di kawasan sawah, sebaliknya boleh diusahakan secara kecil-kecilan di tepi rumah mahu pun di dalam pasu bagi mendapatkan beras selepas berlaku 'krisis' beras pada Oktober 2023 lalu.
Menurutnya, pada peringkat awal ini, dia hanya menanam sekitar 1,500 rumpun padi di petak yang berkeluasan kira-kira 1,000 kaki persegi dan padi yang ditanamnya itu sudah mula mengeluarkan buah ketika ini.
Pada masa sama juga, dia sudah menyediakan dua petak baharu yang lebih luas ukurannya untuk ditanam padi dalam waktu terdekat dan dalam masa sama bercadang untuk menjadikan tiga daripada tujuh keseluruhan kolam ikan miliknya kepada petak tanaman padi sekiranya percubaannya untuk menghasilkan beras bagi kegunaan sendiri kali ini berjaya.

Sihat menunjukkan padinya yang sudah engeluarkan buah selepas kira-kira dua bulan ditanam.


"Sebenarnya saya tidak mempunyai pengetahuan mahu pun pengalaman menanam padi sebelum ini, saya hanya belajar cara-cara menanam padi melalui media sosial dan yakin usaha ini jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh mampu menampung sebahagian keperluan beras kepada keluarga yang mengusahakan tanaman ini sama ada di tepi rumah mahu pun di dalam pasu.

"Saya masih belum berani mendakwa usaha saya ini akan berjaya menghasilkan sejumlah padi berkualiti dalam jumlah yang banyak, namun melihat kepada perkembangan padi yang ditanam ini, saya yakin ia tidak mengecewakan walaupun mungkin tidak mencapai hasil maksimum," kata pesara tentera yang turut mengusahakan tanaman durian di kebun sama itu.
Kata Sihat, dia hanya mengikut jadual penjagaan seperti membaja, merumput dan kawalan racun serangga perosak seperti yang disyorkan dan ternyata menjagakan 'sawah' dalam skala yang kecil itu tidak begitu sukar baginya untuk mengawal serangan-serangga perosak.
Dia juga bercadang untuk berkongsi ilmu dengan rakan lain sekiranya usaha tersebut nanti terbukti mampu menampung sebahagian keperluan beras untuk kegunaan keluarga kerana berpendapat sudah tiba masanya masyarakat pada ketika ini melakukan sesuatu untuk menghasilkan bekalan makanan secara sendiri walaupun bukan sepenuhnya.

Salah satu kolam ikan milik Sihat yang akan dijadikan petak tanaman padi jika usahanya menghasilkan beras untuk kegunaan sendiri berjaya.


"Bagi tujuan tersebut adalah sangat perlu agensi kerajaan yang berkaitan mengorak langkah mempromosi usaha menanam padi secara kecil-kecilan di tepi rumah mahu pun menggunakan pasu dalam kalangan masyarakat bagi menampung keperluan makanan di negara ini sekaligus membantu mengurangkan jumlah import beras negara secara beransur-ansur pada masa akan datang.
"Agensi terbabit mungkin boleh memberi tunjuk ajar dan kalau terdapat sebarang bantuan awal seperti benih serta baja itu lebih baik bagi tujuan menarik minat orang ramai memulakan usaha tersebut," kata Sihat.
Menurutnya lagi, usaha tersebut bukan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan memandangkan banyak kawasan lapang terutama di kawasan kampung yang tidak digunakan untuk sebarang aktiviti ekonomi di sini.
Katanya, jika usaha mewujudkan kawasan sawah padi berskala besar mungkin agak sukar kerana perlu menyediakan sistem perairan sempurna yang memakankan belanja besar, tetapi dengan teknologi hari ini, menanam padi dalam skala kecil tidak memerlukan sistem pengairan yang menelan belanja besar, sebaliknya boleh menggunakan sumber air sedia ada seperti telaga mahu bekalan air paip bergantung kepada keluasan tanaman. - KitaReporters

Padi yang ditanam oleh Sihat tumbuh subur dan mula mengeluarkan buah.


Petak semaian benih padi sebelum benih yang bercambah setinggi kira-kira lima inci dan boleh dipindahkan ke petak tanaman.

11
19
0
15
0

Copy Link: