Berita Terkini| MAQIS Selangor rampas 7,824kg marjerin dari Ireland! Guna dokumen mengelirukan

Published by
KitaReporters

MAQIS mengambil serius dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam kelestarian makanan.


SEBANYAK 7,824 kilogram produk tenusu marjerin bernilai RM116,211 dari Ireland dirampas oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) kerana menggunakan dokumen yang mengelirukan.

Pengarah MAQIS Selangor, Zamri Hisham berkata, rampasan itu dibuat selepas menjalankan pemeriksaan rutin pada 5 April 2021 lalu.

“Ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana mengemukakan permit yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan media di Shah Alam pada 7 April 2021.

MAQIS akan terus menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan akan terus memperkasakan semua pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara.

“Kita mengambil serius dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam kelestarian makanan,” ujarnya. - KitaReporters


0
0
0
0
0

Copy Link: