MAKIN menjadi-jadi kes pemandu mabuk sehingga menyebabkan kehilangan nyawa. Malah, orang ramai menggesa kerajaan menggubal kembali akta sedia ada bagi membendung masalah ini. Terbaharu seorang lelaki berusia 44 tahun maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta dipandu oleh seorang lelaki yang disyaki mabuk di Lebuh Raya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara pada awal pagi Isnin, 1 Jun 2020. : KitaReporters

Motosikal milik mangsa dikatakan diheret beberapa kilometer dari tempat kejadian.


Mangsa yang dikenali sebagai Mohamed Zaili Mohamed disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Honda EX5 ditunggang mangsa dirempuh Nissan Grand Livina yang dipandu oleh suspek berusia 21 tahun dari arah belakang.

Rakaman video menunjukkan kereta yang dipandu oleh suspek mengheret beberapa kilometer motosikal yang dilanggarnya dan telah tersebar dalam media sosial.


Orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut sempat merakam dan berjaya menahan pemandu tersebut.

Suspek kemudian dibawa ke Balai Trafik Jalan Tun H S Lee dan keputusan saringan ujian mendapati kandungan positif alkohol dalam pernafasan lelaki berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - KitaReporters

1
0
1
1
29

Copy Link: