Video| Terus cari rezeki! Warga emas keliling kampung dengan basikal tua! Ambil upah asah pisau!

Published by
KitaReporters

PRAWOTO mengambil upah mengasah gunting atau pisau di halaman warga, baru-baru ini. - Kredit foto: TribunPriangan.com


BIASANYA ketika usia kita semakin dimamah waktu kebanyakan kita tidak mahu melakukan sebarang pekerjaan ataupun ingin hidup tenang di rumah selain menjalankan pekerjaan yang termampu sekadar untuk menghilangkan kebosanan.

Namun, ia agak berbeza dengan seorang warga emas dari Grogol, Jakarta Barat, Indonesia kerana setiap hari sanggup mengayuh sebuah basikal tua untuk mencari rezeki di keliling kampung dengan menawarkan perkhidmatannya mengasah pisau dan gunting.

Warga emas terbabit, Prawoto berusia 90 tahun tanpa segan dan silu pergi ke desa-desa yang berdekatan untuk mengasah pisau kepada warga yang memerlukan perkhidmatannya.

Dipetik dari TribunPriangan.com berkata, Prawoto  tidak pernah menetapkan kadar bayaran upah bagi mengasah pisau serta gunting itu.

Sebaliknya, katanya, setiap perkhidmatan yang diberi itu terpulang kepada warga serta suri rumah memberi bayaran mengikut keikhlasan hati mereka.



Prawoto berkata, banyak pisau serta gunting masih elok lagi tetapi tidak digunakan akibat tumpul kerana mereka tidak tahu mengasahnya.

``Umur saya sudah tua, tiada apa-apa pekerjaan lain yang saya boleh lakukan kecuali mengambil upah mengasah pisau atau gunting yang mampu saya lakukan.

``Dengan kerja ini, saya dapat bergaul serta beramah mesra dengan penduduk kampung berbanding saya tinggal di rumah bersendirian,’’ katanya yang mempunyai lima orang anak yang sudah berkahwin.

Prawoto berkata, dia melakukan pekerjaan tersebut kerana tidak mahu menyusahkan dan kehidupannya tidak bergantung kepada anak-anaknya yang sudah mempunyai keluarga masing-masing.

``Selagi tubuh badan saya sihat, selagi saya dapat mengayuh basikal tua ini, saya tetap berusaha mencari rezeki bagi menyara perbelanjaan diri saya setiap hari,’’ katanya. - KitaReporters


16
10
0
4
0

Copy Link: