Menerusi usahanya untuk membawa kegembiraan kepada kehidupan rakyat Malaysia semasa musim perayaan ini, Foodpanda, salah satu platform penghantaran makanan dan barangan runcit terkemuka di Malaysia, telah mengagihkan sejumlah 246,446 hidangan makanan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pertiwi melalui programnya Pertiwi Soup Kitchen untuk menyediakan makanan percuma kepada mereka yang memerlukan. 

Kempen ‘OhKasih’ itu berlangsung dari 23 Mac hingga 21 April. ‘OhKasih’ adalah inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) anjuran OhBulan!, anak syarikat Rev Media Group. 

Bagi menjayakan kempen tersebut, Foodpanda turut bekerjasama dengan Coca-Cola yang menaja acara tersebut. 

Foodpanda menderma satu hidangan makanan apabila pelanggan menggunakan kod promosi ‘Panda’ semasa membuat bayaran dalam aplikasi dan laman sesawang Foodpanda. 

Dua hidangan makanan pula diderma untuk setiap pembelian Coca-Cola yang termasuk dalam pesanan pelanggan. 



Pengarah Pemasaran Foodpanda Malaysia, Bernard Chong berkata, “Kami mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pelanggan kami kerana kami telah berjaya mencapai matlamat kami untuk mengembalikan bakti kepada masyarakat. 

"Pada masa yang sama, kami juga dapat memupuk semangat saling berkongsi sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini dalam kalangan masyarakat Malaysia. 

"Kami juga sangat terharu apabila melihat jumlah rakyat Malaysia yang sudi menghulurkan bantuan dan bersedekah, dan kami berharap rakyat Malaysia akan meneruskan semangat ini walaupun sudah tamat tempoh Ramadhan. 

"Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pasukan OhKasih dan Pertiwi Soup Kitchen kerana sudi berkongsi cerita kepayahan yang dialami oleh masyarakat yang kurang bernasib baik kerana kisah-kisah seperti inilah yang telah memberikan motivasi kepada pelanggan kami untuk menjayakan kempen ini.” 

Satu acara pengagihan sumbangan makanan telah diadakan di Pusat Pengagihan Medan Tuanku pada petang hari Rabu, 3 Mei 2023. Kakitangan Coca-Cola dan Rev Media Group turut sama menyingsing lengan masing-masing untuk membantu mengagihkan makanan di tengah-tengah ibu kota kepada mereka yang memerlukan. 

Pada acara itu, sekumpulan penunggang penghantaran bekal by Foodpanda turut membuat kemunculan sambil membawa makanan untuk diagihkan. 

Bekal by Foodpanda ialah fit penghantaran makanan Foodpanda terbaharu yang telah dilancarkan baru-baru ini. Bekal by Foodpanda merupakan satu-satunya platform penghantaran makanan yang disahkan halal di Malaysia untuk menghantar produk makanan daripada vendor yang disahkan halal sahaja. 

Pandamart, kedai runcit Foodpanda yang menawarkan pelanggan kemudahan penghantaran barangan runcit dalam masa kurang dari 30 minit, juga turut menyumbang barangan kering seperti biskut dan buah-buahan pada acara itu. 



Pengasas Pertiwi Soup Kitchen, Datuk Munirah Abdul Hamid yang memulakan program Pertiwi Soup Kitchen pada tahun 2010 itu berkata, “Sukar mencari perkataan yang tepat untuk meluahkan kegembiraan dalam hati saya apabila mengetahui bahawa kita telah berjaya mengumpul hampir 250,000 hidangan makanan. 

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan Foodpanda yang turut sama menjayakan inisiatif ini supaya kami dapat terus membantu memberikan makanan kepada masyakat yang memerlukan dalam bandar .” 

“Terima kasih Foodpanda, kerana telah merealisasikan visi saya ini,” tambah beliau lagi. 

Turut hadir pada acara itu ialah wakil Rev Media Group – Pengurus Besar Omnia, Penyelesaian Digital, Adrina Choy dan Pengurus Besar Rangkaian Melayu, Noraniza Azmi untuk menyampaikan mock-cheque berjumlah RM20,000 kepada Pertiwi Soup Kitchen. 

“Coca-Cola percaya pada Keajaiban Sebenar yang timbul apabila orang ramai bekerjasama untuk meningkatkan dan berkhidmat kepada komuniti mereka. 

"Kami yakin perkongsian kami dengan Foodpanda bukan sahaja akan menggembirakan rakyat Malaysia tetapi juga menyumbang kepada masa depan yang lebih cerah dan dikongsi bersama. Ini selaras dengan falsafah jenama 'Real Magic' kami," kata Amruta Vaidya, Pengarah Operasi Francais untuk Coca-Cola Malaysia & Singapura. 

Dengan bantuan wakil setiap syarikat, hampir 200 hidangan makanan telah diagihkan kepada mereka yang memerlukan. Baki hidangan makanan dan makanan kering akan diedarkan secara berperingkat-peringkat dalam beberapa bulan yang akan datang. - KitaReporters/Kenyataan Media


14
13
0
13
0

Copy Link: