Polis  mengawal keluar masuk kenderaan di SJR menghala ke Hulu Besut


KIRA-KIRA 2,000 penduduk di empat kampung dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut, Terengganu terkurung apabila mereka tidak dibenarkan keluar dari kampung masing-masing berikutan semua laluan masuk ke kampung terbabit diadakan Sekatan Jalan Raya (SJR).

Tindakan itu dilakukan berikutan kes penularan COVID-19 yang tinggi menyebabkan pihak berkuasa mengisytiharkan kampung terbabit sebagai Zon Merah di daerah Besut.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Hulu Besut:

https://kitareporters.com/search?search=hulu+besut


Petugas KKM menjalankan ujian swab test kepada penduduk


Kampung terbabit ialah Darau, Padang Baloh,  Awek dan Lepang Kejur yang diaktifkan sebagai kawasan zon merah berkuat kuasa pada Khamis, 11 Februari 2021. 

Bagaimanapun, sehingga masa ini, pihak berkuasa tidak mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ke atas kampung-kampung terbabit dan masih kekal dalam kategori Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Abd Rozak Muhammad


Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abd Rozak Muhammad berkata, ketika ini polis menempatkan tiga lokasi SJR masing-masing di Kampung Lepang Kejur, Cegar Batang dan Telaga Nibong

Katanya, seramai 45 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditugaskan di tiga SJR terbabit bermula pada Khamis, 11 Februari 2021 sehingga 13 Februari 2021.


Sekeluarga penduduk Kampung Darau menunggu giliran untuk membuat saringan ujian calitan (swab).


Beliau berkata SJR tersebut dibuat bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengekang pergerakan keluar masuk penduduk kampung terbabit keluar ke lokasi lain di daerah itu.

Selain itu, katanya, SJR tersebut juga bertujuan untuk memastikan orang luar tidak masuk ke kawasan Kampung yang mempunyai peningkatan kes

“Ia juga bagi memudahkan petugas KKM membuat saringan ujian swab kepada semua penduduk kampung terbabit,” katanya. 

Difahamkan petugas KKM sudah membuat saringan kepada penduduk terbabit di dua lokaliti berasingan iaitu di Dewan Datuk Seri Idris Jusoh dan kantin Sekolah Kebangsaan Darau. - KitaReporters 


Anggota Polis dan Tentera ditugaskan mengawal di semua pintu masuk ke perkampungan di Hulu Besut

 

 

17
9
68
6
4

Copy Link: