Nor Azman Mohamad (empat dari kiri) memberi penerangan  sebelum menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir


KEMURUNGAN mangsa banjir di Negeri Terengganu untuk menghadapi pascabanjir akibat kehilangan harta benda dalam membina kehidupan baharu  selepas rumah mereka ditenggelami air malah ada yang rosak teruk dan musnah dibawa arus terus mendapat perhatian pelbagai pihak yang tampil membantu mereka.

Sejak kejadian banjir besar melanda negeri itu pada pertengahan Disember 2022 lalu terutama di Daerah Besut, sikap prihatin dan rasa simpati rakyat Malaysia terhadap mangsa terbabit terserlah apabila setiap hari bantuan sama ada dalam bentuk tenaga kerja, barangan keperluan malah kewangan datang mencurah-curah pada setiap hari.


Lagi cerita-cerita prihatin berkaitan bantuan-bantuan banjir

Mangsa banjir di Kampung La, Hulu Besut,Terengganu menunjukkan sampul surat berisi sejumlah wang tunai sumbangan Kerajaan Negeri Sembilan


Selain Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang banyak membantu mangsa terbabit, agensi dan kerajaan negeri juga tidak terlepas pandang menghantar sukarelawan turun padang menggerakkan jentera membantu mangsa terbabit. 

Kerajaan Negeri Sembilan yang prihatin dengan nasib mangsa banjir di daerah Besut tidak ketinggalan mengerahkan agensi dan jabatan di bawahnya untuk turun padang melihat sendiri keadaan yang dihadapi mangsa banjir terutama di Kampung La, Hulu Besut.

Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan dengan kerjasama Kelab Budiman Sejahtera Terengganu, memilih Kampung La dan Kampung Cerang Meliling, Hulu Besut, dalam misi membantu pascabanjir di daerah itu.


Nor Azman menyampaikan sumbangan wang kepada seorang warga emas yang menjadi mangsa banjir


Ketua Delegasi Misi Bantuan Pascabanjir Kerajaan Negeri Sembilan, Nor Azman Mohamad berkata, pihaknya terpanggil untuk turun padang ke daerah Besut kerana melihat situasi banjir di daerah itu paling teruk dan ramai penduduk yang terkesan dengan bencana itu.

Katanya, menerusi program itu kerajaan negeri bersetuju menyumbangkan RM50,000 dengan mengagihkan wang tunai secara terus kepada mangsa di lokasi terbabit.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, pengagihan wang tunai secara terus kepada mangsa ini diharap dapat memudahkan mangsa mengurus wang diterima untuk keperluan mereka.


Warga emas lelaki ini antara yang menjadi mangsa banjir turut menerima sumbangan barangan keperluan daripada Kerajaan Negeri Sembilan


Seramai 170 mangsa banjir di Kampung La dan Kampung Cerang Meliling, Hulu Besut, mendapat manfaat tersebut pada majlis penyampian secara ringkas sempena program tersebut pada Selasa, 10 Disember 2023. 

“Selain pengagihan wang tunai pihaknya juga turut menyumbang peralatan kebersihan, toto dan barangan keperluan lain,” katanya.

Beliau berkata, sebahagian besar barangan keperluan yang disumbangkan kepada mangsa adalah hasil sumbangan kakitangan kerajaan negeri berkenaan yang turut bersimpati dengan nasib mangsa banjir di Terengganu.

“Kami amat beruntung kerana mendapat kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang menyediakan dua lori untuk membawa barang-barang ke Terengganu,” katanya.  - KitaReporters


Mangsa banjir di Kampung La, Hulu Besut menunggu anggota APM menurunkan barang keperluan dari lori APM

12
14
3
14
0

Copy Link: