Pulangnya ke rahmatullah seorang lagi cef selebriti Nyaman Delicious, Cef Harun, 48, atau nama sebenarnya Harun Mat Yusop membawa bersama impian yang tidak kesampaian untuk membuku dan memasarkan semula buku 60 menu masakan makanan sihat hasilnya, menunaikan ibadat umrah serta menghantar anak bongsunya ke Maahad Tahfiz. : KitaReporters



Al-Fatihah untuk Cef Harun atau Harun Mat Yusop. - Kredit foto: FB Cef Harun


Lagi cerita-cerita berkaitan cef:

https://kitareporters.com/search?search=cef


Allahyarham juga tidak sempat menunaikan hasrat untuk membawa anaknya untuk membersihkan surau dan masjid kerana itulah `nazarnya` jika kembali sembuh. 

Dia juga berhajat untuk membuka kaunter khas untuk mengagihkan barang-barang keperluan asnaf sebagai sebahagian daripada sedekahnya khususnya ketika negara dilanda Covid-19.

Lebih daripada itu, Allahyarham juga mahu melawat Palestin kerana selama ini dia seakan tidak percaya kepada usaha menyalurkan bantuan derma antarabangsa ke negara Asia Barat itu kerana baginya keperluan rakyat tempatan di negara ini lebih afdal diutamakan.




Sesuatu yang mungkin paling terkilan ialah dalam keadaan dirinya separa lumpuh itu, Cef Harun turut menyatakan hasratnya untuk membukukan semula dan memasarkan buku 60 resepinya, Nyaman Delicious yang dihasilkan dalam masa 14 hari yang tidak dapat dipasarkan apabila buku itu dijilid tidak sempurna.



Buku itu ditarik balik dari pasaran pada saat-saat akhir kerana penjilidannya putus. 

Syarikat penerbitan itu mencetak 5,000 naskah kompilasi resipi yang dihasilkan daripada program masakan kesihatan di sebuah stesen televisyen tempatan. Dilaporkan kos penerbitan itu menelan belanja RM70,000.

"Saya tunggu hak cipta buku ini menjadi hak milik saya dan satu masalah sekarang adalah untuk membuat penggambaran semula buku ini yang mungkin rumit sedikit," katanya ketika meluahkan perasaannya. 

Penulis menghubunginya untuk bertanya khabar kesihatannya selepas beberapa hari dia tidak menulis dalam Facebook. 

Dia memberi alasan telefonnya bermasalah dan malam itu kami berbual panjang dan kami saling meminta menjaga kesihatan masing-masing.


Satu resipi kesihatan, kerabu koli


Kata Allahyarham lagi, tidak lama kemudian syarikat penerbitan itu dikatakan menghasilkan resipi itu dalam naskah buku kecil. 

Cef Harun berharap untuk mengumpul dan menerbitkan semula kumpulan resipi yang pernah beliau hasilkan 60 jenis menu berasaskan termasuk avokado, pisang panggang dan buah naga.

"Mungkin disebabkan ketumbuhan pada otak kot telah mencetuskan macam-macam idea masakan. Kadangkala dalam tempoh singkat, saya perlu mencipta resipi terkini menggunakan bahan tempatan untuk menghasilkan sajian sihat," katanya ketika ditanya bagaimana dia mendapat idea untuk mencipta resipinya.


Galong pulut inti


Pisang panggang dengan sos buah naga.


Allahyarham Cef Harun yang terkenal sebagai pakar masak berasaskan makanan kesihatan dilaporkan menghidap limfoma pada otaknya setahun lalu dan kesihatannya semakin merosot sehingga menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Melaka jam 1.20 pagi Jumaat, 30 Oktober 2020.

Jenazahnya disemadikan di Pusara Makam Hang Tuah Tanjung Kling, sebelum solat Jumaat.

Arwah meninggalkan empat anak, tiga daripadanya perempuan Qasya Harun, Amira Kasih dan Anggun Fitri . 

Seorang anak lelakinya dikenali sebagai Adam Shah (Adam Belacak dalam Facebook ) kerana mengharumkan nama dalam bidang perniagaan koleksi menjual ikan laga yang mencecah harga ribuan ringgit seekor.

Cef Harun melahirkan hasratnya untuk membawa anak bongsunya, Anggun Fitri menunaikan umrah dan menghantarnya melanjutkan pengajian di Maahad Tahfiz sebaik tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 ini.



Dalam perbualan eksklusif dengan KitaReporters, beberapa minggu sebelum ini, Cef Harun berkata dia sudahpun `bersedia` untuk dipanggil `pulang` bila-bila masa kerana dia sudah beberapa kali melalui frasa berada di liang lahat. 

Malah dia berasa sangat tenang dan gembira kerana sepanjang sakitnya, sudah beberapa kali dia `ditunjukkan` rumah abadinya dan pernah melihat dan `berasa` kematian itu beberapa kali.

"Saya berat hati apabila doktor mahu membedahkan ketumbuhan ini, Biarlah saya `pergi` atas muhasabat penyakit ini. Cuma saya kasihan anak bongsu, Anggun kerana dia berada di Langkawi untuk menghabiskan tingkatan limanya. Terasa lama sangat untuk dia balik menemani saya di Melaka." 


Cef Harun dengan tiga puteri kesayangannya.


Cef Harun diserang stroke pada tahun 2019 di Langkawi dan dibawa pulang oleh anak-anak di rumahnya di Tanjung Kling. 

Dia meninggalkan Melaka untuk bekerja di Langkawi selepas bercerai untuk mengubat jiwanya yang luka. Dia membawa anak bongsunya bersama dan dijaga oleh ramai `mak angkat` ketika bekerja selama tujuh tahun di pusat peranginan itu. 

Cef Harun sengaja menyibukkan dirinya sebagai cef di hotel dan pusat pusat pelancongan termasuk memasak untuk penggemar makanan berasaskan sayuran (vegetarian).  

Seumpama kisah dalam filem Pursuit of Happiness lakonan Will Smith, dia bersama anak bongsunya membuka lebaran kehidupan baharu di Pulau Mahsuri, walaupun terpaksa menempatkan anak bongsunya di asrama. Dia tidak mahu anak kecilnya kehilangan kasih sayangnya kerana ketika itu anaknya berusia 12 tahun.

Cef Harun mula menjadi aprentis cef ketika usianya 18 tahun. Sebagai anak bongsu dia kerap menolong ibu di dapurnya. Dia sebenarnya tahu memasak sup tauge dan tauhu pada usia enam tahun, lauk yang menjadi kegemaran orang-orang Melaka. 

Akhirnya dia terbabit dalam bidang masakan dengan bekerja di merata tempat hampir 40 tahun termasuk pernah membuka restoran dengan mengubah suai rumahnya.

Malangnya katanya perniagaan restoran di rumahnya, tidak begitu berjalan lancar selepas rakan-rakan artis dan pelanggan tetapnya mengadu mereka tidak menjumpai alamat restorannya. 

Kalau ada pun, mereka nampak rumah itu kawasan hutan tebal, siap ada sungai dan orang bermain kayak, sedangkan sungainya ada buaya.

"Saya diberitahu kawasan rumah saya ditabur dengan tanah kubur dan minyak dagu. Selepas puas berubat kami memutuskan menutup restoran.

"Kini rumah itu dijadikan anak lelaki saya sebagai pusat perniagaan ikan laganya. Alhamdulillah perniagaannya berjalan lancar dan ikan itu siap diposkan ke seluruh negara," kata dalam ketawa dengan sebutan lahabau sesekali terkeluar dari bibirnya.


Kenangan ketika menjadi cef di sebuah hotel.


Cef Harun menikahi isterinya yang berasal dari Jakarta. Mereka bertemu ketika beliau berkunjung ke rumah saudaranya di Johor Bharu. Ketika itu bekas isterinya bekerja di kantin dan Cef Harun menjadi posmen untuk pegawai kilang yang mengutuskan surat untuk disampaikan pada `bakal isterinya`.

Soal jodoh dan ajal hanya Allah yang tetapkan, mereka berkahwin pada 1991 ketika mereka berpindah balik ke Melaka itulah, jodohnya dengan isterinya juga menemui jalan noktahnya. Bagaimanapun, ketika Nyaman Cef Harun terlantar, bekas isterinya ada datang, menjaga makan minum dan menukar pakaiannya.

Persahabatannya dengan seorang pegawai perhubungan hotel itulah dia mendapat tawaran untuk menyertai pasukan program pagi dan peluang mengadakan slot masakannya di kaca televisyen itu. - Kitareporters


Kasih anak... Adam Shah mendukung ayahnya untuk menjalani rawatan.


6
3
29
2
2

Copy Link: