Berita Terkini| Polis pertingkat sekatan di jalan tikus! Elak individu degil nak rentas negeri!

Published by
KitaReporters


Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menambahkan jumlah Sekatan Jalan Raya (SJR) terutama di sempadan negeri serta jalan-jalan tikus bagi mengelakkan orang ramai pulang ke kampung menyambut Ramadan.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, langkah itu diambil bagi memastikan orang ramai tidak mengambil kesempatan pulang kampung, selain satu usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19.

“Tiada lagi nasihat akan diberikan terhadap mereka yang cuba rentas negeri tanpa alasan yang kukuh, sebaliknya pihak polis akan mengambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada. 

“Semua sedia maklum umat Islam akan mula berpuasa pada 13 April (2021) ini dan mungkin banyak pergerakan rentas negeri akan berlaku kerana sudah menjadi budaya orang kita nak sambut Ramadan bersama keluarga di kampung.

 “Jadi bagi mengelakkan perkara itu berlaku termasuk sebagai langkah memutuskan rantaian Covid-19 kita akan perbanyakkan serta ketatkan kawalan di SJR serta lorong tikus,” katanya yang dipetik oleh MalaysiaGazette di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang 7 April 2021.

Tegas beliau sepatutnya kes Covid-19 semakin menurun namun disebabkan individu-individu degil berkenaan menyebabkan kes bertambah dan timbul kluster baharu menerusi pergerakan rentas negeri. - KitaReporters


1
0
1
0
0

Copy Link: