Noor Asriq Huzaifah Selamat dan isterinya Noor Dina Jani menyusun barang-barang keperluan di rak "food bank" di kedai makannya di Labis, Johor.


RAMAI yang terjejas dan mula kehabisan wang simpanan berikutan hilangnya punca pendapatan akibat perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan  (PKP) yang berpanjangan.

Selain pekerja gaji harian seperti buruh binaan dan pekerja kilang yang terjejas teruk berikutan larangan untuk kedua-dua sektor tersebut beroperasi, penjaja makanan serta penanam sayur juga merupakan golongan yang semakin tertekan ketika ini.

Menyedari semakin ramai terhimpit dengan situasi ekonomi yang terjejas teruk ketika ini, sepasang suami isteri di Labis, Johor mengambil keputusan untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan dengan cara mewujudkan bank makanan (food bank) sejak dua minggu lalu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bank makanan

Noor Asriq Huzaifah Selamat.


Noor Asriq Huzaifah Selamat, 38, yang merupakan peniaga kedai makan berkata, idea untuk mewujudkan "food bank" datang daripada isterinya, Noor Dina Jani, 38, selepas mendapati ramai yang memerlukan bantuan selepas kehilangan punca rezeki akibat penutupan banyak sektor ekonomi.

"Pada mulanya kami berasa agak ragu dan meminta pandangan daripada ahli keluarga terdekat mengenai hasrat kami mewujudkan "food bank" sebelum melaksanakannya.

"Kami tidak menyangka mereka bukan sahaja memberi galakan, malah turut bersama-sama menghulurkan bantuan berupa wang ringgit dan barangan keperluan untuk menjayakan usaha kami ini," katanya.


Noor Dina Jani


Menurutnya, selain menyediakan barang makanan kering seperti beras, minyak masak, tepung dan gula, keperluan lain untuk bayi seperti lampin pakai buang juga turut disediakan untuk mereka yang memerlukan. 

Noor Dina mengakui terdapat dalam kalangan mereka yang memerlukan bantuan berasa malu untuk datang sendiri mengambil barangan yang disediakan.

Sebaliknya mereka mengmbil pendekatan meminta bantuan sama ada rakan atau jiran untuk membantu mengambilkan barangan keperluan untuk mereka.


Salah seorang yang terjejas pendapatan yang datang mengambil bekalan makanan kering di "food bank'  yang disediakan oleh pasangan suami isteri itu.


Dalam masa sama mereka mengalu-alukan mana-mana pihak atau orang perseorangan yang ingin bersama-sama bersedekah melalui "food bank" itu asalkan dilakukan secara ikhlas tanpa sebarang maksud lain.

"Saya harap mereka yang memerlukan barangan keperluan tidak berasa malu untuk datang sendiri mengambil barangan di sini kerana tiada syarat dikenakan asalkan mereka benar-benar terputus bekalan.

"Malah kami tidak mengehadkan bantuan ini untuk golongan tertentu sahaja, sebaliknya kepada semua tanpa mengira bangsa dan agama," katanya.

Mereka yang terputus bekalan makanan boleh datang untuk mengambil barang makanan kering secara percuma di kedai makan pasangan tersebut yang terletak berhadapan Maybank Labis pada hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 10 pagi hingga 2 petang.


Beras merupakan barangan keperluan utama yang diperlukan oleh mereka yang datang mengambil bekalan makanan.


"Kami harap apa yang kami lakukan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mereka yang terjejas pendapatan.

"Kami juga tidak menetapkan tempoh berapa lama "food bank" ini akan diwujudkan kerana ia bergantung kepada kemampuan kami bersama keluarga terdekat sahaja tanpa bergantung kepada mana-mana pihak," katanya. - KitaReporters


Noor Dina Jani memeriksa barang-barang di rak bank makanan di kedai makannya sebelum diserahkan kepada mereka yang memerlukan.

55
2
3
2
0

Copy Link: