BUKAN sahaja kepada golongan Muslim tetapi bantuan kelengkapan sekolah yang diberikan oleh Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan turut memberikan manfaat kepada pelajar dan murid bukan Islam atas asas ketakwaan. : KitaReporters.com 

Dalam majlis penyampaian sumbangan pada Program Jom Ke Sekolah 2020 di Dewan Tun Razak, Temerloh, Pahang seramai 400 orang murid dan pelajar berbilang kaum dari Parlimen Temerloh menerima sumbangan kelengkapan persekolahan.

Keceriaan jelas tergambar pada wajah ibu bapa dan pelajar bukan Islam yang menerima sumbangan daripada yayasan berkenaan.

Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Kerja Raya yang mewakili Ahli Parlimen Temerloh, Ahmad Tarmizi Ismail berkata, sumbangan itu amat bermakna malah memberikan kejutan kepada golongan bukan Islam yang tidak menyangka mereka turut menerima sumbangan itu.

"Hari ini penerima merupakan pelajar daripada berbagai bangsa tidak tertumpu Islam sahaja walaupun ini ditaja oleh Yayasan Taqwa tetapi pelajar yang menerima sumbangan terdiri bukan Islam juga," katanya pada majlis tersebut baru-baru ini.


Dalam pada itu,  Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa, Zabidi Nasan berkata, Yayasan Taqwa di bawah naungan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM2.3 juta pada tahun ini bagi menyediakan bantuan kelengkapan sekolah kepada kira-kira 14,000 murid dan pelajar di seluruh negara.

Beliau berkata, bantuan tahunan kelengkapan persekolahan itu akan diberikan secara berperingkat-peringkat yang dijangka akan diedarkan keseluruhannya sebelum musim persekolahan tahun hadapan.

"Hari ini, Yayasan Taqwa menyampaikan sebanyak 400 pakaian sekolah kepada pelajar di Parlimen Temerloh yang mana sumbangan ini terdiri daripada beg sekolah, baju, seluar, kasut, stokin dan alat tulis.

"Kita harap sumbangan ini dapat membantu pelajar kembali ke sekolah pada 2020 yang mana seandainya pelajar memerlukan dua pakaian sekolah, maka keluarga mereka perlu beli satu sahaja, manakala satu lagi ditaja oleh Yayasan Taqwa," katanya.


Tambah Zabidi, tujuan utama sumbangan itu adalah untuk meringankan beban kewangan ibu bapa penerima dalam menyediakan kelengkapan persekolahan selain menyuntik semangat kepada pelajar untuk terus belajar dengan cemerlang dalam pelajaran. - KitaReporters.com

1
0
0
0
0

Copy Link: