Perasmian oleh Mohamad Fahmi Mohamad Idris


Oleh AIN SYAFIA QUTREENIE ALWI

Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kali ke-46 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jabi, Pokok Sena, Kedah telah diadakan dengan jayanya pada 21 Mei 2024 yang lepas mencerminkan komitmen berterusan ibu bapa dan guru-guru untuk meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah tersebut. 

Mesyuarat yang berlangsung di dewan sekolah ini dihadiri lebih 200 orang ibu bapa, guru, serta Pegawai Syariah, Jabatan Bantuan Guaman Negeri Kedah iaitu Mohamad Fahmi Mohamad Idris sebagai perasmi. 

Mesyuarat dimulakan dengan bacaan doa dan diikuti dengan ucapan aluan daripada Pengetua SMK Jabi, Sopinar Bakar. 

Dalam ucapannya, beliau menekankan pentingnya kerjasama erat antara ibu bapa dan guru dalam membentuk persekitaran pembelajaran yang kondusif bagi pelajar.


Ucapan Sopinar Bakar


“Kejayaan sekolah ini bukan sahaja terletak pada usaha para guru dan pelajar, tetapi juga sokongan padu daripada ibu bapa. 

"Kita perlu bersatu hati dan berganding bahu dalam memastikan anak-anak kita mendapat pendidikan terbaik,” ujarnya.

Agenda utama mesyuarat kali ini termasuklah pembentangan laporan kewangan dan aktiviti PIBG sepanjang tahun 2023, perbincangan mengenai isu-isu yang dihadapi sekolah, serta perancangan program dan aktiviti untuk tahun 2024. 

Bendahari PIBG, Nor ‘Atiqah Abd Rahman membentangkan laporan kewangan yang menunjukkan perbelanjaan yang telus dan berkesan, serta pelbagai aktiviti yang telah dijalankan termasuk program motivasi pelajar dan lain-lain. 


Sesi soal jawab


Selain itu, mesyuarat PIBG ini turut menyaksikan sesi soal jawab di mana ibu bapa diberi peluang untuk menyuarakan pandangan dan cadangan mereka. 

Antara isu yang dibangkitkan termasuklah keperluan memperbaiki kemudahan sekolah seperti bengkel reke bentuk dan teknologi (RBT) serta cadangan untuk memperbanyak aktiviti kokurikulum yang mampu mengembangkan bakat pelajar.

Pengerusi PIBG, Mohamad Nawawi Md Zain, dalam ucapannya berjanji akan memberikan perhatian serius terhadap setiap cadangan dan isu yang dibangkitkan. 

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir atas sokongan berterusan mereka.

"Dengan kerjasama semua pihak, saya yakin kita dapat membawa perubahan positif dan memajukan lagi SMK Jabi," katanya. 



Mesyuarat diakhiri dengan jamuan ringan dan sesi cabutan bertuah. 

Keseluruhan mesyuarat berjalan lancar dan penuh semangat kerjasama yang menunjukkan komitmen yang tinggi daripada semua pihak untuk terus meningkatkan mutu pendidikan di SMK Jabi. - KitaReporters

11
16
0
14
0

Copy Link: