Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi (IPT), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bukan sahaja melahirkan siswazah yang sedia bekerja tetapi berpakej lengkap dengan kemahiran insaniah yang lain.

Ini terbukti apabila salah seorang alumninya yang bekerja sebagai Jurutera Perkakasan, Tan Sok Chen juga merupakan ikon e-sukan serta pengasas Kelab E-sukan UniMAP aktif dalam aktiviti kesukarelawanan khusus bagi membantu golongan masyarakat luar bandar yang memerlukan.

Terbaharu, beliau bersama empat lagi kelab dan persatuan berjaya mengumpulkan dana berjumlah RM19,000 selepas tiga minggu melancarkan tabung kutipan tersebut sebelum menyalurkannya kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Laba dan Kampung Ong Jangking di daerah Gerik, Perak sempena program Boat of Faith & Love, 8 Disember 2023 lalu.

“Selain Kelab E-sukan UniMAP, turut terlibat dalam pengumpulan dana itu ialah Persatuan Ci Xin Hui, Lions Club of Penang (Host), dan Lions Club of Penang Queen; serta Elegance World Entertainment (EWE) yang juga bertindak sebagai penganjur utama program tersebut.

“Hampir 40 peserta termasuk empat peserta ratu cantik pertandingan Global Angel of Love Charity Queen 2023 anjuran EWE turut terlibat dalam program amal ini,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.



Malah menurut Sok Chen, dana yang terkumpul itu digunakan untuk membeli bekalan dan juga peralatan bagi kegunaan masyarakat Orang Asli tersebut.

“Sebanyak RM15,000 dibelanjakan untuk membeli bot bagi mengangkut bekalan; RM1,500 barangan asas (meliputi beras, biskut, dan pakaian); dan RM2,500 digunakan untuk membeli 25 tanglung suria yang berfungsi sebagai lampu.

“Saya berasa sedih kerana masih ada manusia hidup primitif sedangkan kita menikmati kehidupan moden yang jauh lebih baik dan selesa daripada mereka,” katanya.

Tambah beliau, ini merupakan kali kedua beliau ke perkampungan Orang Asli untuk memberi sumbangan dan ia sedikit berbeza kerana kehadirannya kali ini bersama-sama Pengarah Urusan EWE, Livian Oo beserta ahli kelab dan persatuan yang lain. 



Ketika ditanya sama ada beliau masih aktif dalam e-sukan, Sok Chen berkata tahun 2022 beliau telah menarik diri daripada e-sukan namun tetap aktif dalam aktiviti kebajikan.

“Saya terlibat secara aktif dalam program amal ini sejak 2019 dan masih aktif menjalankan aktiviti kebajikan cuma kali ini kehadiran saya bukan sebagai atlet e-sukan tetapi pelajar Sarjana Komunikasi daripada UniMAP.

“Malah sebelum menyambung semula pengajian, saya berkesempatan mencuba bidang baharu yang berbeza daripada bidang kejuruteraan dan juga e-sukan iaitu industri alih suara,” katanya.

Ujarnya lagi, tahun ini beliau kembali dalam e-sukan walaupun tidak aktif sepenuhnya kerana fokusnya dalam industri alih suara selepas terlibat dalam beberapa projek alih suara.

“Setelah menyiapkan projek alih suara dalam rakaman drama radio "Invisible Guardian" dan novel audio "The Misplaced Princess Climbs the Wall", saya mendapati industri ini sangat menarik dan tidak mudah seperti yang disangka.

"Kembali bergelar pelajar, tidak menghalang saya untuk terlibat secara separuh masa dalam kerja-kerja alih suara dan juga pascaproduksi. Saya juga tidak menolak untuk kembali aktif dalam e-sukan sekiranya terdapat peluang yang menarik.

"Walau bagaimanapun, saya tetap akan meneruskan aktiviti khidmat masyarakat dan berharap lebih ramai lapisan masyarakat yang akan turut serta dalam aktiviti kesukarelawanan ini,” ujarnya. - KitaReporters/UniMAP


9
8
0
11
0

Copy Link: