Semangat kebersamaan warga Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah dizahirkan melalui Majlis Khatam Al-Quran peringkat USIM bersempena Hari Nuzul Quran pada 28 Mac 2024 yang diadakan di Kompleks Islam Tuanku Muhriz (KITM) anjuran Pusat Islam USIM. 

Seramai 300 peserta hadir memeriahkan program ini termasuk tujuh peserta daripada orang kurang upaya pekak. Pusat Islam turut menghiasi majlis dengan pameran Sirah Nabi, Kaunter Bank Islam, dan Kaunter Zakat Fitrah, bagi menambahkan dimensi keilmuan dan kemanusiaan pada acara tersebut.




Program Khatam Al-Quran ini bukanlah sekadar acara tahunan, tetapi satu himpunan untuk memperkukuh ukhuwah warga USIM dalam meningkatkan bacaan al-Quran sepanjang bulan Ramadan. 

Melalui inisiatif ini, ia tidak terhad kepada penyertaan staf dan pelajar USIM sahaja, malah terbuka untuk komuniti setempat. 

Sesi tadarus berkumpulan disertai staf dan pelajar USIM serta orang awam manakala Dr. Anuar Hasin, Johan Qari Negeri Perak yang juga Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunah USIM, memimpin majlis penutup dengan bacaan khatam. 

Setiap peserta diberikan masa 1 jam untuk menghabiskan 1 juzuk al-Quran.



“Ini bukan sekadar sebuah majlis, tetapi satu titik permulaan untuk lebih banyak perkongsian ilmu dan kebajikan dalam kalangan komuniti USIM dan sekitarnya,” kata Profesor Dr. Mohd Radhi Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang hadir pada majlis tersebut.

Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah untuk semua program yang dijalankan sepanjang Ramadan. - KitaReporters/USIM


 

14
14
0
14
0

Copy Link: